KUALA LUMPUR: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan mengadakan perbincangan dengan Institut Terjemahan & Buku Negara (ITBM) dan Yayasan Karyawan dalam tempoh terdekat bagi merangka hala tuju penerbitan dan penterjemahan yang lebih berfokus.
Perbincangan itu bagi memastikan aktiviti penterjemahan dan penerbitan dapat dilaksanakan sebaiknya selari dengan kesediaan kerajaan menyediakan RM20juta untuk tujuan berkenaan
DBP dalam kenyataan medianya berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk menerima pandangan pelbagai pihak dalam memastikan mekanisme terbaik untuk memanfaatkan dana diterima.
"Justeru, DBP akan merangka mekanisme terbaik untuk memastikan peruntukan yang akan disalurkan dapat dimanfaatkan secara bersama dengan Institut Terjemahan & Buku Malaysia juga Yayasan Karyawan.
"Ia juga akan memberi manfaat kepada penerbit lain dalam mengetengahkan karya terjemahan bermutu," katanya.
Katanya lagi, fokus utama DBP adalah penterjemahan karya asli dan karya agung dalam bahasa Melayu kepada bahasa asing dan dalam bahasa asing kepada bahasa Melayu.
Sementara itu, karya penulis yang berimpak tinggi dalam konteks keilmuan, falsafah dan pemikiran juga akan menjadi tumpuan dalam penterjemahan dan penerbitan karya demi membangunkan tamadun bangsa.
"Pemerkayaan khazanah dan kepustakaan ilmu ini juga antara strategi utama dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan memperuntukkan sejumlah RM20 juta kepada tiga agensi bagi menggalakkan aktiviti terjemahan dan penerbitan iaitu DBP, ITBM dan Yayasan Karyawan.