Khamis, 23 March 2023 | 3:26pm
Naskhah mengandung 50 puisi dengan tajuk bahasa Melayunya, Luka Kenangan yang diterjemah oleh Fan. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Naskhah mengandung 50 puisi dengan tajuk bahasa Melayunya, Luka Kenangan yang diterjemah oleh Fan. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

10 tahun ambil masa terjemah puisi Paul Celan

KUALA LUMPUR: Sesudah hampir 53 tahun pemergian pemuisi Jerman, Paul Celan, baru-baru ini kumpulan puisi tulisan Celan diterjemahkan ke bahasa Melayu.

Naskhah mengandung 50 puisi dengan tajuk bahasa Melayunya, Luka Kenangan diterjemah oleh Pauline Fan.

Fan yang juga Pengarah Kreatif PUSAKA, berkata beliau tertarik untuk menterjemah puisi Celan kerana sejarah gelap yang menimpa penulis itu dan bukan hanya penulisan abstrak semata-mata.

"Jika kita membaca puisi Celan, di dalamnya termuat ingatan terhadap peristiwa sejarah Holocaust yang dialaminya. Peristiwa itu turut mengorbankan ibu bapanya.

"Satu lagi faktor buat saya tertarik adalah puisinya yang membawa tema kehilangan identiti dan bangsa," katanya dalam majlis pelancaran Luka Kenangan yang turut dihadiri oleh Sasterawan Negara, Prof Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh baru-baru ini.

Fan berkata, menterjemahkan karya sebegini tidak boleh dibuat dalam masa singkat dan tergesa-gesa. Justeru beliau mengambil masa hampir 10 tahun berbuat demikian.

Katanya, menghasilkan draf awal terjemahan ini tidak sukar tetapi draf seterusnya hingga siap agak mencabar kerana beliau secara peribadi banyak berfikir dan bertanya adakah istilah yang digunakan itu tepat.

Mengulas lanjut, Fan berkata beliau sangat meminati karya daripada negara Jerman kerana sastera daripada negara itu mempunyai nilai yang sangat menarik.

"Bahasa Jerman ini sangat rapat dengan saya kerana mereka banyak membicarakan mengenai masalah keberadaan manusia. Perkara ini saya lihat masih relevan sehingga ke hari ini.

"Saya juga menyukai sastera Jerman kerana pada Abad ke-20 sasterawan Jerman banyak mengetengahkan kontradiksi dan konflik yang berlaku di dunia," katanya.

Untuk rekod, Celan atau nama asalnya Paul Antschel dilahirkan di Romania tetapi membesar di Jerman adalah pengarang yang dikenali dengan puisi-puisinya. Buku pertamanya terbit 1947 tetapi dia hanya mula terkenal dan mencipta reputasi menerusi naskhah keduanya, Mohn und Gedaechtnis (Poppy and Memory) yang terbit pada 1952. Celan meninggal dunia pada 1970.

Berita Harian X