Selasa, 12 Julai 2022 | 10:34am
Keratan akhbar rencana terbitan BH pada 3 Julai lalu. Gambar NSTP
Keratan akhbar rencana terbitan BH pada 3 Julai lalu. Gambar NSTP

Anugerah Sastera Negara, karya atau pencalonan penting?

(Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara 2011)

Kenyataan Pengarah Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Abang Patdeli Abang Muhi dalam Berita Harian 3 Julai 2022, mengenai kaedah dan proses pemilihan Sasterawan Negara (SN) adalah penjelasan rasmi format yang diguna pakai dekad mutakhir ini bagi memilih SN.

Format pemilihan itu tentu saja banyak berbeza dengan proses memilih SN sebelum ini yang lebih menyeluruh. Malah ia turut memperlihatkan fungsi DBP yang lebih tekal dan terbabit jauh sebagai badan pembangunan dan pembinaan sastera negara.

Namun kelihatannya hari ini, pemilihan SN adalah mutlak berasaskan pencalonan persatuan dan institusi. DBP hanya berfungsi sebagai 'pejabat pos' dan 'posmen' yang menerima pencalonan dan menghantar pencalonan kepada juri. Tugas mereka hanya memeriksa lengkap atau tidaknya pencalonan itu sebelum dihantar kepada penerima.

Sedangkan sebelum ini DBP menyediakan data karya dan kepengarangan penulis, meneliti darjah perkembangan penulis melalui merit karya-karya mereka. Dari situ DBP bertindak menyaring calon berasaskan merit karya dan hanya memberi nama calon terpilih kepada juri.

DBP dahulu tidak bergantung secara mutlak dan melulu kepada mana-mana persatuan dan institusi lantaran kewibawaannya sebagai institusi pembangunan dan pembinaan sastera negara yang dipenuhi oleh pegawai-pegawai berwibawa malah penulis yang ber 'merit' itu sendiri.

Jika pun mereka bukan penulis, DBP sudah mempunyai arah tuju jelas dalam menetapkan merit sastera yang benar dalam dunia sastera hari itu, namun zaman itu sudah berlalu.

Ia tentunya bukan nostalgia, tetapi untuk menyatakan adalah kesilapan jika dikatakan DBP membawa fikiran dan cara kerja era abad ke-20 dan ketinggalan zaman. Ini kerana cara kerja dari zaman yang gaji pegawai-pegawai lebih kecil sebenarnya lebih berfungsi baik daripada sekarang.

Namun, jika dikatakan DBP hari ini amat ketinggalan, itu sememangnya benar. Hari ini berdasarkan laporan 3 Julai lalu, kelihatannya DBP tidak mempunyai arah tuju dan kewibawaannya lagi sebagai badan pembangunan dan pembinaan sastera negara.

Begitu kecilnya wibawa DBP, sehingga ia tidak mampu sama sekali untuk mencalonkan SN berasaskan merit karya lantaran agensi itu 'tidak tahu apa-apa' lagi mengenai merit pengarang dan karya sastera sendiri. Lumpuh dan punah.

Perlu ditegaskan di sini, tugas pencalonan itu adalah tugas hakiki DBP kerana hanya mereka yang menerima gaji untuk menguruskan sastera. Persatuan penulis yang bergerak secara sukarela dan agensi tidak dibayar gaji untuk menguruskan segala butir pencalonan. Persatuan dan agensi hanya membantu secara sukarela.

Tidak ada kekhuatiran untuk dikatakan calon DBP atau berat sebelah jikalau DBP benar-benar membaca, dan tahu serta mempunyai hujah yang kuat terhadap merit karya penulis.

Sedangkan, pencalonan persatuan amat nyata dan terang bersifat berat sebelah dan berkepentingan peribadi. Apa yang perlu diketahui sekarang ini, secara jelas ialah pemilihan seseorang SN adalah sepenuhnya bergantung kepada merit pencalonan bukan karya. Pertama, calon SN mesti dicalonkan oleh persatuan atau institusi.

Kedua, pencalonan mesti lengkap dan tidak berupa resume. Ketiga, pencalonan mesti bersih, kemas dan rapi (tambahan untuk melengkapkan). Soal seseorang calon menghasilkan karya besar, membangunkan pemikiran dan sebagainya adalah soal nombor 10.

Maka tidak mustahil tahun hadapan kita akan menerima SN seorang bekas perdana menteri, ketua persatuan, tokoh korporat dan mungkin seorang artis. Dunia sastera tentu lebih meriah dan menarik khalayak jika seorang bekas perdana menteri atau seorang artis tersohor menjadi SN.

Sememangnya itu kecenderungan DBP di bawah elit kepimpinannya yang ketandusan idea dan visi dalam menguruskan dunia sastera.

DBP sentiasa berada dalam khayalan bahawa itulah Olympus tempat tinggal dewa-dewa, dan mereka adalah dewa-dewa sastera, menentukan keputusan yang harus terima tanpa soal. Maka itu DBP yang hidup dalam mitos purba itu mengumumkan keputusan mengejut dan semua harus menerimanya sebagai kebenaran tanpa soal.

DBP dengan kurang bijaknya berlindung di sebalik Akta Kerahsiaan untuk tidak menyatakan senarai pendek calon. Pengumuman senarai pendek calon SN boleh merancakkan wacana dunia sastera. Sekali gus memberikan nilai tambah kepada industri buku apabila buku-buku calon SN akan dicari khalayak.

Namun, oleh kerana merit karya bukan asas dan perkara penting dalam pemilihan seorang SN, maka DBP perlu menutup kaedah ini. Apatah lagi jika DBP mahu khalayak menerima keputusannya tanpa soal, hatta calon itu tidak mempunyai sebarang karya besar pun untuk diwacanakan.

Tidak terlihat dari mana-mana sudut pun, ia adalah rahsia negara yang perlu dijaga atau membawa kemudaratan kepada negara. Cara DBP berlindung di sebalik pelbagai alasan sebenarnya melucukan. Sastera saja pun, berapa kerat saja komunitinya.

Dalam konteks ASN, amat terlihat DBP selesa dengan mengekalkan sikap 'tidak bekerja apa-apa'. Pemilihan juri juga ketara tidak seimbang, dengan meletakkan kelompok zaman lampau yang hanya mencari siapakah antara sahabat seangkatan yang masih ada untuk dimenangkan.

Sedangkan, DBP perlu meletakkan juri seimbang, dengan memastikan kelompok juri yang membaca bukan hanya sastera lampau tetapi juga sastera hari ini.

Namun calon dan juri tidaklah harus dipersalahkan apatah lagi diperkecilkan lantaran mereka hanya dipilih dan diamanahkan dengan tanggungjawab berat. Kelemahan dan kegagalan penjurian berfungsi dengan baik terletak sepenuhnya di pundak DBP.

Lebih malang lagi DBP langsung tidak mampu menyaring dan meletakkan syarat penting pemilihan barisan juri terhadap merit karya.

ASN mutakhir ini meminjam istilah seorang pengarang menerusi blog peribadinya, adalah seperti membina tugu di atas kuburan.

Dalam konteks yang lebih jauh jika DBP masih kekal dengan format seperti sekarang dan selesa dengan sikap 'tidak bekerja apa-apa', bukan ASN itu sahaja hanya membina tugu di atas kuburan tetapi DBP itu sendiri akan menjadi tugu di atas kuburan!

- Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X