Selasa, 7 Februari 2023 | 1:40pm
Baharuddin (dua dari kiri) ketika menerima Anugerah Sasterawan Negeri Perak daripada Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, Khairuddin Abu Hanipah. Gambar Ihsan PORT, Ipoh.
Baharuddin (dua dari kiri) ketika menerima Anugerah Sasterawan Negeri Perak daripada Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, Khairuddin Abu Hanipah. Gambar Ihsan PORT, Ipoh.

"Tidak berkarya kerana anugerah" - Baharuddin Kahar

SEGAMAT: Lebih lima dekad bergelar novelis, Baharuddin Kahar atau nama penuhnya Baharuddin Buyung Kahar, 77, melakar sejarah peribadi apabila dinobatkan sebagai Sasterawan Negeri Perak dalam majlis Hadiah Sastera Darul Ridzuan ketujuh (HSDR7) baru-baru ini.

Baharuddin yang dikenali dengan naskhah Senjakala terbitan tahun 1986, membawa pulang wang tunai RM30,000 serta sijil penghargaan.

Terharu dengan pengiktirafan diberikan anak kelahiran Pekan Lama, Tanjung Rambutan, Perak itu menyifatkan anugerah berkenaan tidak pernah dijangka. Apatah lagi beliau sudah agak lama meninggalkan negeri kelahirannya dan menetap di Johor, namun masih setia mengunjungi adik-beradik serta saudara maranya di sana.

"Saya tidaklah berkarya untuk mengejar anugerah. Prinsip saya, kalau berkarya buatlah dengan ikhlas. Kalau tidak menang apa-apa hadiah pun, saya tidak pernah berkecil hati.

"Namun pengiktirafan yang diberikan ini adalah motivasi untuk terus menulis selain ia adalah usaha yang berbaloi kerana saya sudah 45 tahun menjadi penulis," katanya ketika ditemui di kediamannya di Jalan Temenggung, Segamat di sini.

Katanya, pada usia semakin senja beliau sangat bersyukur karyanya masih ada pembaca. Malah beliau masih dikenali dan diingati oleh pembaca termasuk generasi muda. Apatah lagi pada masa kini penulisan yang dimuat naik dalam talian lebih popular berbanding naskhah fizikal.

Tegasnya, tidak kira apakah medium penulisan itu sama ada digital atau bercetak apa yang lebih utama karya dihasilkan itu dibaca. Karya yang dibaca bermaksud mesej pengarang sampai kepada pembaca.

Baharuddin berkata, sebagai penulis idea adalah hal yang mahal. Namun ia bukan masalah yang besar jika penulis menjadikan membaca sebagai rutin selain tidak mudah berputus asa.

"Keberanian dan keyakinan juga penting selain pengalaman serta pengamatan peribadi terhadap persekitaran. Kesabaran dalam berkarya juga memainkan peranan.

"Pada saya, karya sastera bukan sekadar bahan hiburan semata-mata. Ia sebaliknya perlu ada mesej yang ingin disampaikan.

"Sama ada naskhah kita disukai atau tidak, itu hal kedua. Apa yang utama sebagai penulis, kita kena bagi yang terbaik. Ini adalah tanggungjawab kita," katanya.

Justeru katanya, seorang penulis perlu banyak membaca. Namun sayang sekali budaya membaca tidak begitu subur dalam kalangan masyarakat kita.

"Umumnya masyarakat kita kurang membaca. Kita harus menggalakkan generasi muda untuk membaca.

"Tidak semestinya membaca untuk menjadi penulis tetapi juga untuk menambah pengetahuan. Tabiat mulia yang dimulakan sejak kecil akhirnya akan jadi amalan sepanjang hidup," katanya.

Tegas Baharuddin, faktor semasa juga menyaksikan kebanyakan ahli masyarakat lebih berminat dengan gajet berbanding membaca buku. Hal ini katanya sedikit sebanyak mempengaruhi penggunaan bahasa dan tulisan terutama ketika berinteraksi melalui media sosial.

Menyentuh mengenai proses pengkaryaannya, Baharuddin berkata hal pertama apabila mula mengarang adalah beliau tidak pernah memikirkan siapa yang akan menerbitkan karya itu selepas siap dikerjakan. Sebaliknya beliau lebih fokus kepada penulisan itu sendiri.

Katanya, perkembangan dunia penerbitan semasa berhadapan banyak cabaran. Namun ia seharusnya tidak menghentikan semangat dan motivasi penulis.

Justeru katanya, beliau lebih selesa untuk terus menulis tanpa memikirkan ke mana mahu dihalakan naskhah itu nanti.

Selain itu beliau mengakui tidak mempunyai peraturan khusus ketika menulis. Sebaliknya secara peribadi, beliau selesa menjalani hidup dengan tenang dan menjauhi hal-hal yang tidak sepatutnya. Kaedah ini katanya mampu menjadikan beliau lebih fokus dalam penulisan.

"Mungkin juga memang tabiat saya suka melihat sesuatu dari sudut positif. Memang setiap manusia akan dikelilingi masalah tetapi hal lebih penting adalah kebijaksanaan untuk mengawal dan menyelesaikannya," katanya.

Tambahnya, dengan usia yang semakin meningkat tumpuan beliau selain menulis adalah anak dan cucunya. Hasil perkahwinannya puluhan tahun lalu, beliau dikurniakan seorang anak lelaki dan tiga perempuan selain empat cucu.

Selain naskhah Senjakala yang pernah menjadi teks subjek Kesusasteraan Melayu sekitar 1990-an, Baharuddin juga dikenali dengan kumpulan cerpen Capa Rengat Gulai Rawo terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada 2005. Cerpen Capa Rengat Gulai Rawo turut diadaptasi oleh RTM menjadi drama dua tahun lalu.

Cerpen itu yang pernah terbit dalam Dewan Sastera 1976 turut termuat dalam teks antologi Komponen Sastera dalam Pembelajaran dan Pengajaran Bahasa Melayu (KOMSAS).

Terkini, Baharuddin muncul dengan novel Cerita Adam dan Marwan Memasang Mimpi selain sebuah naskhah panduan penulisan berjudul Denai-Denai Kreatifku yang bakal diterbitkan.

Berita Harian X