Selasa, 3 Januari 2023 | 10:48am
Sambutan hangat terhadap acara pesta buku selain prestasi baik kedai buku persendirian menjadi indikator rakyat Malaysia sebenarnya gemar membaca. Gambar arkib NSTP
Sambutan hangat terhadap acara pesta buku selain prestasi baik kedai buku persendirian menjadi indikator rakyat Malaysia sebenarnya gemar membaca. Gambar arkib NSTP

Siapa kata rakyat Malaysia malas membaca?

KUALA LUMPUR: Tidak tepat untuk mengatakan rakyat Malaysia malas membaca. Malah untuk mengungkapkan rakyat Malaysia hanya membaca satu atau dua buku setahun juga agak janggal.

Hal ini berdasarkan sambutan dan minat rakyat Malaysia terhadap buku sangat besar. Misalnya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, jualan buku dalam talian naik mendadak.

Apabila PKP berakhir, kita dapat melihat sendiri sambutan hangat kepada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang mencecah 1.3 juta pengunjung sepanjang 10 hari penganjurannya, manakala Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) pula memikat 250,000.

Bagi Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MKBM), Mohd Khair Ngadiron semua itu adalah indikator rakyat Malaysia suka membaca.

"Ada yang mengatakan rakyat Malaysia ini suka membeli buku tetapi tidak membacanya.

"Tapi bagi saya minat terhadap buku itu boleh mendorong mereka untuk membaca. Jika tidak beli bagaimana mereka mahu membaca?

"Andai kata buku yang dibeli disimpan di rak, jika pembeli tidak membacanya ahli keluarga mereka boleh membaca buku itu. Malah menerusi pembelian itu minat membaca boleh dikembangkan. Perkara yang paling penting minat terhadap buku itu perlu ada dahulu sebelum membeli atau membaca buku," katanya.

Malah kata Mohd Khair berdasarkan kejayaan PBAKL dan SIBF, rakyat di negara ini masih lagi suka membaca buku fizikal.

"Ada dakwaan buku fizikal semakin dilupakan. Kalau terbit pun jualannya tidak mencapai tahap memuaskan dan menyebabkan rangkaian kedai buku yang terkemuka banyak ditutup di seluruh negara.

"Sebenarnya, buku fizikal ada peminat tersendiri. Di Malaysia kita mempunyai lebih daripada 30 juta penduduk, tidak dinafikan golongan yang lebih muda lebih selesa menggunakan gajet seperti telefon pintar, tetapi gajet ada kekangan tersendiri menjadikan buku fizikal tetap ada penggemarnya," katanya.

Hal ini katanya memberi petunjuk jelas masih ada ruang luas untuk mengembangkan lagi industri buku tempatan. Namun ia perlu dimulakan dengan mendapat kerjasama dengan agensi berkaitan juga Perpustakaan Negara Malaysia untuk mewujudkan sinergi bersama.

"Tapi langkah pertama untuk itu ialah kita perlukan data yang betul. Kita akan buat kajian mengenai industri buku dan usaha untuk meningkatkan minat membaca dalam kalangan rakyat.

"Kita tidak mahu menggunakan data sangkaan yang tidak betul, misalnya rakyat Malaysia membaca satu atau dua buku sahaja setahun, tetapi ada individu yang membaca sehingga sekurang-kurangnya berbelas-belas naskhah buku dalam masa setahun," katanya.

Tegas Mohd Khair, data yang kurang tepat mewujudkan persepsi yang tidak baik misalnya kedai buku kononnya ditutup kerana rakyat tidak suka membaca.

Sedangkan kedai buku 'indie' bersaiz kecil dan diusahakan anak muda kekal mendapat sambutan hangat. Malah pemain industri daripada luar negara turut membuka cawangan kedai buku mereka di Malaysia antara yang terbaharu Tsutaya Books di Bukit Jalil.

Justeru katanya, beliau sangat yakin dengan kemampuan industri buku. Malah pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 katanya memberi harapan besar kepada penggemar buku kerana keperibadian Anwar sebagai pembaca tegar.

"Daripada percakapan sahaja kita sudah tahu Perdana Menteri ini adalah seorang yang gemar membaca.

"Baru-baru ini dalam Parlimen beliau memetik kata-kata William Shakespeare. Saya menjangkakan ada rangsangan yang baik selepas ini untuk industri buku," katanya.

Tegas Mohd Khair, besar harapannya pada 2023, pendemokrasian buku akan diperkukuhkan.

"Saya mahukan usaha yang bersungguh-sungguh untuk memastikan generasi muda terutamanya pelajar sekolah dapat bahan bacaan yang terkini.

"Akses itu harus sampai ke lokasi terpencil seperti Gua Musang dan mereka perlu dapat capaian kepada buku yang sama seperti pelajar di Subang Jaya atau Petaling Jaya.

"Buku ini adalah sumber ilmu. Jadi saya fikir kena ada peruntukkan daripada kerajaan untuk memastikan semua generasi di seluruh pelosok tanah air mendapat bahan bacaan yang selayaknya. Jika mereka berjaya melakukan perkara ini, tiada keciciran dari sudut ilmu yang akan berlaku," katanya.

Tambahnya, pembentukan masyarakat berilmu hanya akan dapat diwujudkan menerusi membaca. Justeru untuk membina bangsa dan negara ke tahap yang lebih tinggi minat membaca itu perlu disemarakkan lagi.

Berita Harian X