Isnin, 12 Disember 2022 | 12:29pm
Nisah ketika menjadi panel dalam Forum Hati & Minda Sasterawan sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 yang dikendalikan Pengarah MBKM, Mohd Khair Ngadiron. Gambar Ihsan Nisah Haron.
Nisah ketika menjadi panel dalam Forum Hati & Minda Sasterawan sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 yang dikendalikan Pengarah MBKM, Mohd Khair Ngadiron. Gambar Ihsan Nisah Haron.

Jangan malu pertahankan hak

KUALA LUMPUR: Kegagalan penulis untuk bersuara lantang dalam mempertahankan hak mereka menyebabkan golongan itu kerap dipandang remeh.

Hal ini menyaksikan ada kala pembabitan dalam acara berkaitan sastera, seni dan budaya tidak dibayar ataupun mendapat bayaran yang tidak setimpal. Malah ada kes membabitkan Sasterawan Negara yang dibayar kadar kurang daripada

jumlah dijanjikan.

Dalam perkongsian ketika Forum Hati & Minda Sasterawan sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 bertempat di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam minggu lalu, Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), Nisah Haron, berkata penulis dan aktivis sastera perlu lebih vokal dalam menyuarakan hak mereka.

Katanya, penulis tidak boleh hanya mengikut arus hingga hak mereka dinafikan sebaliknya perlu mempertahankannya selagi mempunyai kapasiti berbuat demikian.

"Saya tahu kesan daripada bersikap lantang dalam mempertahankan prinsip. Namun tindakan ini penting," katanya.

Dalam hal ini katanya, penulis di mana-mana negara pun perlu diberi tempat dan perhatian sewajarnya. Menyifatkan penulis seperti air mengalir mengisi ruang disediakan namun penulis yang tidak diberi tempat katanya akan tersekat dan menjadi air bertakung.

Tegasnya, penulis perlu diberi hak dengan cara menghargai kerja mereka dan mendapat bayaran pada kadarnya.

"Misalnya penulis dan penterjemah mempunyai kedudukan berbeza walaupun sama-sama bergelar profesional.

"Penulis ada kala bergantung kepada jualan karya tapi bukan semua buku laku keras menyebabkan ruang menjadi penulis sepenuh masa di Malaysia agak terhad.

"Kami perlu buat pelbagai pekerjaan lain untuk mencari pendapatan malah ada masanya hingga berbulan tiada 'job'," katanya.

Justeru tegas Nisah, kadar bayaran penulis perlu diletakkan pada jumlah yang munasabah dan tidak boleh pula dipotong sesuka hati.

Katanya, beliau dan PEN meletakkan jumlah tertentu jika mereka dipanggil bagi mengelolakan latihan. Pemberian token juga akan dipastikan jumlah yang tepat bagi memastikan hak penulis tidak diabaikan.

"Tindakan itu tidak bermaksud kita letak harga tapi kita ikut berapa bajet yang mereka peruntukan. Malah analoginya, kalau kita 'order' kek pun ada harga berbeza mengikut kualiti dan rasa.

"Jadi begitulah dengan penulis. Perlu diletakkan kadarnya. Tindakan membiarkan penulis diremehkan sebenarnya akan membawa masalah lebih besar. Misalnya, kita boleh lihat sendiri dalam acara kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka, misalnya Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) yang menurunkan nilai hadiah.

"Dulu sewaktu Sasterawan Negara Datuk Seri A Samad Said mengadakan mogok seni terhadap DBP pada 1989, kita kurang faham. Sekarang kita sudah semakin faham mengapa beliau bertindak begitu. Sayangnya, selepas mogok seni Pak Samad, kadar bayaran penulis dinaikkan tetapi jumlah itu kekal hinggalah hari ini," katanya.

Tegas Nisah, disebabkan tindakan mogok seni itu, A Samad dilabelkan sebagai pengarang yang cerewet namun sebenarnya beliau meletakkan nilai dirinya pada kadar sepatutnya. Hal itu tegasnya tidak boleh dilihat sebagai cerewet.

Dalam konteks HSPM katanya, kadar hadiah diturunkan sejak penganjuran 2017/2018 yang menyaksikan jumlahnya membabitkan hingga RM2000. Misalnya hadiah utama dalam bentuk buku merangkumi kumpulan cerpen, puisi, novel dan drama yang sebelum ini diberikan RM10,000 turun hingga RM8,000.

Kata Nisah, jika kos penganjuran terlampau tinggi apa yang perlu dikurangkan adalah kos operasi majlis berkenaan.

"Saya tahu bercakap hal ini orang tidak suka dan mungkin selepas ini sukar lagi untuk saya mendapat tempat," katanya.

Berkongsi nada yang sama, Sasterawan Negara Datuk Dr Zurinah Hassan tampil berkongsi pengalaman peribadinya.

Zurinah berkata, pekerjaan berkaitan seni dan budaya selalu berhadapan situasi begini dan mudah diremehkan. Sedangkan dalam urusan lain misalnya membina rumah dan sebagainya, harga standard sudah pun ditetapkan serta dipersetujui dengan mudah.

"Misalnya kalau kita panggil kontraktor buat bumbung rumah, dia ada harga tetap ikut apa yang pelanggan nak, kira dulu harga sebelum mulakan kerja.

"Penulis pula kalau dipanggil baca sajak, tak pernah tanya berapa bayaran. Kalau diberi bayaran dalam sampul tak pernah nak kira, terus simpan kononnya rasa malu.

"Saya pernah ke Taiping untuk buat kerja seni dihulurkan sampul surat bertulis RM400. Saya ambil terus simpan tapi sampai di rumah, rupanya isi sampul itu hanya RM250.

"Ada penyelewengan tapi salah siapa? Jadi kita tidak sepatutnya malu pertahankan hak kita," katanya.

Berita Harian X