KUALA LUMPUR: Iltizam politik akan membantu merancakkan industri perbukuan negara. Namun di negara ini ruang itu masih perlu diperbaiki bersandarkan Dasar Buku Negara yang diperkenalkan sejak 1985 tidak pernah dikemas kini.
Justeru, masa berubah namun Dasar Buku Negara kekal mengikut acuan era 80-an sedangkan antara tujuan asal ia diperkenalkan adalah bagi menggariskan pendekatan menyeluruh membudayakan amalan membaca.
Bagi Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MKBM), Mohd Khair Ngadiron
dasar itu perlu dikemas kini berdasarkan keperluan semasa.
Katanya, sejak dasar itu diperkenalkan landskap perbukuan negara sudah banyak berubah.
"Dalam dasar yang kita ada sekarang tidak ada kandungan mengenai buku digital. Sedangkan menjadi satu keperluan untuk memastikan Dasar Buku Negara selari dengan perkembangan semasa dan dapat diangkat semula.
"Dengan dasar yang lebih kemas, terperinci dan dana strategi khas barulah industri buku dapat diperkukuhkan. Saya harapkan kami akan mempunyai ruang untuk membentangkan usul ini kepada menteri-menteri yang berkaitan," katanya.
Justeru katanya dalam hal ini iltizam politik amatlah penting dan ia seharusnya mendapat sokongan secara langsung daripada kerajaan.
Tegas Mohd Khair, bagi memastikan berlakunya reformasi dalam dunia perbukuan kebangsaan, ia bukan hanya digerakkan oleh pemain industri semata-mata sebaliknya peranan ahli politik juga dituntut.
"Kita tidak boleh melihat politik menerusi konotasi yang negatif sahaja.
"Saya fikir Perdana Menteri selalu bercakap mengenai buku yang dibacanya. Secara tidak langsung ini sebenarnya adalah satu rangsangan kepada rakyat untuk mencintai buku. Galakan seperti ini yang kita perlukan.
"Jika ahli politik tidak mahu terbabit dalam industri ini atas dasar tidak mahu campur tangan, saya fikir ini adalah satu kerugian," katanya.
Tambah Mohd Khair, berbanding industri lain perbukuan kurang mendapat perhatian politikus. Sedangkan, industri lain misalnya pertanian atau secara khusus kelapa sawit ia memperoleh hasil yang baik menerusi perjuangan orang politik.
Justeru beliau melihat industri buku memerlukan sinergi di antara kesungguhan politik untuk terus berkembang. Jika politik dan juga industri pembukuan dipisahkan sepenuhnya ia akan memberikan kerugian kepada industri dan masyarakat.
Katanya di Barat, bukan hal yang luar biasa melihat pemimpin sangat mencintai ilmu malah hal sama juga boleh dilihat di negara Asia.
"Misalnya kita tahu Perdana Menteri kita seorang pembaca yang tegar. Malah Jokowi dan juga Barrack Obama juga ada mengeluarkan buku sebelum menjadi presiden.
"Hal-hal begini seharusnya merancakkan dunia perbukuan," katanya.
Tambahnya, industri perbukuan tempatan juga tidak seharusnya tersekat di peringkat kebangsaan sahaja sebaliknya lebih banyak usaha perlu dibuat bagi mengantarabangsakan karya tempatan.
Hal ini antara usaha yang dibuat oleh MBKM dan juga beberapa pihak lain antaranya Perbadanan Kota Buku. Malah Mohd Khair sebelum ini ketika berkhidmat di Institut Terjemahan & Buku Malaysia, melihat ruang luas di peringkat antarabangsa untuk diterokai.
Katanya selain Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt yang berlangsung setiap Oktober, terdapat beberapa lagi acara seperti itu yang dianggap signifikan. Antaranya di Arab Saudi dan Tokyo selain Malaysia kerap menyertai Pesta Buku Antarabangsa Jakarta.
"Tahun lalu ketika di Frankfurt, Jerman kita ada melatih penerbit melalui kursus hak cipta supaya mereka menjadi lebih mahir dalam memperdagangkan buku-buku terbitan mereka ke luar negara.
"Kebiasaannya penerbit ini berperanan dalam menjual karya yang diterbitkan tetapi ada juga penulis yang hadir secara individu. Kami di MBKM boleh membantu membuka jalan tetapi mereka secara individu patut lebih gigih patut mengembangkan usaha ke peringkat antarabangsa," katanya.
Katanya, dunia penerbitan adalah luas dan demokrasi. Namun dalam masa yang sama kita tidak menidakkan keupayaan masyarakat untuk menilai di antara perkara baik dan yang buruk.
"Misalnya ada penulis yang lebih suka terbit karya sendiri dan kebelakangan ini timbul isu novel lucah.
"Saya melihat ia adalah sebahagian daripada proses demokrasi, setiap penulis ada cerita yang mereka mahu sampaikan.
"Sekiranya ada perkara yang baik masyarakat akan puji jika tidak baik pasti akan ada kritikan. Jangan risau jika ada karya lucah diterbitkan, hal sebegitu mudah tular, orang akan kecam," katanya.
Untuk rekod, Mohd Khair diumumkan Tokoh Buku Negara anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), awal Februari lalu.