Isnin, 19 September 2022 | 10:47am
HSS 2021 perlu dipuji kerana meluaskan penilaian karya kepada teks yang terbit dalam Dewan Sastera, majalah Svara juga laman Tukang Puisi, namun kualiti juri juga perlu dipertingkatkan. GAMBAR HIASAN
HSS 2021 perlu dipuji kerana meluaskan penilaian karya kepada teks yang terbit dalam Dewan Sastera, majalah Svara juga laman Tukang Puisi, namun kualiti juri juga perlu dipertingkatkan. GAMBAR HIASAN

Juri Hadiah Sastera Selangor 2021 dipertikai

Oleh Za'im Yusoff

Pengarang dan kritikus sastera

Dalam konteks penganjuran mana-mana hadiah sastera, persoalannya bukan mengenai siapa menulis atau apa dan di mana karya itu ditulis. Pengarang yang baik menulis, begitu juga pengarang teruk.

Namun yang menjadi persoalan adalah siapakah barisan juri dan bagaimanakah proses penjurian yang menapis sekali gus menjulang habis barisan pengkarya yang dikatakan disaring dari satu senarai panjang.

Kita memuji langkah murni Hadiah Sastera Selangor (HSS) 2021 yang sudah meluaskan ruang pemilihan dengan merangkumkan pelbagai penerbitan sastera selain Selangorkini. Jika dahulu karya yang dinilai untuk HSS hanya dalam lingkungan penerbitan itu tetapi kini ia diluaskan kepada karya yang terbit dalam Dewan Sastera, majalah Svara juga laman Tukang Puisi.

Berdasarkan hal itu, golongan penikmat sastera tanah air menjangkakan karya-karya yang diangkat HSS pastinya lebih kosmopolitan, kaya dengan pengisian dan unggul dari segi kreativiti.

Hal ini diharapkan dapat melenyapkan jurang pemilihan yang dibuat atas dasar 'sebab-sebab lain' di luar bentuk dan isi sastera. Hanya kualiti pengkaryaan yang ditatang dan menjulang karya-karya bermutu lagi terpandang.

Namun sayang seribu kali sayang. Harapan setinggi gunung, berderai menjadi debu! Bagaimana sebuah esei yang mencanang-canangkan kosa kata kesat dengan struktur yang mengkal bersekali penghujahan isi dangkal tiba-tiba boleh dipilih sebagai antara pemenang?

Malah, tulisan itu terdahulu sudah pun disangkal melalui esei yang jauh lebih jelas lagi tangkas bidasannya bahkan diterbitkan dalam media yang sama. Jika disandingkan kedua-dua karangan ini sebelah-menyebelah, pastinya mata lebah akan memilih madu, yakni esei balasan yang jauh lebih padu.

Lebih pelik, tulisan yang diangkat itu boleh menewaskan esei "Kedangkalan Penggiat Sastera Veteran : Kritik Terhadap Forum Sastera" oleh Nur Adilla dan Hazman Baharom. Sedangkan esei Adilla dan Hazman ini dilihat berani lagi menarik bersandarkan hujah-hujah kukuh.

Namun karya berkenaan tewas susulan dikatakan pendahuluannya terlalu mengecewakan dan disifatkan sebagai panjang meleret, lalu 'tidak cukup sifat' pemenang. Ironinya, esei ini sekadar disebut sambil lalu dengan label Penerima Penghargaan Khas, sebaliknya tulisan yang lemah lagi mual tadi dimenangkan.

Selain itu, kualiti karya-karya lain yang terpilih turut mengundang persoalan. Apabila Dewan Sastera yang terkenal sebagai lubuk karya pengarang berkualiti dibabitkan dalam ketiga-tiga kategori (esei, cerpen dan puisi), dijangkakan karya-karya terpilih pastinya berkualiti lagi tahan teruji.

Namun, apabila meneliti karya-karya yang diangkat dalam HSS 2021, bolehkah kita secara yakin, pasti dan lantang mengumandangkan karya-karya berkenaan jauh lebih baik daripada karya-karya dalam julat pemilihan yang sama yang diterbitkan Dewan Sastera? Terutamanya karya kelompok Sasterawan Negara juga pengarang mapan seperti Zaen Kasturi, Lutfi Ishak, Raihani Mohd Saaid, Shamsudin Othman, Mana Sikana – sekadar menyebut beberapa nama?

Apakah karya-karya pengarang mapan ini sebaliknya hanya tersenarai dalam senarai awal tetapi tidak dalam senarai akhir? Jika demikian, sudah pasti HSS boleh sahaja dengan yakin mendedahkan senarai berkenaan memandangkan pihak penganjur HSS tidak putus-putus menghebahkan mengenai penganjurannya di ruang media sosial.

Malangnya setakat esei ini ditulis, senarai itu belum disiarkan. Lebih sedih, tidak pula didesak oleh barisan juri yang dari satu segi masih menjadi teka teki. Sudah seperti bangkai gajah tak dapat ditutup dek nyiru, siapakah barisan juri yang mengadili bagi setiap pemilihan kategori HSS?

Apakah kelayakan, kredibiliti dan kewibawaan mereka? Adakah perlantikan juri dan proses pemilihan karya benar-benar berintegriti, bebas dari sebarang konflik berkepentingan?

Sekiranya benar telus, umumkanlah secara jelas bukannya berkicau hanya setelah didesak khalayak. Bahkan, pastinya kita lebih yakin akan prestij kemenangan HSS kerana hanya jauhari mengenal manikam. Namun kalau yang memilih bukan jauhari sebaliknya tukang besi, apakah masuk dek akal untuk kita serahkan keyakinan kepadanya bagi menentu bezakan antara emas asli dengan tembaga kuning?

Lebih melucukan, sewaktu pintu penyertaan berdepa dikuak luas, tetapi ruang untuk panel-panel penilai yang pelbagai masih dikepit sempit.

Jika ditonton dari lintas langsung di Facebook, kelihatannya masih juri-juri yang itu juga. Seolah-olah pihak penganjur HSS secara halus memberitahu, sekalipun sudah 15 orang Sasterawan Negara dan lebih 40 pemenang Anugerah SEA Write dinobatkan sejak Malaysia mencapai kemerdekaan lebih 65 tahun lampau, bangsa Malaysia masih kemarau lagi tandus dengan penilai-penilai sastera yang mahir dan bagus.

Senafi apapun ketua juri HSS akan kriteria pemilihan yang kononnya tidak memihak kepada mana-mana mazhab ideologi kepengarangan, berlaku jujurlah. Mereka yang menjuri itu manusia berakal, punya kapasiti mengenal dan menimbang. Mereka pasti menilai dengan neraca-neraca tertentu, menimbang menurut perspektif-perspektif tertentu yang berakar pula dari pandangan-pandangan alam tertentu.

Darihal itu, bagi menjadikan pengadilan lebih munasabah lagi absah, perlantikan ketua juri dan juri-juri kategori dari pelbagai latar belakang dan aliran seni tidak boleh tidak perlu dilaksanakan. Barisan juri wajiblah berpengalaman cukup jika tidak dalam pengkaryaan sastera, paling kurang syaratnya, mestilah mempunyai pengalaman menilai yang matang lagi teruji.

Termustahak, nama-nama juri dengan latar belakang profesionalisme sastera mereka diumumkan supaya khalayak sastera dapat menimbang tara kecerdikan juri-juri berkenaan yang pastinya menanggung amanat berat.

Sayangnya, masuk tahun keenam, nama-nama juri HSS masih kabur terbenam. Jangan sampai khalayak beranggapan pemilihan pemenang membabitkan tangan-tangan ghaib dengan agenda bersalutkan kepentingan tertentu.

Hasrat pihak penganjur untuk menyunting pengkarya negara serumpun dalam HSS seterusnya sejenis cita-cita yang baik. Namun, sekiranya pertikaian-pertikaian penting ini hanya dipandang enteng, niat itu lebih baik ditangguhkan memandangkan kredibiliti penganjuran HSS sebagai hadiah sastera nasional sendiri pun masih jauh panggang dari api, apatah lagi serantau.

Berita Harian X