Isnin, 20 March 2023 | 12:48pm
Seni adalah kuasa lunak yang menjadi sebahagian cabang diplomasi budaya. Gambar Arkib NSTP
Seni adalah kuasa lunak yang menjadi sebahagian cabang diplomasi budaya. Gambar Arkib NSTP

Zambry Abdul Kadir puisikan pengalaman hidup

KUALA LUMPUR: Kesusahan hidup yang dibelenggu kemiskinan banyak mencelikkan pandangan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Apatah lagi berasal dari Pulau Pangkor, Perak kehidupan sebagai anak pulau katanya membuatkan beliau lebih peka dengan persekitaran dan susah senang kehidupan yang kemudiannya diluahkan dalam bentuk puisi.

Hari ini selain mencipta nama dalam dunia politik tanah air dan membarisi kabinet, Zambry juga sebenarnya adalah penulis puisi yang prolifik. Selain menghasilkannya secara eceran, beliau turut mempunyai kumpulan puisi berjudul Surat Sahabat yang terbit pada 2017.

Zambry ketika ditemui dalam siri bulanan Malam Baca Puisi PENA dan majlis pelancaran Tabung Mangsa Gempa Bumi Turkiye dan Syria bertempat di Rumah PENA, di sini minggu lalu berkata, selepas naskhah Surat Sahabat beliau berhasrat untuk menghasilkan kumpulan puisi terbaharu.

"Niat itu ada, tetapi ia masih tertangguh disebabkan keterbatasan waktu.

"Lagipun, proses menyiapkan kumpulan puisi tentu saja akan mengambil masa untuk fasa semakan juga perlu disusun sebelum diterbitkan," katanya kepada BH.

Zambry berkata, sebagai individu yang berasal dari pulau, beliau dibesarkan oleh pengalaman kesusahan dan kemiskinan hidup sendiri juga masyarakat kelilingnya.

Justeru semua itu menginspirasikan dan akhirnya diluahkan dalam bentuk puisi.

Malah katanya, hingga saat ini pun pengalaman lepas masih berperanan sebagai sumber ilham setiap kali berkarya.

"Alam dan pengalaman hidup memang banyak memberi inspirasi kepada saya.

"Selain itu juga saya sebenarnya meminati puisi-puisi tulisan Sasterawan Negara Datuk Dr Usman Awang.

"Selain beliau, puisi-puisi tulisan T Alias Taib dan Latiff Mohidin sangat memberi kesan kepada saya," katanya.

Tegas Zambry, tiga pengarang hebat itu banyak mempengaruhi pengkaryaannya dan memberi inspirasi dalam cara yang tersendiri. Antaranya, pemilihan setiap diksi dalam sajak-sajak mereka sangat bermakna namun dalam masa yang sama memberi impak kepada rima. Ia sekali gus memberi kesan yang mendalam kepada pembaca.

Penegasan begini memang bukan luar biasa bagi seorang pembaca tegar dan penggemar puisi. Malah Zambry seperti yang diketahui umum menunjukkan komitmen kepada pembangunan kesusasteraan dan budaya ketika bertugas sebagai Menteri Besar Perak.

Antaranya komitmen beliau dalam menganjurkan Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) di Pulau Pangkor. Meskipun hari ini penganjuran PULARA sudah beralih ke ibu negeri, namun acara itu masih diadakan serta diraikan oleh khalayak sastera dan budaya bukan hanya di Perak tapi seluruh negara.

Menyentuh hal itu Zambry berkata, dalam konteks pembinaan negara antara hal yang perlu diambil berat adalah pembinaan manusia itu sendiri.

"Sering kali saya sebutkan dalam pembinaan negara kita bukan hanya memerlukan perkara yang bersifat materialistik dan juga fizikal seperti bangunan pencakar langit semata-mata.

"Kita sebaliknya perlu juga membangunkan jiwa. Jadi, kalau aspek dalaman manusia seperti emosi dan psikologinya kita pinggirkan, maka kita akan kehilangan perimbangan dalam diri manusia," katanya.

Justeru beliau percaya, aspek pembinaan negara dan manusia ini perlu seimbang. Malah, katanya pertumbuhan manusia dan negara perlu berlaku secara seiring serta sebaiknya.

"Sebagai menteri luar, saya selalu tekankan mengenai satu aspek diplomasi yang mempunyai kesan besar kepada manusia iaitu kuasa lunak.

"Kuasa lunak ini sebahagian cabang diplomasi budaya. Sama ada dari segi makanan, pakaian, tutur kata dan aspek yang lain, ia mampu memberi impak kepada masyarakat dunia dalam memahami dan melihat mengenai kelebihan yang ada pada sesebuah negara," katanya.

Tegas Zambry, kuasa lunak bukan perkara baharu. Malah sudah banyak negara yang mengamalkannya sebagai usaha memperluaskan pengaruh dan pemahaman mengenai mereka dalam kalangan negara lain.

Malah katanya, itu juga pendekatan yang kita lakukan sekarang kerana kaedah itu membantu dalam membawa ketenteraman kepada manusia dan negara.

"Sekiranya ada konflik yang berterusan di antara dua negara, salah satu instrumen yang mampu membawa kedua-dua pihak ini ke meja rundingan adalah melalui pendekatan kuasa lunak itu sendiri.

"Ini adalah seni dalam diplomasi budaya," ujarnya.

Katanya, kuasa lunak adalah polisi yang dipopularkan oleh sarjana sains politik Amerika Syarikat, Joseph S Nye sejak 1980. Ia mengandungi instrumen kebudayaan, peradaban dan kesenian dalam usaha mempengaruhi pihak lain. Selain itu ia juga alternatif untuk meningkatkan pengaruh dan keberadaan di persada antarabangsa tanpa meminggirkan jati diri sesebuah bangsa dan negara.

Selain menulis puisi, Zambry juga menghasilkan karya bukan fiksyen antaranya

"Umno dan Jiwa Merdeka" (1998); "Pemuda Umno Menebus Maruah, Menuju Arah" (2000) dan "Islam Malaysia dan Amerika" (2002).

Beliau juga menulis ratusan esei selain terbabit dalam proses penyuntingan beberapa buku antaranya Pendidikan dan Pembangunan (1998) dan Business Administration in Islam (1991).

Berita Harian X