Kuala Lumpur: Dr Hazami Jahari dilantik sebagai Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), berkuat kuasa hari ini.
DBP dalam kenyataannya berkata, Hazami yang sebelum ini Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan menggantikan Datuk Abang Sallehudin Abang Shokeran yang tamat kontrak, November tahun lalu.
Hazami, 55, berasal dari Kuching, Sarawak adalah lulusan Universiti Malaya sebelum menyambung pengajian peringkat doktor falsafah di Universiti Sains Malaysia.
Beliau yang menyertai DBP pada 1992 mempunyai pengalaman luas dalam bidang bahasa dan sastera.
"Sejajar dengan kredibilitinya sebagai Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, DBP percaya beliau berupaya untuk meneruskan kecemerlangan DBP dengan pelbagai program yang dirancang menerusi Pelan Strategik DBP 2021-2025 yang memberi tumpuan kepada tiga teras strategik iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi, bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu," katanya.