Asma' terpaku melihat sehelai kerudung ungu lembut pemberian nenek. Kerudung itu bersaiz empat segi tepat, lazim disebut sebagai tudung bawal masih tersimpan kemas sejak lima tahun lalu.
Ia cantik berbalut plastik dan diletakkan dalam kotak hadiah yang tersisip ucapan, "Selamat hari lahir cucuku. Pasti Asma' akan kelihatan sangat cantik mengenakan tudung ini. Nenek sentiasa mendoakan cucu nenek nan seorang ini akan menjadi bidadari syurga di dunia, yang mentaati kewajipan beragama."
Seingat Asma', kerudung itu diterimanya bersempena hari ulang tahun kelahiran yang ke-23. Dia menerimanya tetapi sedikit pun hati tidak berusik. Hadiah tudung tidak bermakna buatnya namun tidaklah sehingga ia dibuang atau diberikan kepada orang lain.
"Asma', wanita Muslimah yang telah baligh berkewajipan menutup aurat. Tidak elok berpakaian mengenakan gaun pendek paras lutut begini," tegur neneknya pada suatu hari. Malah sebenarnya itulah yang kerap disebut nenek setiap kali datang ziarah di rumahnya di Kuala Lumpur.
Selalunya Asma' akan menjawab; 'nenek, ini ibu kotalah, bukan kampung. Normallah berpakaian begini. Moden dan ikut peredaran masa. Nenek mana tahu. Kawan-kawan Asma' ada yang pakai lebih seksi daripada ini, tiada masalah pun.
" Kami masih muda, nak 'enjoy' di zaman muda puas-puas. Ibu pun tak bising Asma' berpakaian begini."
Dan pada setiap kali dia berkata begitu, nenek akan diam dan menggelengkan kepala. Asma' juga perasan, tiap kali dia menjawab kata-kata sebegitu, nenek akan berpaling dan mengesat hujung matanya dengan lengan baju kurung yang dipakainya.
Asma' ketika itu tidak peduli dan kisah. Jiwa muda, cepat memberontak jika kehendaknya dihalang.
Sebelum ini, ketika dia menetap di Rusia banyak kali dia menyaksikan wanita berhijab diejek oleh rakan-rakan yang bukan beragama Islam. Malah pernah suatu hari, Asma' ditanya oleh Eva, rakan bukan beragama Islam mengenai tudung. Pertanyaan itu didorong oleh suatu kejadian di Arab Saudi yang mengakibatkan beberapa murid Islam mati terbakar dalam bangunan sekolah kerana tidak dibenarkan keluar menyelamatkan diri jika tidak menutup aurat.
Asma' tidak menjawab pertanyaan Eva. Namun untuk Asma' dia melihat pemakaian tudung dalam kalangan perempuan adalah sebahagian daripada budaya patriarki. Zaman moden ini wanita inginkan kebebasan, berani dan vokal termasuklah dalam berpakaian.
Itu adalah ingatan-ingatan masa lalu. Hari ini semuanya semakin pudar malah perlahan-lahan diganti dengan rasa rindu pada gemulah nenek.
Nenek ketika hayatnya seorang guru agama. Namun sepanjang hayatnya, Asma' selalu merasakan nenek cukup melemaskan dengan bebelan-bebelan tentang kewajipan menutup aurat.
Asma' dibesarkan dengan nilai-nilai moden yang menjadikan agama sebagai sesuatu yang peribadi. Ibu dan ayahnya melanjutkan pengajian di luar negara dan membina kerjaya di Rusia sebelum membuat keputusan pulang ke Malaysia apabila nenek kerap tidak sihat.
Ibu kini bertugas sebagai pensyarah sastera Inggeris di universiti awam, manakala ayahnya sebagai jurutera di syarikat minyak gergasi. Ibu dan ayah memberikan kebebasan mutlak kepadanya untuk berperilaku dan bertindak termasuk dalam hal-hal berpakaian.
Ibu percaya kanak-kanak berhak mendapat hak-haknya dan bebas membuat keputusan yang membahagiakan diri sendiri. Jadi, sejak kecil lagi, Asma' memilih pakaiannya sendiri. Walau apapun padanan pakaian yang dipilih, longgar atau ketat, labuh atau singkat, tertutup atau terbuka, ibu dan ayah tidak pernah menghalang, menolak dan menegur.
Meningkat dewasa, Asma' mahu kelihatan cantik dan anggun dengan fesyen terkini. Mengenakan tudung membataskannya dalam berfesyen apatah di negara Barat yang 'Tuhan'nya telah mati dan nilai sekularisme bermaharajalela.
Jadi sekembalinya dia ke Malaysia, Asma' masih dengan pakaian yang biasa dipakai di Rusia. Mungkin pemakaiannya agak berani tapi itulah sisi metropolitan tanda berani, yakin diri dan lantang bersuara. Rambut ikal mayangnya pula sama ada disanggul tinggi atau dibiarkan bebas lepas.
Asma' masih ingat ketika tamat pengajian di universiti tempatan dan kemudiannya bertugas sebagai pegawai perhubungan awam, dia tidak dibenarkan bertudung. Dia pun tidak berminat! Apatah lagu di masa lapang Asma' kerap tampil sebagai model memperaga busana terkini atau produk kecantikan.
"Nenek, pegangan agama seseorang tidak boleh dinilai dengan cara seseorang itu berpakaian.
"Tudung bukan penentu moral seseorang. Ia hanyalah sehelai kain yang diletakkan di atas kepala bagi menutupi rambut yang diwariskan secara turun-temurun dari satu generasi ke generasi seterusnya," Asma' menyebutkan itu dengan jelas dan lantang sewaktu nenek menghadiahkan buku 'Apa Makna Aku Bertudung'.
"Asma' bacalah nanti bila-bila lapang," neneknya hanya tersenyum. Asma' ingat buku itu diambil dengan seribu satu rasa dan disusun bersama buku lain di rak.
Pesannya pada nenek, selepas ini jangan lagi ditanya bila dia bertudung.
"Ia bukan wajib tapi kewajipan tetapi pilihan individu. Sehingga kini, tudung masih menjadi perkara yang khilaf. Lagipun, ada banyak cara kita boleh buktikan ketaatan kita kepada agama. Asma' masih bersyahadah. Asma' masih solat dan puasa di bulan Ramadan."
Jawapan itu tidak menghentikan nenek. Setiap waktu ada sahaja yang tiba di tangannya. Nenek bukan hanya mengirim buku-buku agama tetapi telekung, baju kurung ada saja yang tiba tapi semuanya Asma' simpan dalam almari. Kerudung ungu itu adalah yang terakhir daripada nenek sebelum dia pergi.
Nenek mengasihinya sepenuh jiwa raga kerana Asma' satu-satunya cucu yang dia ada. Ayah adalah anak tunggal hasil perkongsian hidup nenek dan datuk, anak kepada seorang pengasas pondok agama di Kuala Kangsar.
Asma' tidak sempat bertemu dengan datuk kerana telah terlebih dahulu menemui Ilahi kerana penyakit jantung berlubang yang dihidapi sejak lahir. Sejak itu, nenek meneruskan hidup sebagai balu dan menghabiskan usia dengan mengajar di pondok mendidik ratusan pelajar perempuan mengenai agama.
Dengan upah mengajar agama itulah nenek membesarkan ayah sehingga berjaya melanjutkan pengajian di Rusia dalam bidang kejuruteraan sivil. Dalam tempoh pengajian itu, ayah berkenalan dengan ibu, berkahwin dan lahirlah Asma' sebagai bukti dan lambang cinta mereka.
Ibu Asma', wanita anggun dan penuh elegan. Membesar sebagai anak jati Kuala Lumpur dan mendapat pendidikan Inggeris. Kehidupannya penuh dengan kemewahan dan kebebasan tetapi masih tetap menjaga nilai-nilai murni orang Melayu di dalam dirinya. Tutur kata ibu sentiasa lunak dan sangat menghormati nenek walaupun nenek pernah beberapa kali menegur gaya keibubapaannya yang terlalu terbuka terutama dalam aspek berpakaian.
Seingat Asma' setiap kali ibu pulang ke kampung, dia akan berpakaian sopan dengan mengenakan baju kurung polos atau berjubah seluar dengan selendang di kepala atas permintaan ayah. Asma' selalu merasakan ibu terpaksa menjadi orang lain demi diterima oleh nenek.
Bila nenek jatuh sakit kerana jangkitan kuman di paru-paru, kesihatannya merosot dia akhirnya terpaksa akur untuk tinggal dengan mereka di Kuala Lumpur. Ibu dan ayah memilih untuk bercuti tanpa gaji selama satu bulan secara bergilir-gilir.
Kata ayah dan ibu juga, selagi nenek ada inilah masanya untuk berbakti. Apatah lagi ayah yang masa mudanya jauh daripada nenek demi mengejar impian dan cita-cita. Hayat nenek tidak lama selepas hampir sebulan setengah tinggal bersama, nenek akhirnya pergi pada pagi Jumaat nan indah.
Asma masih ingat, dalam tempoh itu pernah juga Asma' menemani dan menguruskan nenek ketika ibu dan ayah ada urusan di luar. Asma' menyuapkan makan dan minuman, mengurut-urut kaki atau kepala nenek. Hal ini membuat Asma' jatuh kasih kepada nenek perlahan-lahan. Nenek sering mengelus lembut tangan Asma' sambil menitip pesan menjaga diri sebagai wanita Muslimah.
Asma' hanya angguk saja. Tiada sepatah kata pun yang keluar dari bibirnya. Asma' teringat, dulu pada peringkat awal pekerjaannya dia pernah didekati lelaki korporat yang agak berusia. Asma' masih ingat senyum nakal lelaki itu apabila memandang kakinya yang telanjang. Skrit pendek paras lutut yang dipakai Asma akan terjungkit jika dia duduk. Asma' ingat senyum lelaki itu dan jijik dengan pandangan gatalnya. Malah lelaki itu sengaja menyentuh kaki Asma' sambil mengenyitkan mata.
Asma' bertahan kerana cuba bersikap profesional. Namun lelaki itu makin berani hingga menawarkan Asma' menjadi perempuan simpanan. Bingkas Asma' bangun dan memarahi lelaki itu hingga dia terpinga-pinga.
Sayup-sayup, Asma' mendengar dia menempelak, 'pakaian mencolok mata kamu memang patut dapat tawaran jadi perempuan simpanan!" . Sungguh, Asma' rasa sangat terhina.
Dengan gemulah nenek Asma' berkongsi rasa sambil menahan tangis. Dalam hening malam, Asma' mendengar suara nenek lembut mententeramkan hati.
"Asma', cucuku. Namamu cukup besar nilainya dalam sejarah Islam. Apapun yang berlaku yang membuatkan kamu terluka lalu menitiskan air mata, janganlah dikenang lagi. Jika sesuatu itu tidak lagi membahagiakan atau menghargai nilai dirimu, berhijrahlah."
Tiada kata mampu dilafaz saat itu. Asma' hanya mampu mengangguk dan menyeka air matanya. Diletakkan kepalanya di sisi bahu neneknya dan menangis teresak-esak. Nenek mengelus rambutnya, lembut dan mengucup hujung dahi Asma'.
Kata-kata nenek menghantuinya, Asma' tertanya-tanya layakkah dia dinamakan Asma'? Dari rak buku, Asma' mengeluarkan naskhah buku pemberian nenek. Kisah anak perempuan Saidina Abu Bakar, seorang srikandi bernama Asma yang menjayakan misi hijrah Rasulullah SAW.
Kemudian, sewaktu Asma' mahu menyimpan kembali buku itu, sebuah buku lain jatuh dan menimpa kakinya. Asma' lekas mengutipnya. Naskhah itu berjudul, Apa Mana Aku Bertudung. Asma' dirundung hiba dan kemudian sewaktu dia melihat nama penulisnya, hatinya dibadai rindu dalam esak tangis yang makin melebat.
Penulis itu namanya Azimah Musanif. Dia adalah nenek. Asma' membacanya baris ke baris. Di dalamnya nenek menghimpunkan pengalaman dan kegetirannya memperjuangkan pemakaian tudung.
Antara baris yang menangkap tangkai jantung Asma' sewaktu nenek menuliskan mengenai barisan juri yang memperlekehkan permohonan nenek melanjutkan pengajian ke maktab perguruan kerana memakai tudung.
Nenek diketawakan dan digelar 'hantu kum-kum' juga 'orang dakwah' hanya kerana dia memilih sehelai tudung menutupi rambutnya.
"Bolehkah wanita bertudung melakukan aktiviti di padang, bercampur pula dengan lelaki. Mengajar di sekolah kena ajar bersukan dan macam-macam lagi. Saya rasa awak patut balik mengajar agama sahajalah dengan penampilan bertudung sebegini," itu antara ayat yang tertulis dalam naskhah itu.
Dada Asma' ketat. Pelbagai rasa bercampur dalam satu masa yang akhirnya menyaksikan air matanya turun makin laju.
Mungkin itulah sebabnya nenek mengajar agama sehingga akhir hayatnya sedangkan nenek pelajar cemerlang ketika zaman persekolahan. Cita-cita dan impian nenek mendidik anak bangsa dinafikan kerana memilih sehelai tudung menutup rambut.
Perlahan ada rasa insaf yang seakan menyeluruhi tubuhnya. Ia bagai disuntik masuk dalam setiap urat nadi.
"Nenek, sekarang baru Asma' faham mengapa nenek begitu bersungguh mendidik Asma' untuk bertudung.
"Begitu sukar sekali generasi wanita terdahulu untuk melaksanakan kewajipan agama dengan memakai tudung bahana pandangan asing pasca penjajahan British."
Epilog
Suatu pagi, Asma' mengambil kerudung ungu pemberian gemulah nenek. Entah mengapa saat dia meletakkannya di kepala, air matanya berjuraian. Dalam hatinya membulat tekad, dia mahu melakukan ini. Dia mahu memulakan langkah baharu.
"Nenek, Asma' nekad untuk berhijrah menjadi Muslimah yang taat kepada agama. Tudung bukan belenggu kepada tubuh badan apalagi jiwa dan pemikiran wanita.
"Tudung ini telah membebaskan jiwa Asma'. Ia memberikan Asma' rasa harga diri yang tinggi. Ia memberi makna keIslaman yang sempurna, ia adalah perisai supaya Asma' sentiasa menjaga tindak-tanduk dan akhlak sebagai wanita Islam.
"Asma' mahu menjadi wanita Muslimah yang dirindukan syurga," bisik Asma' perlahan kepada dirinya sendiri saat menatap wajahnya di cermin.
Asma' kemudiannya meletakkan jawatan. Kerjaya yang memintanya membuka aurat dan mendedahkan rambutnya. Rezeki adalah daripada Allah SWT. Asma' percaya itu. Hidup ini adalah sementara, akhirnya akan kembali kepada-Nya.
Asma' menghela nafas dengan lafaz bismillah dia menyerahkan sepenuh dirinya kepada Allah.
- Penulis pemula ini lahir di Johor dan kini bertugas sebagai Pensyarah di Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Kolej UNITI, Port Dickson, Negeri Sembilan.