KUALA LUMPUR: Rumah Pena yang menjadi pusat bagi pelbagai kegiatan sastera, bahasa dan budaya sejak berdekad lalu mungkin hanya tinggal sejarah jika tiada usaha tuntas dilaksanakan oleh kerajaan untuk mempertahankannya.
Rumah Pena yang terletak di Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur dan berstatus kuarters milik kerajaan itu sebelum ini dipinjamkan tanpa dikenakan sebarang caj atau sewa bulanan.
Bagaimanapun, mulai bulan lalu, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) yang bertanggungjawab menguruskan premis itu dikejutkan dengan pemakluman daripada Bahagian Pengurusan Hartanah, Putrajaya mengenai penetapan bayaran sewa bulanan berkuat kuasa bulan lalu bagi semua kuarters kerajaan.
Situasi berkenaan menimbulkan keresahan penggiat seni dan sastera tanah air khususnya dalam kalangan lebih 700 ahli PENA mengenai masa depan premis itu dan mampukah kos itu ditanggung dalam jangka masa panjang.
Presiden PENA, Dr Mohamad Saleeh Rahamad, berkata tindakan mengenakan sewa ke atas persatuan yang tidak berorientasikan keuntungan dan ditubuhkan bagi membantu kerajaan membudayakan sastera dan budaya dianggap sebagai tidak munasabah.
"Semua kuarters kerajaan diminta untuk bayar sewa dan ini termasuk Rumah Pena yang perlu membayar RM3,550 sebulan.
"Difahamkan Rumah Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) turut dikenakan tindakan sama, namun kadarnya lebih tinggi iaitu RM6,800 sebulan," katanya kepada BH.
Mohamad Saleeh berkata, kos sewaan rumah itu terlampau tinggi dengan PENA juga terpaksa menggunakan duit persatuan yang terhad bagi membayar deposit premis berkenaan.
"Buat masa ini, kami bayar dulu sewa bulan Jun bersama dengan kos deposit iaitu hampir RM10,000 kerana bimbang kemungkinan disuruh mengosongkannya.
"Setakat sebulan dua ini bolehlah kami bayar, tapi bayangkanlah (jika terus berlanjutan).. akan susutlah duit tabung yang ada.
"Ahli kami pun hanya bayar RM10 yuran tahunan. Jadi tak munasabah NGO seperti kami yang memang tak jana keuntungan... mampu bayar sebanyak itu," katanya.
Tambah Mohamad Saleeh, jika tuntutan sewa itu terus dibuat oleh pihak berkenaan, PENA dijangka terpaksa menggunakan tabung persatuan itu untuk menampung perbelanjaan sewa yang mencecah lebih RM40,000 setahun.
Hal ini katanya amat mendukacitakan kerana selama menduduki lokasi itu PENA turut mengambil inisiatif membaiki sendiri rumah berkenaan yang semakin uzur.
"Untuk pembaikan Rumah Pena.. kami gunakan duit sendiri (PENA) selama ini. Ertinya tidaklah rumah berkenaan sedia cantik untuk digunakan.
"Dengan pelbagai kerosakan dan disebabkan ia makin uzur, maka kami terpaksa cari jalan untuk cari duit...demi menjaga rumah kerajaan.
"Jadi kerajaan sebenarnya sangat beruntung apabila aset mereka dijaga oleh persatuan yang tidak bermotifkan perniagaan atau keuntungan," katanya.
Tambah Mohamad Saleeh, beliau sangat berharap suara PENA didengari dan beban kewangan ditanggung ketika ini mendapat perhatian sewajarnya.
"Kami amat berharap keprihatinan Pejabat Perdana Menteri (PMO) supaya pembayaran sewa ini dihapuskan sama sekali.
"Kami berkhidmat secara sukarela dalam bidang kebudayaan, kesenian dan kesusasteraan. Maknanya kami ini memenuhi keperluan sebuah negara. Jadi dalam situasi tidak ada pendapatan, apa logiknya untuk dikenakan bayaran sewa," katanya
Jelasnya, beban kewangan PENA sebelum diarahkan membayar sewa sudah cukup tinggi dengan sekurang-kurangnya RM4,000 digunakan bagi kos penyelenggaraan bulanan termasuk bil utiliti, elektrik, membaiki pelbagai kerosakan dan khidmat pekebun bagi membersihkan kawasan persekitaran.
Katanya, kos pengurusan Rumah Pena itu tidak termasuk pelaksanaan pelbagai aktiviti sastera dan kebudayaan, antaranya penganjuran acara bulanan tetap iaitu Malam Baca Puisi PENA yang turut menelan belanja tinggi, iaitu sekitar RM4,000.
Untuk rekod, Rumah Pena adalah pusat kegiatan seni, budaya dan sastera di Malaysia sesudah lompong yang ditinggalkan Rumah Anak Alam dan Pasar Budaya. Tidak keterlaluan untuk menyebut Rumah Pena yang menjadi lokasi majlis baca puisi sejak 22 tahun lalu adalah peneraju aktiviti budaya dan sastera di tengah ibu kota.
Ia mula diberi kebenaran menduduki pada tahun 1996 semasa PENA diterajui Datuk Ahmad Sebi. Bagaimanapun sejak 1996 hingga kini rumah berkenaan kerap dibaik pulih kerana keuzurannya.
Dalam pada itu, Ketua Satu GAPENA, Datuk Zainal Abidin Borhan ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.
Beliau hanya memaklumkan, pihaknya sedang berusaha membuat permohonan bagi pengecualian sewa.