Sabtu, 13 Mei 2023 | 4:10pm
Hassan (berbaju biru gelap) ketika menerima sijil dan cek bernilai RM7,000 yang disampaikan Awang dengan diperhatikan Zainal (kiri) dan Timbalan Presiden GAPENA, Dr Mohamad Saleeh Rahamad. Gambar/NSTP.
Hassan (berbaju biru gelap) ketika menerima sijil dan cek bernilai RM7,000 yang disampaikan Awang dengan diperhatikan Zainal (kiri) dan Timbalan Presiden GAPENA, Dr Mohamad Saleeh Rahamad. Gambar/NSTP.

Penulis Sabah juara sayembara skrip GAPENA

Kuala Lumpur: Skrip drama pentas berjudul Pelayaran Seorang Sufi tulisan Hassan Saprin muncul juara Sayembara Penulisan Skrip Drama Pentas sempena ulang tahun ke-50 Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA).

Hassan yang berasal dari Sabah membawa pulang RM7,000 dalam majlis yang disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Senator Datuk Seri Dr Awang Sariyan di Rumah GAPENA di sini, hari ini.

Tempat kedua dimenangi Azaha Othman menerusi Padang Kachong Berdarah yang menerima RM5,000, manakala penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara 2020, Aminah Mokhtar menduduki tempat ketiga menerusi Tiang Tiang membawa pulang RM3,000

Dua hadiah penghargaan bernilai RM1,500 dimenangi oleh Salina Ibrahim menerusi Si Penjual Jiwa dan Ruhaini Mat Darin dengan skrip berjudul Kudin.

Awang dalam ucapan ringkasnya berkata penganjuran acara seumpama ini adalah usaha baik daripada organisasi seperti GAPENA dalam usaha untuk terus memartabatkan sastera.

Bagaimanapun katanya, usaha ini harus juga disambut oleh pelbagai agensi dalam kerajaan.

"Ia bukan hanya membabitkan sastera tetapi juga hal-hal berkaitan budaya dan agama. Misalnya, kita perlu melihat kembali undang-undang negara yang banyak diadaptasi dari undang-undang Barat.

Sementara itu Presiden GAPENA, Datuk Zainal Abidin Borhan dalam ucapannya berkata, sayembara itu adalah sebahagian siri pertandingan yang dianjurkan oleh organisasi itu menyokong penulis tempatan terus berkarya.

"Sebelum ini kami sudah adakan sayembara novel, cerpen dan puisi. Kami merancang untuk melancarkan beberapa lagi sayembara antaranya esei dan kritikan sastera," katanya.

Berita Harian X