Isnin, 24 Oktober 2022 | 1:45pm
Pelajar Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur menghadiahkan lukisan potret tiga sasterawan kepada Boos (dua dari kanan) di Pesta Buku Frankfurt. Yang turut hadir Kaiser dan Mohd Khair. - Foto NSTP/NAZMI YAAKUB
Pelajar Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur menghadiahkan lukisan potret tiga sasterawan kepada Boos (dua dari kanan) di Pesta Buku Frankfurt. Yang turut hadir Kaiser dan Mohd Khair. - Foto NSTP/NAZMI YAAKUB

Malaysia catat 30 urus niaga di Pesta Buku Frankfurt

FRANKFURT: Malaysia mencatat 30 urus niaga jualan hak cipta di Pesta Buku Frankfurt, pencapaian baik ketika masyarakat global berada dalam ketidaktentuan akibat pandemik COVID-19 selama dua tahun dan krisis Russia-Ukraine.

Kebimbangan krisis tenaga musim sejuk ini dan krisis ekonomi dunia tahun depan begitu ketara seawal sidang media, Isnin lalu hingga dibincang meluas termasuk dalam Majlis Penyerahan Status Tetamu Kehormat Pesta Buku Frankfurt daripada Sepanyol kepada Slovenia, semalam.

Kehadiran delegasi Malaysia ke pesta buku terbesar dan tertua di dunia itu, mencipta sejarah kerana sesi menandatangani memorandum persefahaman (MoU), surat hasrat dan perbincangan awal diadakan silih berganti, seawal hari pertama di Pavilion Malaysia di sebalik segala kebimbangan itu.

Tidak hairanlah persembahan menyeluruh pembabitan penerbit, ejen buku dan pengarang hingga penulis, pelukis serta penari cilik tanah air dipuji bukan sahaja penggerak industri buku antarabangsa, bahkan Presiden Pesta Buku Frankfurt, Juergen Boos dan Timbalan Presidennya, Claudia Kaiser yang turut bertanggungjawab kepada rantau Asia Tenggara.

Boos dalam pertemuan dengan delegasi negara diketuai Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Mohd Khair Ngadiron di pejabatnya mengalu-alukan pembabitan industri buku tanah air dan perkembangan positif di Pavilion Malaysia.

Kaiser dalam wawancara berasingan pula berkata, Pavilion Malaysia menampilkan banyak acara dan sangat bertenaga hingga setiap kali melalui kawasan itu, beliau mendapati ramai pengunjung berminat, sekali gus menunjukkan perkembangan besar.

Sementara itu, Mohd Khair berkata, jumlah transaksi di Pavilion Malaysia pertama kali dalam sejarah pembabitan industri buku di pesta buku terbabit.

"Kita berjaya mendapat 30 jual beli hak cipta bagi judul tertentu, meliputi lebih tujuh bahasa dan lapan negara seperti Itali, Jerman, United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Australia, Turkiye dan Albania.

"Sebenarnya, ini memberikan pengalaman baru kepada delegasi Malaysia kerana majoritinya pemain baharu industri buku, termasuk penerbit persendirian dan swaterbit, sekali gus membawa dimensi baharu dalam mengetengahkan karya tanah air," katanya.

Bagaimanapun, kejayaan itu bukan dicipta atas nama nasib semata-mata kerana Mohd Khair menegaskan MBKM di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) mengadakan sesi dalam talian, Meet Malaysian Delegate Networking Day dan Klinik Persediaan Hak Cipta supaya peserta delegasi bersedia serta dapat memanfaatkan hubungan serta mengaplikasi pengetahuan penting urus niaga.

"Sepanjang lima hari pesta buku, saya merumuskan pasukan kali ini lebih agresif dan mereka mahu meneroka lebih banyak ruangan lain.

"Lebih menarik, strategi sesi 'Business Breakfast' setiap pagi berkesan kerana rundingan hak cipta bergantung kepada hubungan baik yang nampak berkesan dilakukan di meja makan, ketika menikmati sarapan pagi sambil berbincang mengenai produk," katanya.

Ketika ditanya penambahbaikan perlu dilakukan supaya Pavilion Malaysia dapat melipatgandakan output pada tahun depan, Mohd Khair berkata, pihaknya memang terkejut dengan kejayaan urus niaga seawal hari pertama kerana biasanya ia tidak dilakukan terus di pesta buku.

"Panduan selepas ini akan menekankan keperluan mewujudkan pencontoh perjanjian, termasuk surat hasrat dan harga urus niaga hak cipta.

"Disebabkan meja sesi 'Business Breakfast' penuh, ada keperluan untuk menambah ruang supaya lebih banyak transaksi dapat dilakukan," katanya.

Lebih manis, kejayaan Malaysia turut dicatat anggota delegasi dari Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur (SSeMKL) hingga menarik penerbit dari Sepanyol, Belanda dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Mohd Khair membayangkan keperluan untuk membawa produk lain dari KPM ke Pesta Buku Frankfurt, selepas buku kanak-kanak dan ilustrasi dihasilkan pelajar SSeMKL menarik minat ramai penggerak industri buku antarabangsa.

Berita Harian X