Isnin, 20 March 2023 | 12:56pm

Cerpen BH Ahad: Cerita Rencong nak bertanding

TONGKAT kayu dipegang megah sambil berjalan melihat sekeliling diapit dua orang kanan bernama Condong dan Liang.

Rencong mendepang dada melihat pengikut serta rakyat di sebuah kota raya bernama Kundang menyanjunginya. Tunduk hormat sehingga membongkok sebagai tanda penghormatan.

Semuanya kerana Rencong telah berjasa memajukan sebuah kawasan pinggir kota setanding dengan pembangunan kota raya Kundang. Kejayaan itu meletakkan dirinya Rencong sebaris bersama tampuk kepimpinan pusat (yang hanya bijak berkata-kata berbanding menterjemahkannya).

Namun Rencong sudah memutuskan. Dia mahu melepaskan jawatan ketua penyatu masyarakat suku kaum di daerah jajahannya itu. Dia akan melantik anak sulung, Gombang menggantikannya. Rencong tahu, pelantikan Gombang mendapat bantahan daripada ketua-ketua suku kaum kononnya tindakan itu sudah melanggar tradisi parokial yang diamalkan sejak turun-temurun.

Natijahnya, Serampang selaku timbalan ketua tersinggung dan berkomplot bersama pengikut untuk menjatuhkan Gombang sama ada secara kekerasan mahupun kaedah berdiplomasi.

Khabar itu tiba ke pengetahuan Gombang melalui balaci bernama Kepong. Jadi dia sudah cukup bersedia jika Serampang menyerangnya secara fizikal atau melalui perang saraf.

Jadi sewaktu Gombang bertembung dengan Serampang di sebuah pusat keramaian suku kaum, lekas saja Gombang menghulur tawaran. Dia berdiplomasi, mahu menawarkan Serampang sebahagian tanah di sebuah daerah dan dua suku kaum. Tapi Serampang tidak pun berminat !

II

Banyak sungutan dan luahan rakyat masih diterimanya. Semuanya mengenai kecurangan barisan kepimpinan dalam amanah mereka.

Rencong bagai terbangun. Sungutan dan luahan itu menjadikannya merasa masih relevan. Dia merasa dirinya hebat serta yakin mendapat sokongan rakyat di sekitar daerah serta penempatan di pinggir kota dan sepanjang tebing sungai yang dihuni oleh suku kaum dari gunung, daratan dan kuala.

Didorong rasa insaf, Rencong lekas menawarkan diri bertanding jawatan ketua agung penyatu masyarakat untuk terus dominan dan membawa suara rakyat ke dewan tertinggi ibu kota Kundang.

Rencong mengetuai suara dari ketua-ketua suku kaum yang menyebelahinya mendesak barisan kepimpinan membubarkan tempoh kuasa pemerintahan dengan alasan tidak mendapat sokongan majoriti dan relevan dengan kehendak rakyat.

"Rakyat menderita dan terbeban kerana ketua agung dan barisan kepimpinan gagal mengotakan janji, manifesto, visi dan misi yang dibentang dan dibahaskan sekian lama.

"Ketelusan tidak dipelihara, integriti punah, keadilan sosial tidak terjamin, kebebasan bersuara dibendung dan urus tadbir tata kelola semakin musnah!

"Kota raya Kundang mundur, kota berdaulat tidak berfungsi dengan sempurna dan kondisi hidup rakyat makin menurun. Barisan kepimpinan tidak efektif untuk membuat polisi dasar dan tidak mampu lagi memberi khidmat awam yang baik malah ramai yang terjebak dalam kronisme, nepotisme, korupsi dan kleptokrasi."

Itu tulisan yang berterbangan di setiap pelosok jajahan. Ia adalah menjadi manifesto Rencong. Dia berikrar membina sebuah kota raya berkemajuan tinggi dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar, pendapatan per kapita, anjakan pemikiran literasi mencapai negara maju serta pengurangan pinjaman bon dan sukuk untuk pembangunan kota.

Rencong akan membawa pelabur-pelabur luar untuk melabur sekali gus mengurangkan kadar pengangguran yang semakin meningkat.

Rencong semakin mendapat kepercayaan untuk menggantikan kepimpinan sedia ada tetapi rasa berbelah bahagi apabila melihat rakyat dan suku kaum mula berpecah.

Selama ini Rencong sudah bersusah payah menyatukan semua suku kaum di bawah satu bendera dan bertutur dalam satu bahasa. Banyak tanah-tanah kosong dibangunkan dan dibina rumah-rumah kediaman untuk anak-anak suku kaum. Bantuan dihulur apabila ada suku kaum ditimpa musibah.

Rencong juga berjaya mendapatkan kembali tanah yang telah digadai oleh seorang ketua suku kaum dari seorang pengusaha dari luar kota.

Ya, bukan tidak pernah Rencong dicabar. Walaupun dia merasakan semua usaha pembangunan itu adalah kerja murni dan telus tetapi dia tetap juga menerima tentangan dari beberapa ketua-ketua suku kaum.

Untuk mereka, perjuangan adalah lebih ideal untuk terus menerima apa sahaja sebarang kemungkinan yang akan berlaku asalkan dapur mereka terus berasap dan suku kaum serta keluarga mereka mendapat perhatian dan pembelaan.

III

Kelmarin, sewaktu bertemu pengikutnya, Serampang menyebut begini; aku tidak akan mengundi Rencong!

Serampang berterus terang dan berpendirian tidak akan memberikan undi pada Rencong untuk memudahkan Rencong menang jawatan ketua agung. Malah Serampang akan mencabarnya dalam pemilihan itu.

Serampang ditempelak oleh beberapa pengikut kerana musykil akan berlaku keadaan sebaliknya kerana mereka tahu Serampang seperti lalang ditiup angin. Bila dimomokkan akan memegang jawatan itu dan ini, pendirian Serampang akan goyang, mungkin tergiur dengan kuasa yang bakal berada di dalam tangan.

Serampang panas hati ditempelak. Lekas dia berdiri di atas bukit sambil memberikan ikrar tidak akan memilih dan mengundi Rencong. Dia sungguh-sungguh berikrar.

Perbincangan hari itu berakhir dengan masing-masing bersetuju untuk mengadakan satu pakatan dengan suku-suku kaum untuk menjatuhkan Rencong. Beberapa pengikut diarahkan oleh Serampang bertemu dengan ketua-ketua suku kaum dan memberikan ikrar setia tidak akan mengundi dan memilih Rencong sebagai ketua agung.

Segala percakapan hendaklah dicatat dan sesiapa ketua yang menyebelahi Serampang, mereka akan diberikan jawatan apabila berkuasa. Serampang akan menubuhkan satu pakatan baharu dalam waktu yang terdekat untuk menyaingi Rencong.

Serampang yakin pakatan baharu ini akan memberikan semak dan imbang kepada Rencong yang heboh diperkatakan telah sekian lama melenyapkan wang kutipan cukai hasil tanaman untuk kepentingan peribadi.

IV

Hasrat Rencong untuk menjadi ketua agung rupanya bukannya hal yang mudah. Walaupun sebahagian besar pengikutnya yakin Rencong akan menduduki singgahsana jawatan itu, tapi Rencong juga tahu masih ramai musuh dalam selimut dan gunting dalam lipatan.

Malah, pengikut-pengikut Serampang sentiasa bergerak, berkempen, memujuk, melakukan perang saraf dan menabur janji kepada ketua dan suku kaum untuk memastikan undi tidak diberikan kepada Rencong.

Sejak Rencong menawarkan diri ke jawatan itu, ketua-ketua suku kaum telah mula berpecah asbab politik. Mereka tidak lagi cakna untuk memajukan suku kaum sendiri dan kota raya.

Melalui risikan daripada balaci-balaci si Kepong, ada suku kaum menjadi rasis, 'macai' dan pengampu untuk mendapat laba politik buat mengisi perut sendiri dan keluarga. Ada yang mula menghasut serta memainkan sentimen perkauman.

Ada juga mula menjadi ekstrem kepada agama dan terbuai dengan mereka yang berjubah dan berserban serta sentiasa mencari jalan singkat ke syurga.

Rencong juga tahu, ada satu suku kaum disebut Walaun yang bagai duduk dalam dunia sendiri. Mereka itu sukar benar diubah mentaliti mereka kerana taasub dan tidak akan peduli bukti-bukti sahih diberikan, walaupun ditunjukkan bumi ibu kota Kundang yang sudah terbelah dua.

Ada yang selesa menjadi pak turut, majoriti senyap dan atas pagar. Mereka tidak berada di dalam suku kaum dan biasa-biasa dalam berpolitik malah umumnya hanya untuk memperoleh sesuatu kepentingan.

Golongan muda pula mudah dipengaruhi oleh pengikut Serampang untuk menolak Rencong dalam pemilihan ketua agung kali ini.

Semua itu cabaran yang boleh mematahkan semangat. Tapi Rencong tetap ligat melawat kawasan dan berjumpa rakyat. Menyelesaikan beberapa masalah yang bertahun-tahun tidak diambil peduli oleh pemerintah sekarang.

Pelbagai janji, subsidi, bantuan berkala dan limpahan kemajuan di setiap kampung suku kaum ditabur untuk memuaskan hati bagi mendapatkan kepercayaan. Tapi bagi sebahagian suku kaum yang lain mereka sudah lali dengan permainan politik, habuan gula-gula dan dedak daripada pemimpin bila tiba musim pemilihan.

Sedang Rencong leka berkempen, beberapa orang ketua-ketua suku kaum bangun sambil menyuarakan rasa tidak puas hati sambil mengajak Rencong berdebat.

"Tiga tahun lalu kami telah menggunakan kuasa melalui kertas undi menentukan siapa selayaknya untuk dipilih dan ketua agung berjaya dijatuhkan.

"Ketua agung sekarang hebat gaya politiknya ditambah dengan kata-kata manis dari barisan kepimpinan untuk terus berkuasa. Kami bukannya bodoh, sentiasa melihat dan muak dengan kerenah para pemimpin.

"Kami semua ingat limpahan janji yang diberi sebelum pemilihan sedangkan pemimpin lupa, ingat-ingat lupa dan lupa-lupa ingat atau pura-pura lupa," kata seorang ketua suku kaum.

"Apa yang kami dapat? Memaksa kami mengundi dan memilih dengan asbab untuk sebuah kerajaan yang stabil tetapi setelah itu kami dipinggirkan malah dilupakan terus bila sudah berkuasa.

"Cuba lihat kami ini. Kami masih lagi miskin, merintih kos sara hidup yang tinggi, rumah kediaman kami yang kecil sedangkan ahli keluarga kami ramai. Semua ini merunsingkan kami tetapi pemimpin bertambah kaya-raya," ujar seorang ketua suku kaum lain.

"Kami bukan pengemis tetapi pemimpin tidak mendengar rintihan kehidupan kami. Nampak muka hanya waktu berkempen. Kami tidak mahu Kundang dan masa depan anak cucu kami tergadai oleh pemimpin yang tidak amanah.

"Kami mahu Kundang diurus dan ditadbir dengan baik, telus dan dihormati. Kami mahu Kundang yang lebih makmur, maju dan bersatu padu serta kepemimpinan yang adil, bersih dan berintegriti tinggi yang seluruh jiwa raganya ditumpukan untuk membangunkan kota raya Kundang dan rakyat," tambah ketua suku kaum wanita pula.

Rencong bangun dari duduknya seraya menghentak tongkat kayu ke tanah. Semua luahan dan sungutan itu perlu diselesaikan. Tidak boleh pemimpin duduk selesa sedang rakyat menderita. Mereka seolah-olah tidak ada hak, menyokong dan menerima arahan tanpa soal jawab.

Hendak kena ajar semua mereka ini! kata Rencong dalam hati.

Rencong dan pengikutnya menuju ke kota raya Kundang. Ketika ketua agung dan barisan kepimpinan sedang bermesyuarat, Rencong datang sambil mendesak agar pemilihan barisan kepimpinan baharu diadakan bulan hadapan walaupun kota raya sedang menghadapi fenomena alam yang memungkinkan banjir besar akan berlaku.

Dengan lantang Rencong bersuara biarlah keputusan memilih ketua agung dan barisan kepimpinan di tangan rakyat melalui pengundian.

"Rakyat sudah muak dengan politik caca merba dan kepercayaan yang telah diberikan. Tanggung jawab dan amanah telah diabaikan hanya bersenang-senang duduk di atas kerusi empuk sambil menggembungkan poket tetapi rakyat di luar sana masih ramai berada dalam tahap kemiskinan.

"Yang berkuasa bertambah kaya rakyat makin tertekan kos sara hidup. Amanah yang dijalankan tidak telus malah banyak yang mengamalkan rasuah.

" Tidak ada seorang pun daripada barisan kepimpinan selama ini mengundurkan diri dan mengaku tidak berjaya memberikan khidmat dengan baik. Mereka lebih suka membiarkan rakyat terhukum. Mereka yang begini perlu mengundur diri dalam pemilihan kali ini."

Semuanya terdiam mendengar kelantangan suara Rencong.

V

Tindakan Rencong mendapat sokongan daripada semua ketua-ketua suku kaum. Serampang mula berpeluh setelah mendapat tahu ikrar setia ketua-ketua suku kaum yang sebelum ini memihak kepadanya telah berubah arah menyokong Rencong. Sudah pasti Rencong yang terpalit dengan isu melenyapkan wang kutipan cukai hasil tanaman akan menang dan berkuasa.

Serampang bersama pengikutnya mencari jalan dan pengaruh dengan giat berkempen memainkan isu cukai kepada ketua-ketua suku kaum. Pelbagai helah dan dalil diberikan mengapa Rencong tidak boleh menjadi ketua agung sekiranya portfolio cukai di bawah kekuasaannya kelak. Semua mesti dibuat bagi menghalang kemenangan Rencong. Sekurang-kurangnya tindakan Serampang tidak memberikan jalan mudah untuk Rencong menang.

Untuk Rencong, apa sahaja tindakan dan diperkatakan dari pihak lawan, dia tetap akan mara dan bertanding jawatan ketua agung penggal akan datang. Rencong akan membawa perubahan secara mendadak serta meninggalkan perlakuan buruk yang dilakukan oleh ketua agung dan baris kepemimpinan sebelum ini.

Rencong yakin dapat memenangi dalam pemilihan kali ini dan akan memilih serta melantik barisan kepimpinan dari suku kaum muda agar segala janji, manifesto, visi dan misinya dapat ditunaikan dengan mudah.

- Penulis asal Johor ini menetap di Kluang.

Berita Harian X