Selasa, 29 November 2022 | 12:58pm
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof memberikan hadiah kepada pemenang kategori buku (cerpen), Datuk Jasni Matlani sambil diperhatikan Ketua Pengarah DBP (kanan), Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran dalam HSPM yang berlangsung di DBP, baru-baru ini. Gambar Ihsan DBP.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof memberikan hadiah kepada pemenang kategori buku (cerpen), Datuk Jasni Matlani sambil diperhatikan Ketua Pengarah DBP (kanan), Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran dalam HSPM yang berlangsung di DBP, baru-baru ini. Gambar Ihsan DBP.

Kembalikan prestij HSPM

KUALA LUMPUR: Khalayak sastera sememangnya menanti-nanti penganjuran Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM). Dimulakan sejak 1971, HSPM adalah pengiktirafan paling berprestij untuk mengiktiraf karya pengarang tempatan.

Apatah lagi, HSPM juga adalah merit untuk melonjakkan pengarang meraih pengiktirafan seterusnya misalnya Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) juga Anugerah Sastera Negara (ASN) yang membawa gelar Sasterawan Negara.

Bagaimanapun walaupun ia sudah berusia 51 tahun, prestij dan kedudukan HSPM nampaknya dijatuhkan sendiri oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku sekretariatnya.

Buktinya sejak penganjuran HSPM 2017/2018, nilai hadiah untuk semua kategori diturunkan. Bagi kategori buku misalnya iaitu merangkumi kumpulan cerpen, puisi, novel dan drama diturunkan daripada RM10,000 kepada RM8,000 sahaja.

Jumlah itu terus dikekalkan pada penganjuran HSPM 2019/2020 yang dilangsungkan Khamis lalu.

Bagi kategori buku remaja dan kanak-kanak pula jika sebelum ini nilai hadiahnya RM5,000 setiap satu, ia dikurangkan menjadi RM3,000 sahaja.

Apakah sebenarnya yang DBP lakukan? Ketika penganjuran pertandingan nyanyian atau lawak jenaka boleh mencecah puluhan ribu, DBP pula menurunkan hadiah penerima HSPM?

Jika alasannya, HSPM tidak menarik minat korporat untuk menaja maksudnya DBP yang gagal berkerja keras untuk mencari tajaan. Atau mungkin bajet yang sepatutnya digunakan untuk membangunkan bahasa dan sastera seperti mana terkandung dalam akta organisasi itu gagal diagihkan dengan baik ?

Andai kata kurang kewangan sebagai faktor, DBP dilihat masih boleh mengendalikan majlis-majlis pelancaran buku penulis atau individu tertentu yang bukan pun tokoh sastera atau bahasa dengan meriah sekali.

Bukanlah menafikan hak DBP menganjurkan majlis, namun dalam masa sama tidak perlulah memotong imbuhan pengarang yang diakui mutu karyanya oleh barisan juri berwibawa dilantik agensi itu sendiri.

Apa yang terlihat DBP seakan tidak sudi menjaga prestij HSPM. Sudahlah HSPM itu sendiri yang sepatutnya dibuat setiap tahun dikumpulkan menjadi dua tahun sekali, hadiahnya dikurangkan pula.

Malah sangat aneh apabila Hadiah Karya Ilmiah yang acaranya 'menumpang' dalam kemeriahan HSPM lebih diraikan dengan nilai hadiah tertinggi iaitu RM10,000.

Dalam hal ini Ketua Satu Persatuan Penulis Malaysia (PEN), Nisah Haron berpandangan nilai hadiah yang merosot menunjukkan DBP malah kerajaan masih tidak serius dalam hal-hal sastera dan barangkali menganggap sastera itu 'kerja menyambil'.

"Penulis tiada dana untuk kajian (research) sebelum menulis atau geran seperti ahli akademik.

"Walaupun hadiah ini bukanlah matlamat akhir tetapi ia menunjukkan pengiktirafan dan keseriusan pihak berwajib dalam melihat sastera kebangsaan berkembang dengan sihat," katanya.

Justeru dalam hal ini, penulis juga perlu bertegas dan usah mudah berasa lega hanya dengan penganjuran hadiah selama dua tahun sekali.

Katanya, ungkapan seperti "nasib baik masih lagi ada HSPM" ialah retorik lapuk sedangkan kita sudah melangkah lebih 20 tahun selepas alaf baharu.

Hadiah yang diberikan tegas Nisah, bukan sahaja tidak memberangsangkan, malah dikurangkan dalam satu jumlah yang memeranjatkan.

Sebaliknya ia suatu isyarat daripada penganjur HSPM bahawa pengiktirafan kepada penulis boleh dimain-mainkan.

"Tanyakan soalan ini kepada sesiapa sahaja: adakah gaji atau pendapatan kita semua boleh dipotong semakin lama kita bergiat dalam apa-apa arena sekali pun?

"Jadi, mengapa hak penulis boleh dibuat sorong tarik?," soalnya.

Bagi penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2011, Syed Mohd Zakir Syed Othman (SM Zakir), prestij HSPM seharusnya semakin dipertingkatkan sesuai dengan peredaran masa. Bagaimanapun langkah DBP menurunkan imbuhan pemenang dilihat tidak kena pada tempatnya.

"Prestij pengiktirafan sastera juga sebenarnya bukan hanya terletak kepada mutu karya tetapi juga nilai hadiah yang disediakan.

"Mengapakah anugerah seperti Kusala Sastra Khatulistiwa di Indonesia begitu berprestij walaupun dianjurkan pertama kali? Hal ini disebabkan hadiah yang disediakan bernilai Rp50 juta (RM14,427).

"Jika DBP tidak mampu mengekalkan imbuhan penerima HSPM atau meningkatkannya, mereka seharusnya mencari rakan penaja," katanya.

Tegas SM Zakir, dari segi kualiti karya pemenang HSPM sudah dibuktikan justeru ia perlu diseimbangkan dengan imbuhan.

Tambahnya, tindakan DBP mewujudkan Hadiah Karya Ilmiah juga dilihat tidak begitu sesuai kerana pengiktirafan seperti itu sudah pun ada platform yang lain iaitu Anugerah Akademik Negara dengan imbuhan yang jauh lebih tinggi.

"DBP seharusnya lebih menjaga sastera kerana tiada pihak yang ditugaskan berbuat demikian selain mereka, justeru mereka perlu lebih fokus dan menghargai sastera," katanya.

Berita Harian X