KUALA LUMPUR: Situasi politik hari ini yang disulami kemelut dan pergolakan ditambah bahang menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilihat dapat memberi idea bernas untuk penulis berkarya.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Che Abdullah Che Ya menyifatkan, apa sahaja yang berlaku dalam arena politik akan mempengaruhi sastera sesebuah negara.
Hal ini katanya, dapat dilihat dalam karya tradisi misalnya Sulalatus Salatin begitu juga dengan cerita penglipur lara yang hampir semuanya mengangkat isu politik meliputi aspek pemerintahan; penjajahan; kerajaan; elemen pertentangan dan peperangan.
"Misalnya dalam novel seperti Hikayat Panglima Nikosa (1876) karya Ahmad Shawal Abdul Hamid kita dapat melihat pemaparan naratif penjajahan dan penaklukan wilayah.
"Hal ini berlaku kerana sastera dan politik saling berkait. Politik adalah perlakuan manusia, manakala sastera gambaran kepada perlakuan manusia," katanya dalam Kuliah Penyelidikan Sastera menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini.
Katanya, ketika negara belum merdeka karya sastera banyak mengangkat tema nasionalisme selain penentangan terhadap sistem feudal, penderitaan hidup rakyat selain tuntutan kemerdekaan.
Ia boleh dilihat antaranya dalam novel Acuman Mahkota (1992) yang merakamkan pergolakan politik Kelantan tulisan Abdul Kadir Adabi.
Tegas Che Abdullah, selepas penjajahan Jepun tamat, karya politik menjurus kepada penderitaan rakyat yang hidup pada zaman berkenaan antaranya Sisa Neraka Dunia (1958) dan Nyawa di Hujung Pedang (1954).
"Detik pasca merdeka bukan sahaja memberi nafas baharu kepada novel politik malah semua genre secara keseluruhannya.
"Tahun 60-an dianggap sebagai zaman kegemilangan novel Melayu dengan sejumlah 234 karya dihasilkan sepanjang tempoh itu," katanya.
Hal ini katanya, memberi warna baharu pada perkembangan novel politik khususnya semangat nasionalisme.
Antara tajuk yang lahir dalam tempoh itu termasuklah karya-karya allahyarham Tan Sri A Samad Ismail seperti Patah Sayap Terbang Jua (1966), Tembok Tidak Tinggi (1967), Menduga Lautan Dalam (1968), Menimba Yang Jernih (1969) dan Detik-Detik Cemas (1969).
"Kemudian lahirlah karya Shahnon Ahmad berjudul Menteri (1967) dan Perdana (1969) yang bukan lagi sekadar menyuntik elemen nasionalisme bahkan juga mengkritik pemimpin secara langsung dan inilah detik baharu penulisan politik di tangan Shahnon," ulasnya.
Sasterawan Negara, S Othman Kelantan pula muncul dengan novel Juara pada 1976 yang mengandung unsur politik secara tersurat dan tersirat. Novel itu menceritakan mengenai seorang pemimpin politik yang tewas, merantau dan menetap di selatan Thailand dan terbabit dengan laga lembu. Secara tersiratnya Juara menggambarkan perjuangan politik itu seperti berlaga lembu.
Che Abdullah berkata, selain merakamkan warna warni politik tanah air, terdapat juga novelis yang terbabit secara langsung dalam dunia siasah. Antaranya Marwilis Yusof bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih merakamkan pergolakan politik di Selangor menerusi Buai Diayun Anak Dicubit dan Terbuang Tapi Terbilang yang kedua-duanya terbit pada 1987.
"Karya-karya yang lahir pada era 90-an dilihat lebih 'keras' misalnya Shahnon menerusi Partriach (1991) manakala Azizi Haji Abdullah muncul dengan Hoi pada 1990.
"Partriach menceritakan mengenai politikus yang tenggelam dalam kuasa, manakala Hoi mengangkat kisah ahli politik cuba kembali berkuasa dengan bergabung dengan musuh politiknya.
"Paling menggemparkan mungkin Shit yang terbit pada hujung 90-an tulisan Shahnon. Ia menimbulkan gegak gempita sehingga diharamkan," katanya.
Menjelang abad 2000, novel politik terus mendapat tempat apabila Azizi muncul dengan Kawin Kawin pada 2002 mengenai hubungan politik UMNO-PAS, sebelum Syed Mohd Zakir (SM Zakir) muncul dengan Ikarus pada 2018 yang memaparkan realiti keputusan Pilihan Raya Umum ke-14.
Bagaimanapun Che Abdullah berkata, perkembangan novel politik di Malaysia agak perlahan berbanding genre lain. Apatah lagi generasi baharu kelihatan agak terpisah dengan kepimpinan politik.
Sehingga kini, tidak ada novel politik mutakhir yang diharamkan dan ia membuktikan sebenarnya ada hubungan baik antara penulis dan pemerintah menjadikan ruang untuk berkarya luas.
"Selain itu, mungkin sukar buat penulis baharu menulis novel politik kerana karya sebegitu tidak boleh dihasilkan begitu sahaja. Harus ada penyelidikan takut salah fakta selain ada sensitiviti yang harus dijaga.
"Cuma persoalan politik kalau kita melihat sudut sejarah ia dihasilkan penulis mampan dan bukan penulis baharu. Jadi mungkin tempoh kematangan penulis itu mengambil masa yang lama," katanya.
Meskipun begitu, Abdullah berharap penulis hari ini dapat berusaha menggarap isu terbaharu memandangkan pergolakan politik dalam negara dilihat semakin menarik untuk diolah dalam bentuk karya sastera.
Katanya, apa yang berlaku dalam politik negara boleh menjadi bahan untuk diolah pengarang serta dilahirkan dalam bentuk karya kreatif sama ada secara langsung atau tidak.