KUALA LUMPUR: Penulis dari Asia Tenggara semakin menarik perhatian pasaran buku antarabangsa kebelakangan ini. Ia susulan semakin ramai penulis dari ranah ini memenangi pelbagai anugerah dan menerima pengiktirafan hasil kerja penulisan mereka.
Nama seperti seperti Tan Twan Eng, Tash Aw serta Eka Kurniawan misalnya antara pengarang Asia Tenggara yang mempunyai pengikut sendiri di peringkat antarabangsa.
Justeru bagi Pengurus Pembangunan Perniagaan Penguin Random House SEA, Hasri Hassan, beliau melihat potensi penulis di rantau ini dapat dikembangkan lagi kerana ramai pembaca dari seluruh dunia yang tertarik untuk membaca buku yang berlatarbelakangkan latar masyarakat Asia Tenggara.
Katanya, antara isu yang menarik perhatian pembaca dalam penulisan penulis Asia Tenggara adalah hal-hal berkaitan kekeluargaan.
"Konflik kekeluargaan yang ditonjolkan dalam novel tulisan pengarang Asia Tenggara mempunyai pendekatan berbeza jika dibandingkan dengan penulisan dari Amerika Syarikat (AS).
"Malah budaya Asia Tenggara yang melatari kebanyakan karya tidak sama dengan budaya masyarakat Eropah.
"Jadi perkara ini dapat memberikan perspektif yang segar dalam pembacaan kepada khalayak antarabangsa. Hal ini tentu saja disebabkan banyak warisan sejarah Asia umumnya dan Asia Tenggara khususnya tidak diketahui oleh pembaca bukan Asia," katanya.
Mengambil contoh naskhah klasik Sulalatus Salatin yang diterjemahkan oleh Sasterawan Negara Profesor Emeritus Muhammad Salleh dan diterbitkan Penguin Random House, ia mendapat sambutan hangat pembaca luar Malaysia.
Katanya naskhah terjemahan dengan tajuk The Genealogy Of Kings itu dilihat oleh pembaca antarabangsa sebagai penulisan yang eksotik.
Tambah Hasri, menerusi data yang direkodkan Penguin Random House SEA, kekuatan sebenar yang ada pada penulisan penulis-penulis Asia Tenggara adalah sastera klasik.
"Disebabkan perkara ini Penguin Random House SEA, mula mencari karya-karya dari Asia Tenggara untuk dikembangkan lagi.
"Jika penulis menerbitkan buku menerusi rumah penerbitan tempatan, jualan mereka akan tertumpu kepada geografi mereka sendiri sahaja.
"Misalnya, kalau penulis Singapura terbitkan buku, penduduk Singapura sahaja akan membeli dan membacanya. Bagi penulis Malaysia pula, mereka mungkin boleh menjualnya di Singapura selain pasaran besar masih tertumpu kepada negara sendiri," katanya.
Namun dalam usaha untuk keluar daripada zon selesa, penulis boleh mencuba untuk menguji pasaran lain dengan menyertai rumah-rumah penerbitan antarabangsa.
Dalam konteks Sulalatus Salatin katanya, naskhah bahasa Inggerisnya turut boleh dinikmati pembaca luar Malaysia iaitu Thailand dan Filipina.
Katanya, rumah penerbitan besar umumnya mempunyai hubungan yang baik dengan rangkaian kedai buku utama dunia. Justeru potensi untuk buku yang diterbitkan menembusi pasaran luar Asia lebih luas.
Berkongsi pengalamannya, Hasri berkata kerana bertapak di Singapura, Penguin Random House amat meraikan sastera Asia Tenggara. Malah hingga kini lebih 200 judul oleh penulis Asia Tenggara sudah diterbitkan. Naskhah ini katanya turut berupaya menembusi pasaran Eropah selain New Zealand dan Hong Kong.
Bagaimanapun katanya, untuk menembusi pasaran antarabangsa ia memerlukan karya-karya berbahasa Inggeris.
"Sebab itu kami memulakan dengan karya terjemahan terlebih dahulu. Ia penting untuk membina nilainya di pasaran.
"Namun pada masa akan datang, kita memang mempunyai perancangan untuk menerbitkan buku-buku dalam bahasa Asia Tenggara.
"Langkah ini mungkin agak mencabar kerana Asia Tenggara itu sendiri mempunyai pelbagai bahasa. Jadi agak sukar untuk orang Indonesia dan Malaysia misalnya menikmati karya dalam bahasa Thailand. Jadi rancangan kita sekarang adalah untuk menyuburkan dahulu penulisan yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris," katanya.
Katanya, sejak 2018 seramai 24 penulis dari Malaysia sudah menerbitkan karya dengan Penguin Random House SEA. Selain naskhah terjemahan, mereka turut menerbitkan karya asli berjudul, Snow In Kuala Lumpur yang mengisahkan latar belakang sejarah sebelum Malaysia merdeka.
Penulisan seperti itu kata Hasri adalah contoh karya yang dicari oleh pembaca antarabangsa. Hal ini disebabkan ia membuka lebih banyak ruang untuk pembaca tahu mengenai budaya dan pemakanan tempatan, apatah lagi jika ia dihasilkan dalam genre fiksyen.
Katanya lagi, data pemasaran turut menyebut pembaca umumnya lebih berminat dengan genre sejarah atau biografi. Selain itu naskhah genre awal dewasa (young adult) turut mendapat sambutan hangat.
Mengulas mengenai buku digital pula, Hasri berkata secara asasnya ia adalah pilihan yang diberikan kepada pembaca.
"Ada orang masih sukakan naskhah fizikal tapi ada yang selesa dengan buku digital. Semua ini tertakluk kepada minat masing-masing.
"Buku digital umumnya lebih digemari oleh golongan yang suka melancong, kerana ia boleh diakses bila-bila masa sahaja.
"Namun bagi orang yang tidak suka membaca, buku dalam bentuk apa pun mereka tetap tidak akan membaca," katanya.
Sementara itu mengupas mengenai genre yang dijangka mendapat sambutan hangat tahun ini, Hasri berkata buku yang berunsurkan pemulihan ataupun 'healing' dijangka lebih mendapat tempatan.
Hal ini dikaitkan dengan faktor semasa yang memperlihatkan ramai orang tertekan dengan kerja, ekonomi dan kehidupan.
"Membaca naskhah sebegini adalah antara pilihan mereka untuk melarikan diri dari realiti.
"Buku genre ini mempunyai teks yang minima tapi tersusun elok dan cantik selain banyak ilustrasi. Ia seolah-olah untuk memujuk hati.
"Saya meramalkan buku ini akan menjadi pilihan utama pembaca," katanya.