Rabu, 25 Januari 2023 | 11:30am
Sikap editor yang lepas tangan selain kurang ilmu menyebabkan naskhah lucah diterbitkan. Gambar hiasan/Arkib NSTP
Sikap editor yang lepas tangan selain kurang ilmu menyebabkan naskhah lucah diterbitkan. Gambar hiasan/Arkib NSTP

Karya lucah, apa tugas editor?

KUALA LUMPUR: Hal berkaitan naskhah berbaur lucah memang kerap diperkatakan dalam dunia penerbitan tempatan sejak dahulu. Lingkaran yang berulang-ulang itu menimbulkan pertanyaan apakah sebenarnya kita semakin toleransi dengan hal begitu?

Sekali imbas sebuah novel dengan sampul yang cantik dan tajuk menarik hanya sebuah bacaan biasa. Namun siapa menyangka di dalamnya terkandung penceritaan dengan unsur lucah malah hari ini terdapat juga naskhah dengan kandungan pedofilia.

Bagi pengarang dan editor, Ainunl Muaiyanah Sulaiman, berkata apa yang berlaku sekarang memperlihatkan seolah-olah unsur lucah termasuk pedofilia ini sudah mula diterima dalam norma masyarakat hari ini.

Katanya, walaupun perkara ini salah tetapi hal sebegitu semakin mudah diakses yang memperlihatkan darjah toleransi kita terhadap isu sedemikian sudah semakin rendah.

"Ini membuatkan sesetengah penulis tidak lagi merasakan isu ini sebagai satu perkara yang sensitif dan mereka dengan mudah menulis mengenainya.

"Sebenarnya menjadi penulis ia bermaksud seseorang itu seharusnya mempunyai ilmu pengetahuan yang luas di samping kesedaran yang tinggi terhadap persekitarannya.

"Ada dalam kalangan penulis itu sendiri tidak tahu novel yang dikerjakan itu mempunyai unsur-unsur sensitif seperti kelucahan dan juga pedofilia. Misalnya, mereka membina watak yang lebih berusia tetapi mempunyai sifat antunan seksual," katanya.

Tegas Ainunl Muaiyanah, penulis yang berilmu sudah tentu tidak akan menulis hal sedemikian. Bagi penulis pemula, jika mereka menulis hal sedemikian ia bergantung kepada rumah penerbitan. Sekiranya pihak pengurusan mengambil berat mengenai isu ini, ia tidak akan diterbitkan. Namun jika sebaliknya, naskhah seperti itu tetap akan diterbitkan.

Tambahnya, walaupun editor adalah gerbang yang menghubungkan pembaca dan penulis, perlu difahami mereka juga tidak mempunyai kuasa veto untuk menapis manuskrip novel yang diterimanya.

"Akan ada suatu masa editor menerima manuskrip yang sudah diluluskan oleh rumah penerbitan.

"Perkara ini ditentukan oleh pengurusan rumah penerbitan itu sendiri. Justeru bebanan menangani kandungan lucah dalam novel bukanlah terletak pada bahu editor sahaja.

"Rumah penerbitan juga perlu bertindak bersama-sama editor untuk menetapkan garis panduan untuk tidak menerima manuskrip yang mempunyai unsur lucah," katanya.

Justeru tegasnya, jika pada peringkat penghasilan manuskrip itu sudah memuatkan unsur lucah atau pedofilia, perkara ini akan menyukarkan editor untuk melakukan tugasnya.

Tambahnya lagi editor berperanan penting untuk menyunting hal itu sebaiknya kerana sekiranya babak berkenaan diperlukan untuk perkembangan plot dan watak, ia mesti menggunakan bahasa yang halus supaya tidak mempengaruhi pembaca yang belum mencapai usia kematangan.

"Namun kita juga tahu ada yang melihat dari segi keuntungan saja. Misalnya ada rumah penerbitan yang yang menetapkan syarat sesebuah naskhah itu perlu dijual sebanyak 20,000 ataupun 30,000 naskhah barulah penulis akan mendapat keuntungan.

"Jadi penulis ini akan menetapkan sasaran untuk menulis sebanyak dua atau tiga naskhah bagi yang mendapat jualan yang banyak. Walaupun kompas moral terpaksa diketepikan.

"Mereka ini akan menggunakan nama pena berbanding nama sebenar. Mereka boleh lepas tangan sahaja tanpa ada rasa tanggungjawab. Jika menggunakan nama sebenar tentu saja lebih serius dan boleh membuat pertimbangan yang lebih baik," katanya.

Sementara itu, bagi editor dan eksekutif penterjemahan, Abdullah Hussaini Mohd Ghazali, berkata memang diakui terdapat sesetengah penulis yang sedar bahawa karya yang mempunyai unsur lucah itu mempunyai komplikasi namun tidak bagi penulis baharu.

Katanya, terdapat dua kemungkinan yang dapat disimpulkan sekiranya novel lucah dan pedofilia diterbitkan.

"Kemungkinan yang pertama adalah editor tidak membaca manuskrip novel secara keseluruhan manakala kemungkinan yang kedua adalah editor sememangnya mempunyai niat untuk mencetuskan sensasi supaya dapat menjana keuntungan.

"Justeru dalam hal ini, editor yang bertanggungjawab perlu lebih matang dalam menilai manuskrip. Paling utama, mereka perlu membaca keseluruhan manuskrip untuk mendapat gambaran sebenar cerita.

"Kemudian barulah mereka menyusun semula, menyunting ataupun membuang mana-mana ayat ataupun perenggan yang terkandung isu lucah ataupun pedofilia.

"Editor juga perlu kembalikan manuskrip itu kepada penulis dan bertanya kepentingan setiap babak berkaitan," katanya.

Abdullah Hussaini berkata, meskipun sesebuah naskhah itu diterbitkan atas nama swaterbit, peranan editor masih diperlukan.

Katanya, walaupun kemudahan ataupun peluang untuk menerbitkan karya secara swaterbit sangat besar sekarang, tetapi tanpa editor manuskrip itu pasti ada kekurangan sama ada dari sudut teknikal mahupun kandungannya.

Tambahnya, paling utama penulis itu sendiri tahu peranannya. Mereka perlu menulis dengan baik, mempunyai kemahiran berbahasa (tulisan) yang baik selain berpengetahuan yang luas mengenai subjek yang ingin dituliskan terutama dari segi kewajarannya.

Berita Harian X