KUALA LUMPUR: Ranah sastera kebangsaan banyak tertumpu kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selari dengan tujuan awal penubuhannya pada 1956.
Banyak harapan disandarkan kepada organisasi di bawah Kementerian Pendidikan itu, namun sejak 10 tahun kebelakangan ini, DBP kerap diseret kontroversi hingga menjadikan ia seakan-akan jauh daripada khalayak sastera kebangsaan.
Antara isu yang panas dan kerap berbangkit adalah soal pemilihan Sasterawan Negara (SN). Sama ada mengenai pencalonan, kriteria pemilihan sehinggalah kepada tokoh yang diangkat sebagai SN hampir setiap kali ia diumumkan pasti saja menimbulkan pertikaian.
Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari menegaskan badan itu tidak terbabit secara langsung untuk menentukan pemenang.
Katanya, walau siapa pun yang dipilih sebagai SN ia adalah keputusan yang dibuat panel dilantik dan diperakukan oleh Menteri Pendidikan selaku pengerusi sekretariat.
"Bagi kami, DBP hanya menjalankan tugas mengikut proses ditetapkan. Soal ketidakpuasan hati susulan keputusan itu adalah di luar kawalan.
"Ia sebenarnya lumrah (cakap-cakap selepas pengumuman SN), cuma bagi kita sudahpun melaksanakan proses pemilihan berdasarkan tatacara ditetapkan .
"Maknanya ia bermula dengan adanya pencalonan, kemudian akan melalui (proses) penilaian dan perakuan oleh panel bagi dipersembahkan kepada menteri untuk kelulusan," katanya.
Tegas Hazami, pemilihan SN juga dibuat oleh panel yang dilantik. Mereka adalah kelompok individu berkelayakan, mahir dan dalam kalangan ahli akademik selain tokoh sastera.
Justeru tegas beliau, ketidakpuasan hati mungkin timbul apabila ada tokoh yang dikatakan lebih layak menang itu tidak dicalonkan.
Bagaimanapun dalam nada yang lebih positif Hazami berkata, DBP sedia mengambil inisiatif bagi menambah baik proses pemilihan SN sedia ada.
"Misalnya, jika tokoh yang dianggap layak itu tiada dalam senarai, tak dicalonkan mana-mana pihak tapi panel merasakan dia layak dipertimbangkan dan dinilai maka kami ada satu klausa untuk urus setia mencadangkan tokoh berkenaan dimasukkan dalam senarai itu," katanya.
Katanya, proses pemilihan itu juga akan sentiasa berubah dan ditambah baik secara berterusan kerana DBP mahu bersikap terbuka dalam hal ini.
Tegas Hazami, dari sisi lain DBP juga mengharapkan untuk menerima lebih banyak pencalonan bagi memastikan tiada nama yang tercicir.
Justeru katanya, jika ada pihak merasakan terdapat tokoh penulis yang layak dinobat sebagai SN, hantarlah pencalonan.
"Kami sentiasa membuka pintu. Sediakan pencalonan dengan lengkap dan betul supaya ia dapat dinilai sebaiknya," katanya.
SN adalah pengiktirafan tertinggi kerajaan untuk penulis bagi mengiktiraf sumbangan mereka dalam bidang penulisan. Ia umumnya diberikan kepada novelis atau pemuisi yang karya mereka berkualiti dan memberi impak serta pengaruh dalam dunia sastera kebangsaan.
Dalam pada itu, Hazami turut menyedari rungutan mengenai kadar imbuhan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) yang berkurangan sejak empat tahun lalu.
Justeru katanya, nilai hadiah bagi setiap kategori dipertandingkan dalam anugerah itu dikembalikan seperti asal menjelang HSPM terdekat ini yang dijangka penghujung tahun hadapan.
"Pengurangan kadar hadiah itu pada awalnya dibuat kerana kita memahami kehendak kerajaan untuk langkah penjimatan (sebelum ini).
"Ia bukan dibuat sebab kita nak perkecilkan peranan penulis. Terdapat arahan rasmi dari Kementerian Kewangan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) mengenai langkah penjimatan.
"Namun, kami sudah ambil pendekatan baharu dengan adanya sedikit peningkatan hasil. Kita kembalikan semula kepada jumlah asal," katanya.
Untuk rekod, sejak penganjuran HSPM 2017/2018, nilai hadiah untuk semua kategori diturunkan. Misalnya, bagi kategori buku, iaitu merangkumi kumpulan cerpen, novel dan drama, nilai hadiah diturunkan dari RM10,000 kepada RM8,000, manakala kategori buku remaja dan kanak-kanak dikurangkan kepada RM3,000 berbanding hadiah asal, RM5,000.
Pengurangan nilai hadiah itu mencetuskan kekecewaan dalam kalangan khalayak sastera yang mendesak supaya prestij anugerah yang diadakan dua tahun sekali itu dikembalikan.
Sementara itu, Hazami berkata, DBP ketika ini sedang dalam perancangan untuk memperkenalkan sebuah anugerah bagi mengiktiraf tokoh yang menyumbang bakti dalam aspek bahasa.
Hazami berkata, jika bidang sastera menghargai penulis menerusi Anugerah Sastera Negara (ASN) yang membawa gelaran SN, DBP sedang merangka untuk mewujudkan anugerah Tokoh Bahasa Negara yang setaraf dengan ASN.
Jelasnya, bagaimanapun usaha itu masih dalam proses dan perlu dibawa kepada Jemaah Menteri untuk diluluskan kerana ia membabitkan peruntukan dan kehadiran Yang Di-Pertuan Agong.
"Hasrat kita untuk seimbangkan di antara pengiktirafan sastera dan bahasa. ASN sudah diwujudkan sejak 1981. Namun dalam masa yang sama kita sudah pun mengenali Pendeta Za'ba.
"Namun sayangnya pengiktirafan berkaitan bahasa hanya berlaku di peringkat universiti saja. Justeru adalah menjadi antara keutamaan saya supaya dapat anugerah tokoh bahasa ini dapat diadakan," katanya.