Selasa, 2 Ogos 2022 | 11:52am
Pyanhabib bukan sahaja dikenali bukan hanya sebagai pemuisi tetapi juga pelakon selain pernah bekerja sebagai seorang wartawan selama 20 tahun dan 10 tahun sebagai penyunting. GAMBAR EHSAN PYANHABIB
Pyanhabib bukan sahaja dikenali bukan hanya sebagai pemuisi tetapi juga pelakon selain pernah bekerja sebagai seorang wartawan selama 20 tahun dan 10 tahun sebagai penyunting. GAMBAR EHSAN PYANHABIB

Puisi terapi Pyanhabib

KUALA LUMPUR: Mungkin Pyanhabib lebih dikenal menerusi watak-watak yang dihidupkan dalam naskhah Kembara Seniman Jalanan, Tsu-Feh Sofiah, Tak kisahlah Beb juga dialog pendek penuh lucu menerusi Rock Oo.

Malah beliau dalam Festival Filem Malaysia keenam turut memenangi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Kembara Seniman Jalanan. Namun, anugerah berkenaan ditolak kerana berpandangan lakonan bukan bidangnya.

Namun, bakat seni Pyanhabib atau nama sebenarnya Mohd Supyan Abdul Rahman lebih luas daripada itu. Selain pernah membintangi 10 buah filem dan juga telefilem, beliau juga pernah bekerja sebagai seorang wartawan selama 20 tahun dan 10 tahun sebagai penyunting selain tentu saja sebagai pemuisi.

Malah, sejak 1970-an, Pyanhabib yang berasal dari Taiping, Perak ini sangat sinonim dengan perkumpulan seni di Padang Merbuk, Anak Alam.

Malah sehingga kini, mengungkap sejarah Anak Alam tidak lengkap tanpa menyebut nama Pyanhabib.

Minggu lalu, Pyanhabib diangkat sebagai Anugerah Tokoh Puisi Kuala Lumpur 2022 oleh Gabungan Persatuan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) sempena Hari Puisi Kebangsaan.

Pyanhabib berkata, sejujurnya sejak awal terbabit dengan dunia seni tidak pernah beliau mengharapkan sebarang anugerah.

"Bagi saya menulis ini sebagai terapi kepada diri sendiri. Tidak pernah terlintas untuk menerima apa-apa anugerah. Tanpa disedari mereka (GAPENA dan PENA) sering mengikuti perkembangan saya sejak dahulu lagi.

"Anugerah yang diberikan ini adalah tanda hormat mereka dan saya menerimanya kerana rasa hormat kepada mereka. Terima kasih.

"Saya menerima anugerah ini walaupun agak terkejut kerana puisi adalah bidang saya," katanya.

Tegas Pyanhabib, untuknya puisi atau sajak itu banyak jenis. Lirik lagu, syair, pantun dan gurindam itu semua puisi. Contohnya seperti ikan, banyak jenis ikan yang ada di dunia ini tetapi kita tidak letakkan mereka dalam satu kelompok dan berikan satu nama yang umum.

Namun sebagai pemuisi, Pyanhabib jarang menghantar karyanya ke akhbar atau majalah sejak puluhan tahun lalu. Beliau sebaliknya mendeklamasikan setiap sajak tulisannya di pentas acara atau mendokumentasikannya sebagai kumpulan puisi. Antara yang terkenal adalah 'Suara' dan 'Saraf Dukaku'.

"Sebenarnya saya menulis setiap hari. Jadi setiap hari akan ada karya baharu yang dihasilkan berdasarkan pemerhatian terhadap persekitaran.

"Ia berdasarkan keadaan sekeliling saya. Bila saya lihat ahli politik berbalah, tercetus ilham untuk menulis.

"Mereka tertekan dengan permainan politik, kita juga sebagai rakyat juga tertekan dengan perbalahan mereka. Walaupun keadaan semakin mendesak dengan kenaikan harga barang, mereka masih lagi sibuk berpolitik," katanya.

Justeru kerap mengambil isu semasa di sekeliling sebagai isi puisinya, sejak 1980-an Pyanhabib sering mengkritik ahli politik. Bermula daripada zaman mantan perdana menteri keempat dan ketujuh sehingga sekarang.

"Politikus bercakap kepada orang ramai, saya juga punya hak bercakap kepada orang ramai. Kita tidak perlu menunjukkan siapa yang kita sokong dalam arena politik. Semuanya perlu seimbang.

"Buktinya menerusi filem Kembara Seniman Jalanan, semua kritikan kami terhadap politik ada dalam filem itu.

"Dahulu saya membacakan sajak di Kuala Lumpur tiada siapa yang kisah, kini apabila saya bersajak orang mudah sahaja menuduh saya menyokong sesuatu parti politik. Senangnya mereka melabel seseorang.

"Jika saya menerima jemputan untuk membacakan sajak oleh mana-mana parti politik, saya akan datang sebab saya tidak menunjukkan sokongan saya kepada sesiapa," katanya.

Namun, beliau seperti juga penulis lain tetap juga berhadapan dengan 'writer block'. Katanya, jika idea membuak ada kala puisi yang dihasilkan boleh dihimpunkan dalam dua atau tiga naskhah buku namun jika tidak, hendak menulis 16 baris puisi pun menjadi sangat sukar.

Tegas Pyanhabib, beliau mula menjinakkan diri dalam dunia puisi seawal usia belasan tahun. Hal ini disebabkan kegemaran masa lapangnya membaca buku dan akhbar namun tidak pula terlintas di hatinya untuk menjadi seorang penulis.

"Ada juga saya berangan-angan hendak menjadi penulis, bukan bercita-cita hanya angan-angan saja. Sebab cita-cita itu kita perlu mengejar. Saya cuma suka menulis selebihnya datang kepada saya dengan sendiri.

"Seperti yang dikatakan saya hanya menulis berdasarkan sekeliling, saya hanya orang biasa," katanya.

Katanya, kehidupan beliau akan terus berjalan seperti biasa kerana tidak pun mempunyai apa-apa perancangan khusus misalnya untuk melebarkan sayap seninya.

Kata Pyanhabib, beliau percaya Allah SWT mengaturkan terbaik untuknya dan segalanya akan datang dengan kehendak-Nya.

"Dalam hidup ini kita tidak perlu terlalu berharap, contohnya seperti saya tidak pernah berharap untuk berlakon tetapi sejak tahun 80-an sehingga sekarang, saya sudah muncul dalam 10 filem selain telefilem dan drama.

"Semua itu di luar jangkaan, saya tidak berharap tetapi dia datang dengan sendiri," katanya.

Berita Harian X