IPOH: Siapa sebenarnya yang membangunkan Bandaraya Ipoh? Persoalan ini menarik untuk diperkatakan berikutan terdapat dakwaan Ipoh dikatakan dibangunkan oleh etnik Hakka.
Hal ini dirakamkan dalam naskhah 'Paloh: Founded by Hakka, Made Vibrant by the Cantonese' yang dilancarkan Februari lalu. Malah, tulisan berkenaan turut menyebut masyarakat Hakka yang datang dari Guangdong, China membangunkan Kampung Paloh, sebuah kampung di daerah Kinta melalui aktiviti perlombongan bijih timah pada 1880.
Bagaimanapun pandangan kontroversi yang mula muncul sejak Februari lalu didakwa tidak tepat oleh sejarawan tempatan. Hal ini berdasarkan kenyataan Ipoh sebenarnya sudah pun didiami orang Melayu sejak 1528.
Pensyarah di Jabatan Pengajian Umum UniKL Royal College Medicine, Ipoh merangkap Setiausaha Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Perak, Ibrahim Ahmad, berkata berdasarkan kajian sejarah antara penempatan awal orang Melayu di Ipoh adalah di Kampung Kepayang yang terletak di tebing Sungai Kinta. Malah ia kemudiannya menjadi pencetus kepada pembangunan Ipoh.
"Kampung Kepayang yang kini terletak di Fair Park dibuka oleh Tun Kelalang, iaitu anak kepada Tun Saban selepas peristiwa Tun Saban dibunuh oleh Megat Terawis.
"Garis keturunan Tun Kelalang inilah yang akhirnya diangkat ke jawatan Panglima Kinta," katanya dalam Sembang santai: Pengisahan Sejarah Ipoh 2023 di Perbadanan Perpustakaan Awam Perak baru-baru ini.
Ibrahim berkata, pembangunan Ipoh bermula apabila orang-orang Melayu membina pasar di kawasan penempatan mereka termasuklah di Kampung Kepayang, Kampung Kuchai, Kampung Paloh dan Kampung Pegoh.
Apabila Perang Larut meletus pada 1861 orang Cina dari etnik Hakka lari ke Ipoh bagi menyelamatkan diri dari kekacauan.
Tegasnya, kedatangan mereka merancakkan lagi pembangunan Ipoh sehingga menggantikan Gopeng sebagai bandar terbesar di Perak ketika itu.
"Kehadiran mereka bersama tenaga kerja lombong mahir menggiatkan aktiviti perlombongan bijih di Tambun, Lahat, Papan, Kampar, Gopeng dan Tanjung Tualang.
"Namun, Ipoh bukan pusat perlombongan bijih timah kerana tiada sebarang peninggalan lombong yang boleh dikaitkan dengan aktiviti kuari ditemui," katanya.
Sebaliknya tegas Ibrahim, Ipoh sebenarnya bandar transit bijih timah dengan industri perlombongan berlangsung di kawasan pinggir bandar.
Bagaimanapun katanya, pembangunan pesat Ipoh menyebabkan banyak gedung perniagaan dibina menjadikannya sebagai lokasi tumpuan pada 1880.
Hal ini tambahnya menyebabkan British memindahkan pusat pentadbiran negeri ke Ipoh dari Taiping susulan kekacauan Perang Larut.
Ibrahim berkata, terdapat kemungkinan Ipoh sebenarnya sudah wujud sewaktu era kerajaan Gangga Negara, sekitar abad kedua Masihi.
Meskipun Gangga Negara (Beruas lama) terletak jauh dari Ipoh, namun ia mempunyai banyak pusat pemerintahan dengan satu daripadanya berada di Lembah Kinta.
"Gua-gua di Lembah Kinta adalah penempatan awal manusia, malah kesan pra sejarah ini boleh dilihat di Gunung Mat Surat yang terletak di dalam kawasan persempadanan Kampung Kepayang.
"Ia juga kaya dengan warisan arkeologi di mana terdapat pelbagai penemuan bahan-bahan prasejarah di dalamnya termasuk lukisan-lukisan purba hasil daripada monokrom hitam daripada bahan arang," katanya.
Tegas Ibrahim, imej lukisan-lukisan purba ini meliputi berbagai-bagai bentuk termasuk haiwan, tumbuh-tumbuhan dan manusia.
Kemungkinan itu turut disokong oleh bekas Pensyarah Sejarah Universiti Sains Malaysia, Dr Ahmad Jelani Halimi.
Katanya berdasarkan kajian, laluan Sungai Perak pada abad kedua Masihi menyaksikan kuala sungainya bersambung di Beruas. Hal ini menjelaskan mengapa peninggalan Gangga Negara boleh dijumpai di Tanjung Rambutan walaupun ia terletak jauh dari Beruas.
"Atas faktor mendapan dan tindak tanduk alam yang lain, akhirnya laluan Sungai Perak itu berubah sikit demi sedikit sehingga kualanya kini berada di Teluk Intan," katanya.
Katanya, pada awal tahun 1900-an, terdapat beberapa penemuan barangan artifak berupa patung Buddha daripada gangsa ditemui di Tanjung Rambutan dan di Pangkalan (Pegoh) sekitar tahun 1931.
Penemuan berkenaan sekali gus menguatkan bukti wujudnya kerajaan Gangga Negara di Lembah Kinta.
Katanya, Lembah Kinta dihuni oleh Orang Asli sebelum kedatangan masyarakat Melayu pesisir yang berasal dari Sumatera. Malah, antara perkampungan Orang Asli yang masih boleh dilihat sehingga hari ini di Lembah Kinta ialah Kampung Tonggang.
"Pada awal abad ke-16, masyarakat Melayu pesisir dari Langkat, Inderagiri, Siak, Kampar, Mandailing dan Rawa tiba di Lembah Kinta.
"Mereka menaiki perahu menyeberang Selat Melaka dan masuk ke Sungai Perak, lalu masuk ke Kuala Kinta menyusuri Sungai Kinta mencari hulu sungai.
"Akhirnya masyarakat Melayu ini mendirikan mendiami penempatan di kawasan tebing Sungai Kinta," katanya.
Ahmad Jelani berkata, berdasarkan catatan sejarah juga bijih timah diketahui mudah dapati di kawasan Kinta. Hal ini turut disebut oleh Tom Pires dalam bukunya Suma Oriental. Ia sekali gus bermaksud orang Melayu sudah ada di kawasan Lembah Kinta bagi mencari timah.
Tambahnya, bijih timah sangat mudah didapati di sepanjang aliran Sungai Kinta sehingga aktiviti melombong dengan kaedah mendulang sudah memadai.
"Ini disokong dengan wujudnya beberapa pangkalan yang berfungsi sebagai pelabuhan turut didirikan di sepanjang Sungai Kinta bagi tujuan berperahu untuk membawa hasil dagangan.
"Antara pangkalan yang dikenali adalah Pangkalan Pegoh yang digunakan pedagang untuk menyusur Sungai Kinta selain di situ juga terdapat banyak perahu dan tongkang berlabuh," katanya.
Ahmad Jelani berkata, berdasarkan rekod sejarah Pangkalan Pegoh dimiliki oleh Datuk Panglima Kinta kesembilan, Orang Kaya-Kaya Seri Amar Bangsa Datuk Sadewa Domba.
Ia menjadi bandar utama pusat pentadbiran dan perniagaan orang Melayu sebelum kewujudan Bandar Ipoh.
"Sebahagian besar pemilik perahu pada masa itu orang Cina, mereka datang berdagang dari Melaka dan Pulau Pinang," katanya.