Isnin, 20 Februari 2023 | 2:28pm
Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan Kamus Dewan sejak 1970 dan berterusan sehingga kini. Ia menjadi rujukan pelbagai lapisan masyarakat bagi mendapatkan panduan penggunaan bahasa Melayu yang betul. Gambar Arkib NSTP
Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan Kamus Dewan sejak 1970 dan berterusan sehingga kini. Ia menjadi rujukan pelbagai lapisan masyarakat bagi mendapatkan panduan penggunaan bahasa Melayu yang betul. Gambar Arkib NSTP

DBP perlu bergerak seiring zaman

KUALA LUMPUR: Selepas 67 tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ditubuhkan dengan pemimpinnya bersilih ganti, pastinya badan bahasa itu memerlukan satu lonjakan baharu bagi memantapkan fungsinya terutama agenda pemerkasaan bahasa Melayu.

Pelantikan Ketua Pengarah DBP yang baharu, Dr Hazami Jahari Januari lalu diharap bukan sekadar penyambung legasi tetapi membawa organisasi itu terus ke hadapan dengan strategi, inisiatif dan kaedah lebih terancang dan mampu menembusi semua khalayaknya.

Dalam hal ini, Hazami mengakui tugas yang diamanahkan itu amat berat dan mencabar, namun beliau sedia melakukan penambahbaikan secara berperingkat bermula dengan perubahan di peringkat dalaman organisasi itu.

"Saya ingin mengukuhkan struktur dalaman DBP kerana ada keperluan untuk melakukan penambahbaikan. Ini termasuk soal penstrukturan semula iaitu meletakkan karyawan mengikut kepakaran dan menyediakan pelan strategik untuk pelbagai bidang.

"Satu daripadanya adalah pelan sumber manusia DBP. Selaras dengan konsep Kerajaan Madani, kita mahu menambah penyertaan bukan Melayu dalam organisasi ini seperti orang Cina, India atau Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

"Maka tidaklah badan kita dilihat terlalu Melayu sifatnya walaupun penubuhannya bukan untuk (orang) Melayu," katanya ketika ditemui BH Sastera dalam wawancara khas di Menara DBP, baru-baru ini.

Tambahnya, DBP juga tidak boleh hidup hanya dengan bergantung kepada penjualan buku, mengambil kira kelembapan dalam pasaran buku semasa. Sebaliknya, perlu agresif menerokai banyak peluang ekonomi lain dan tampil dengan pelan perniagaan lebih komprehensif.

"DBP dari segi perbelanjaan kita dibantu oleh kerajaan dari segi gaji dan perbelanjaan wajib. Selebihnya kita gunakan hasil daripada perniagaan, ada jualan buku, hak cipta, termasuk penyewaan premis...namun ia tidaklah banyak.

"Selain itu, kita turut menganjurkan kursus, selain mengenakan caj bagi khidmat konsultasi bahasa untuk iklan dan seumpamanya.

"Justeru, DBP perlu kembangkan bidang komersial kepada pelbagai bidang. Ini pendekatan yang nak dibawa. Sudah ada usaha ke arah itu, termasuk saya meminta Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membentangkan cadangan dan (DBP) akan ambil dapatan itu bagi merangka pelan," katanya.

Ketua Pengarah DBP yang baru dilantik Januari lalu, Dr Hazami Jahari. Gambar Arkib/NSTP
Ketua Pengarah DBP yang baru dilantik Januari lalu, Dr Hazami Jahari. Gambar Arkib/NSTP

Mengulas lanjut, Hazami berkata, antara pelan DBP adalah mencari peluang daripada sumber lain bagi menambah sumber pendapatan sedia ada.

"Barangkali antara (fokus) adalah dari segi kandungan. Kita jual kandungan menerusi kerjasama dengan syarikat luar. Sebagai contoh, bagi Kamus Perdana keluaran DBP, ada banyak permintaan untuk mendigitalkannya. Kita tidak ada kepakaran, jadi ia boleh direalisasikan secara kerjasama dengan industri luar.

"DBP juga sedang bergerak ke arah digitalisasi, aktiviti sudah dibuat, cuma pelan komprehensif belum ada. Setakat ini, untuk penerbitan buku, kita masih kekalkan (buku) fizikal, tetapi diusahakan juga dalam bentuk digital. Malah untuk buku kanak-kanak, ada buku (dalam bentuk) audio. Kita sudah berada dalam landasan itu," katanya.

Menyentuh aspek pemerkasaan bahasa, beliau mengakui usaha itu tidak boleh dilakukan sendirian, sebaliknya DBP memerlukan kerjasama pelbagai pihak berkaitan untuk menjayakannya.

Tegasnya, tugas berat itu hanya dapat direalisasikan jika semua khalayak sasaran termasuk karyawan dalaman DBP, penulis, persatuan penulis, persatuan penerbit buku, kementerian dan pihak swasta memantapkan sinergi secara berterusan.

"Bila saya ambil alih jawatan Ketua Pengarah, salah satunya saya mahu eratkan hubungan DBP dengan pelbagai khalayak. Kita ada sekitar 800 karyawan di seluruh negara sedangkan khalayak yang ada mencecah 33 juta di seluruh negara.

"Di sini perlunya pendekatan memperkasa sinergi untuk membantu DBP terutama bagi memastikan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik selaras dengan yang digariskan melalui Pelan Strategik DBP 2021-2025," katanya.

Jelasnya, Pelan Strategik DBP dibangunkan bertujuan untuk mengindustrikan dan melestarikan bahasa dan persuratan Melayu dengan memberikan tumpuan kepada tiga teras strategik iaitu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi, negara dan ilmu.

Dalam masa sama, Hazami turut melihat DBP perlu memberikan autonomi yang lebih meluas kepada pihak lain termasuk badan bukan kerajaan (NGO) khususnya dalam penganjuran aktiviti berkaitan bahasa dan kesenian.

"Saya melihat kalau tidak menyalahi atau bertentangan dengan peraturan, aktiviti kecil bahasa dan sastera, boleh dilaksanakan oleh NGO. Contohnya aktiviti penulis di Terengganu, tak perlulah kita hadir. Selain kurangkan beban, ini salah satu strategi untuk mendekatkan NGO ini dengan DBP.

"Maknanya kegiatan seperti baca puisi atau pesta pantun misalnya boleh diserahkan oleh DBP kepada NGO, dengan cara ini juga boleh menggalakkan penyertaan orang muda. Penulis muda di peringkat negeri mungkin DBP kurang kenal tetapi pihak NGO dapat kenal pasti mereka," katanya.

Melalui pendekatan itu, beliau melihat, DBP boleh memberi tumpuan kepada kegiatan besar seperti kerja penyelidikan, seminar dan program besar seperti Dekad Membaca Kebangsaan.

Tambahnya, dalam masa sama, DBP turut menumpukan usaha memugar semangat dan roh karyawan dalaman DBP supaya mereka melihat peranan dimainkan bukan sekadar pekerja tetapi pejuang bahasa.

"Selaras dengan fungsi DBP sebagai badan bahasa, ilmu dan kesenian, kita nak pastikan kalangan karyawan kami orang yang meminati seni. Kita akan hidupkan pertandingan kesenian dalaman. Sebagaimana dahulu, DBP pernah menghantar pasukan kesenian hingga ke Perancis, malah ia gemilang ketika zaman karyawan seperti Imuda dan Sabri Yunus bertugas di DBP.

"Kita ada rekod yang baik dalam melahirkan karyawan hebat. Jadi pertama, saya mahu semangat kesenian itu ada dalam kalangan karyawan kita. Di samping itu, kita nak berikan pengiktirafan kepada karyawan (DBP). Malah jika mereka perlukan latihan kita sediakan misalnya kursus di luar," katanya.

Berita Harian X