Selasa, 29 November 2022 | 11:26am
SM Zakir dan Kuek ketika membicarakan mengenai antologi Tasik Itu Bagai Cermin di Georgetown Literary Festival di Pulau Pinang, baru-baru ini. Gambar Ihsan Florence Kuek.
SM Zakir dan Kuek ketika membicarakan mengenai antologi Tasik Itu Bagai Cermin di Georgetown Literary Festival di Pulau Pinang, baru-baru ini. Gambar Ihsan Florence Kuek.

Penterjemahan jambatan pemahaman sastera

Kuala Lumpur: Banyak pintu menuju ke arah perpaduan dan keharmonian kaum di Malaysia dengan sastera turut dilihat mempunyai peranan besar kerana keupayaannya membuatkan pembaca menganalisis dan berfikir dengan matang.

Bagi pengarang, Syed Mohd Zakir Syed Othman (SM Zakir) dan aktivis sastera yang juga Pensyarah Jabatan Pengajian Cina, Universiti Malaya, Dr Florence Kuek, sastera adalah jambatan penghubung masyarakat majmuk apabila hubungan antara kaum semakin tertutup oleh politik, ekonomi dan segmentasi sosial.

Justeru kedua-duanya tampil mengusahakan projek penterjemahan karya sastera Cina ke bahasa Melayu dan sebaliknya membabitkan 13 pengarang tempatan secara keseluruhannya.

SM Zakir ketika dihubungi, berkata penterjemahan karya bahasa Cina ke bahasa Melayu atau dirujuk sebagai sastera Mahua sebelum ini dibuat oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, bagaimanapun usaha itu sudah terhenti agak lama.

"Sastera Mahua merujuk kepada karya dalam bahasa Cina yang ditulis oleh orang Cina di Malaysia.

"Sebenarnya, penulisan dalam bahasa Cina mempunyai audien yang luas di luar Malaysia antaranya di Taiwan dan China menjadikan penulis Mahua di negara ini ada yang sudah mencapai tahap antarabangsa.

" Bagaimanapun, mereka kurang dikenali dalam kalangan masyarakat awam di negara ini kerana menulis dalam bahasa Mandarin. Hanya penggemar sastera Cina sahaja yang mengenali mereka," katanya.

Hal itu juga katanya berlaku dalam kalangan penulis bahasa kebangsaan yang kurang dikenali oleh audien berbahasa Mandarin.

Justeru, kerjasama penterjemahan itu yang turut mendapat kerjasama Persatuan Penulis Aliran Cina (PEN) Malaysia dilihat sebagai wahana terbaik untuk menyuburkan lagi ranah sastera negara.

SM Zakir yang bertindak sebagai editor berkata, motivasi terbesar untuk mengusahakan penerbitan berkenaan kerana menyedari sama ada karya sastera Mahua atau Melayu ia ditulis oleh warga Malaysia, justeru berkongsi latar dan cerita yang sama.

"Mungkin bahasanya berbeza iaitu Mandarin tapi asasnya sama. Jadi dalam hal ini kita perlu mengusahakan supaya sastera ini dibaca oleh orang Cina dan Melayu.

"Sastera boleh bertindak memupuk persefahaman daripada pemahaman terhadap budaya dengan lebih dekat melalui cerita dan gambaran dalam sastera. Motivasinya ialah untuk memahami satu sama lain," katanya.

Katanya, fasa pertama membabitkan penterjemahan tujuh cerpen Mahua ke bahasa Melayu yang sudah pun siap dicetak dengan tajuk Tasik Itu Bagai Cermin. Antologi itu yang mengambil masa hampir tiga tahun diusahakan oleh penterjemah bebas dalam kalangan sarjana.

Antologi itu membabitkan tujuh pengarang dan enam penterjemah. Tujuh cerpen Mahua yang dimuatkan dalam antologi ini mewakili generasi dan gaya yang berlainan. Ia membabitkan pengarang seperti Tan Chen Sin; Ng Kim Chew; Li Zishu; Ho Sok Fong; King Ban Hui; Lim Jun Long dan Dai Xiao Hua.

Manakala cerpen berbahasa Melayu yang diterjemahkan ke bahasa Mandarin membabitkan karya Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan; Hafizah Iszahanid; S M Zakir; Saifulizan Yahaya; Salina Ibrahim dan Rebecca Ilham. Antologi ini yang masih dalam proses penterjemahan dijangka terbit pada 2023.

Sementara itu, Kuek berkata sastera memberi ruang dan peluang untuk kita sebagai masyarakat Malaysia untuk saling mengenali antara satu sama lain.

Katanya, minatnya untuk memulakan kerjasama penterjemahan ini bermula dengan pembacaan sebuah novel berbahasa Melayu yang mengangkat mengenai tema perpaduan nasional, sesuatu yang jarang diperkatakan.

"Ia kemudiannya membawa kepada projek ini dengan naskhah antologi Tasik Itu Bagai Cermin sebagai fasa pertama penerbitan.

"Cerpen yang menjadi tajuk antologi adalah tulisan Ho Sok Fong yang memenangi English PEN 2019 dan berada dalam senarai The Warwick Prize for Woman in Translation bagi penterjemahan Inggeris cerpen yang asalnya ditulis dalam bahasa Cina.

"Cerpen modenis ini meneliti isu kongkongan dan kemurungan wanita. Selain

daripada batasan sensitif berkaitan dengan gender dan unsur-unsur 'seni' dalam sastera, isu kewibawaan ibu bapa yang tidak boleh dicabar dalam keluarga Cina tradisional juga diberi perhatian," katanya.

Tegas Kuek, Antologi Cerpen Mahua itu menghimpunkan karya beraneka tema dan gaya yang sesuai untuk menjadi teropong bagi melihat pandangan dunia masyarakat Cina kepada pembaca berbahasa Melayu.

Katanya lagi penerbitan naskhah ini diharap dapat mengisi kekurangan hasilan

penterjemahan di samping memupuk budaya membaca yang memanfaatkan persefahaman antara kaum serta semangat kekitaan di negara tercinta.

Berita Harian X