KOTA KINABALU: Pengarang prolifik, Sukor Usin yang lebih dikenali sebagai Hasyuda Abadi terpilih sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sabah Ketiga.
Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Aminah Awang Basar, berkata penilaian berdasarkan pencapaian karya dan kepengarangan Hasyuda Abadi dari aspek kesan pemikiran kepada masyarakat.
Selain itu katanya, pengiktirafan karya dan ketokohan serta kegiatan pengarang kelahiran Beaufort itu khususnya dalam gerakan kesusasteraan dan kebahasaan, bukan sahaja di Sabah bahkan kebangsaan, serantau dan antarabangsa.
Beliau berkata, kepengarangan Hasyuda Abadi sering dikaitkan dengan genre puisi sehingga meraih banyak anugerah sastera peringkat negeri dan kebangsaan khususnya Hadiah Sastera Sabah (HSS) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia.
"Ini menyerlahkan keunggulannya sebagai karyawan yang berdiri sama tinggi dengan pengarang prolifik peringkat kebangsaan dan serantau," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Aminah berkata, Hasyuda juga adalah penerima HSS Tahun Penilaian 2020/2021, kategori ' Puisi Eceran' menerusi karyanya berjudul 'Pusaka' yang diterbitkan dalam Antologi Puisi Suara dari Satu Musim, Jom Sastera, Ogos 2020.
Turut memenangi HSS Tahun Penilaian 2020/2021 adalah bekas wartawan Berita Harian, Mohd Azrone Sarabatin kategori Cerpen Eceran menerusi karyanya berjudul 'Aini Tag An, Kekasih 14 Hari' terbitan majalah Wadah, Disember 2020.
Sebuah karya yang disiarkan akhbar Berita Harian pada Februari 2020, iaitu 'Bagaimana Aku Dapat Bersama Mayatmu' membawa tuah kepada Rita Robert Rawantas apabila terpilih penerima hadiah kategori Cerpen Eceran.
Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2015, Datuk Jasni Matlani membuktikan keunggulannya apabila bukunya `Perempuan Aneh yang Meletupkan Diri di Dalam Gelas' terpilih sebagai pemenang Kategori Kumpulan Cerpen HSS 2020/2021.
Penerima Anugerah Sasterawan Sabah dan Hadiah Sastera Sabah 2020/2021 akan diraikan dalam majlis yang dijangka diadakan awal tahun depan.