KUALA LUMPUR: Kandungan lucah dikesan menjadi formula melariskan karya dengan ada dalam kalangan novelis, syarikat penerbitan dan ejen mengaut untung sehingga puluhan ribu sebulan melalui jualan karya sedemikian.
Berselindung di sebalik genre 'novel pop' dengan mengangkat tema cinta, naskhah tidak bermoral sebegitu dilihat menjadi buruan ramai.
Pemerhatian BH Sastera mendapati ramai novelis dan penjual karya lucah ini secara terbuka berkongsi 'teaser' (sedutan) daripada novel dengan babak panas dijadikan umpan menarik minat pembaca.
Lebih keterlaluan, kisah adegan berahi suami isteri turut dimuatkan untuk
melariskan jualan. Ada juga sesetengah novel genre itu menampilkan kulit muka depan berunsur seksual dengan memaparkan foto model lelaki yang tidak mengenakan pakaian bersama wanita seksi.
Dalam satu hantaran di media sosial, salah seorang penerbit novel genre sedemikian berkongsi, ada di antara ejennya mencatatkan jualan melebihi RM30,000 sebulan hanya dengan menjual karya sebegitu di media sosial dan pelbagai platform e-dagang.
Walaupun ada penerbit yang melabelkan novel berkenaan sebagai 'bahan bacaan dewasa', ia tetap menimbulkan kebimbangan kerana karya sedemikian boleh dibeli secara dalam talian dengan mudah, malah novel terpakai (preloved) atau dalam bentuk e-buku yang lebih murah turut dijual secara meluas.
Lebih mengejutkan, ada dalam kalangan penjual karya itu adalah golongan profesional malah penjawat awam yang berkhidmat sebagai guru turut dikesan mempromosi dan menjadi ejen jualan bagi karya kandungan tidak beretika berkenaan.
Menurut sumber BH, kegiatan guru berkenaan mempromosikan novel lucah di akaun Facebook peribadinya pernah diadukan oleh orang awam kepada Pejabat Pendidikan Daerah, namun sehingga kini tiada tindakan diambil.
Lebih mengejutkan, ada novelis yang berkongsi video sedutan halaman mengandungi plot babak panas karyanya di TikTok. Ada karya yang dikenal pasti memperoleh tontonan lebih 700,000 pengguna.
Difahamkan, terdapat syarikat penerbitan novel tertentu mewajibkan penulisnya di bawahnya menghasilkan karya bertema cinta dengan memasukkan elemen lucah.
Fenomena tidak sihat ini bukan hanya berlaku sekarang, tetapi ada syarikat yang menggunakan strategi menerbitkan 'karya lucah' sejak bertahun dulu.
Ini ditambah dengan pemilihan secara 'tangkap muat' oleh syarikat produksi dan stesen televisyen untuk adaptasi novel kepada drama atau layar perak yang lebih mementingkan nilai komersial.
Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Kamariah Kamarudin, berkata penerbitan novel lucah yang berleluasa memperlihatkan seolah-olah kesusasteraan tanah air kita seperti kembali ke "zaman jahiliah".
Katanya, zaman sebelum merdeka adalah zaman jahiliah bagi kesusasteraan kebangsaan. Ia disebabkan kebanyakan novel yang terbit dalam tempoh itu mengangkat kisah cinta asyik masyuk dan rumah tangga yang berantakan.
"Namun, sistem pendidikan negara hari ini melahirkan pelbagai kelompok pengarang dengan latar belakang pendidikan bermutu dan profesional. Justeru, novel-novel lucah sewajarnya tidak ditulis.
"Apatah lagi jika dilihat mereka yang menulis novel lucah ini golongan wanita bergelar isteri yang sudah beranak pinak.
"Situasi ini membimbangkan kerana wanita adalah tunggak keluarga dalam membentuk keperibadian anak muda," katanya.
Tegasnya, sebelum seseorang itu ingin menjadi penulis mereka perlu sedar mengenai tanggungjawab dan amanah yang tergalas di bahu sewajarnya dimanfaatkan sebaik mungkin. Kesedaran sebagai penulis beragama Islam perlu dijadikan pasak dan tunjang.
"Tugas menulis ini bukan hanya untuk keseronokan dan mengejar keuntungan tetapi sebagai suatu ibadah yang dapat mengaut pahala selain memberikan iktibar kepada pembaca.
"Mereka juga bertanggungjawab membangunkan insaniah dan menjernihkan minda masyarakat supaya tidak tersasar daripada matlamat hidup, selain menjadikan Islam sebagai tulang belakangnya," katanya.
Jelas Kamariah, isu novel lucah ini sudah diperkatakan sejak dahulu namun sehingga kini belum ada tindakan yang benar-benar ampuh diambil. Dalam hal ini, beliau berpandangan kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang dengan lebih tegas dan kemas supaya isu ini dapat ditangani dengan sewajarnya.
Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri pada 12 Oktober lalu bertindak mengharamkan tiga buah buku iaitu 'Chelsia Amanda (Berdasarkan Kisah Benar)'; 'Heartstopper Volume 2' dan 'Cekik' yang didakwa memuatkan kandungan bertentangan dengan nilai budaya dan norma sosial masyarakat Malaysia.
Namun, sehingga kini novel yang dijual secara terbuka di laman sosial sama ada dalam bentuk e-buku atau fizikal masih lagi berleluasa.