Jumaat, 28 Oktober 2022 | 3:47pm
Lebih 330,000 pengguna digital tempatan akan kehilangan capaian kemudahan pinjaman buku digital menjelang tahun 2024 susulan tindakan PNM tamatkan perkhidmatan ELIB. Gambar arkib NSTP
Lebih 330,000 pengguna digital tempatan akan kehilangan capaian kemudahan pinjaman buku digital menjelang tahun 2024 susulan tindakan PNM tamatkan perkhidmatan ELIB. Gambar arkib NSTP

PNM tamatkan perkhidmatan buku digital

KUALA LUMPUR: Lebih 330,000 pengguna digital tempatan akan kehilangan capaian kemudahan pinjaman buku digital menjelang tahun 2024 disebabkan tindakan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menghentikan perolehan buku digital tempatan.

Tindakan PNM itu dijangka bakal menjejaskan pendapatan vendor, penerbit dan penulis tempatan termasuk penerbit ilmiah.

Terdahulu, PNM sudah pun menghentikan perolehan sejak dua tahun lalu dan hanya mengekalkan perolehan untuk koleksi e-buku luar negara sahaja.

Pengarah Urusan Xentral Methods Sdn Bhd, Faiz Al Shahab, berkata tindakan PNM ini agak mengecewakan kerana pinjaman buku elektronik atau ELIB adalah antara perkhidmatan mereka yang berjaya.

"Saya bingung mengapa PNM tidak memperjuangkan bajet untuk ELIB sedangkan ia perkhidmatan paling cekap untuk orang awam mendapatkan bahan bacaan," katanya.

Tegas Faiz, bukan perkara mudah untuk menyemai tabiat membaca terutama pembacaan digital dengan teks yang panjang. Justeru apabila trend itu mula mengukuh susulan pengenalan ELIB sedekad lalu, perkhidmatan berkenaan ditamatkan.

Untuk rekod, ELIB diperkenalkan pada 2012 dengan tujuan menggalakkan budaya pembacaan digital susulan penurunan jumlah pengunjung ke perpustakaan. Walaupun awalnya ELIB tidak mendapat sambutan tetapi ia mula 'panas' pada 2015 apabila menerima 100,000 pengguna berdaftar.

Sejak itu, kemudahan pinjaman ELIB yang menyajikan banyak judul terbitan tempatan termasuk koleksi novel adaptasi terkenal, mula tular dan mencapai kadar pinjaman yang tinggi berbanding pinjaman buku bercetak dari perpustakaan fizikal.

Penggunaan tertinggi yang pernah dicatatkan bagi perkhidmatan itu dicatatkan pada 19 Mac 2020, hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan yang menyaksikan seramai 24,000 pengguna baharu berdaftar dalam masa satu hari.

Malah pada akhir minggu berkenaan, perkhidmatan ELIB kehabisan lesen e-buku untuk dipinjamkan.

Faiz berkata, susulan itu mereka yang terjejas berhasrat untuk bersemuka dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi membincangkan isu berkenaan.

Berita Harian X