London: Pengarang Bulgaria, Georgi Gospodinov dinamakan sebagai pemenang Hadiah Booker Antarabangsa menerusi novelnya, Time Shelter.
Novel itu yang terbit kali pertama dalam bahasa Bulgaria diterjemahkan oleh Angela Rodel.
Kemenangan itu membolehkan Gospodinov, 55 memenangi £50,000 (RM246,982) yang dibahagikan sama rata antara pengarang dan penterjemah.
Hadiah Booker Antarabangsa dianugerahkan setiap tahun untuk karya fiksyen terbaik dari seluruh dunia yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan diterbitkan di United Kingdom dan Ireland.
Time Shelter menceritakan mengenai rawatan untuk pesakit alzheimer yang menjalani eksperimen membawanya ke masa lalu. Bagaimanapun rawatan itu turut menjadi pilihan mereka yang sihat sebagai satu pelarian daripada kehidupan moden yang mengerikan.
Ketua hakim, Leila Slimani berkata, novel itu membawa pembaca merenung kehidupan kerana bahasanya yang sensitif dan tepat untuk menangkap kerapuhan masa silam.
Selain Slimani, juri yang dilantik mengadili pengiktirafan tahun ini termasuk pengarang Malaysia, Tan Twan Eng; penterjemah Ukraine Uilleam Balcker; wartawan New Yorker, Parul Sehgal dan Editor Sastera Financial Times, Frederick Studemann.
Dilahirkan pada tahun 1968, novelis dan penyair Gospodinov ialah pengarang Bulgaria moden yang paling terkenal di peringkat antarabangsa. Karya beliau sudah diterjemahkan ke dalam 25 bahasa.
Sebelum ini Gospodinov ketika mengulas mengenai pencalonannya berkata, pengiktirafan seperti itu memberi ruang kepada pengarang bukan dalam bahasa Inggeris untuk diperhatikan.
Sementara itu Rodel, yang berasal dari Minnesota dan kini menetap di Bulgaria sudah menterjemahkan pelbagai genre sastera daripada puisi hingga prosa. Sekitar 2014, Rodel diberi kewarganegaraan Bulgaria atas kerja dan sumbangannya terhadap sastera dan budaya negara itu.