Isnin, 14 March 2022 | 3:13pm
Nazri Hussein antara pengarang handalan Terengganu yang membolot lapan hadiah dalam Hadiah Sastera Darul Iman 2022. GAMBAR ARKIB NSTP
Nazri Hussein antara pengarang handalan Terengganu yang membolot lapan hadiah dalam Hadiah Sastera Darul Iman 2022. GAMBAR ARKIB NSTP

Utamakan mutu karya

KUALA LUMPUR: Kesungguhan kerajaan negeri memberikan pengiktirafan kepada penulis anak negeri sememangnya dialu-alukan. Ia bukan sahaja membantu memperkembangkan sastera negeri itu tetapi juga hingga ke peringkat kebangsaan.

Usaha ini juga ternyata menyokong amanah diberikan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang secara jelas ditubuhkan pada 1956 antara lain untuk memperkembang bakat sastera dalam bahasa kebangsaan.

Antara negeri yang aktif memberi pengiktirafan kepada penulis anak negeri termasuklah Sarawak, Sabah, Johor, Perak, Terengganu, Negeri Sembilan dan Kelantan.

Terkini Perak dan Kedah masing-masing sedang membuka penyertaan kepada pengarang anak negeri untuk mencalonkan karya masing-masing.

Dalam konteks pengiktirafan anak negeri, istilah itu ditujukan kepada pengarang yang lahir di negeri berkenaan. Beliau tidak semestinya menetap di situ, cukup sekadar membawa nombor kod negeri berkenaan dalam kad pengenalan negeri itu.

Pengiktirafan hadiah sastera negeri itu juga diberikan kepada pengarang luar yang sudah menetap di sesebuah negeri melebihi lima tahun dan ke atas. Justeru ramai juga pengarang yang mendapat pengiktirafan daripada dua negeri berbeza. Antaranya Shapiai Ramly yang dilahirkan di Perak dan diraikan di negeri kelahirannya dan di Johor, lokasi beliau menetap kini.

Ada juga negeri yang langsung tidak menggunakan kayu ukur anak negeri. Misalnya Selangor menerusi Hadiah Sastera Selangor memberikan pengiktirafan kepada mana-mana pengarang asalkan karya mereka disiarkan di akhbar Selangorkini.

Ukuran yang dibuat pengelola Hadiah Sastera Selangor ini lebih fleksibel walaupun skopnya mungkin kecil iaitu hanya karya yang diterbitkan oleh akhbar milik kerajaan negeri. Namun dari segi impaknya kepada penulis, ia lebih memotivasikan, luas capaiannya dan menjadi kayu ukur kepada mutu karya yang dihasilkan.

Jujurnya, semua kaedah dan peraturan ini perlu dirai kerana ia adalah sokongan yang bukan sedikit kepada pengarang di Malaysia.

Namun, terdapat juga pengelola hadiah sastera negeri yang menolak pencalonan dihantar oleh pengarang walaupun cukup syaratnya, tanpa alasan munasabah. Misalnya walaupun pengarang A bukan anak negeri itu tetapi beliau sudah menetap di negeri berkenaan dalam tempoh lama namun sayang, karya dan keupayaannya tidak dihargai. Anehnya, sebelum itu karya beliau pernah memenangi hadiah sastera negeri yang sama berkali-kali. Cuma setahun dua ini sahaja pencalonannya ditolak. Apakah rahsia yang tersembunyi?.

Kes ini berbeza dengan Azmah Nordin yang mana kemenangannya sebagai Anugerah Sasterawan Negeri Sabah dibuat oleh pengelola iaitu DBP Cawangan Sabah. Terdapat sentimen kurang senang akan pengiktirafan itu daripada segelintir penulis anak negeri kerana Azmah dilihat sebagai 'penulis luar' walaupun sudah bermastautin di Sabah sejak 1973. Namun kesediaan DBP Sabah memberikan penghargaan itu kepada Azmah amat besar ertinya kepada perkembangan sastera bukan hanya di Sabah tetapi negara.

Pengelolaan hadiah sastera negeri ini perlu dibuat dengan niat yang betul. Ia seharusnya untuk mengiktiraf pengarang yang menulis dalam bahasa Melayu selain memberi dorongan kepada bakat muda berkembang. Ia tidak boleh dikelolakan atas kepentingan peribadi.

Namun tidak juga manis jika anugerah yang bersifat 'harapan' atau penulis yang diharap-harapkan untuk menyambung legasi penulisan di sesebuah negeri itu diberikan kepada pengarang veteran.

Mungkin definisi harapan itu berbeza-beza mengikut juri namun secara umumnya, masyarakat memahami anugerah yang dikategorikan sebagai 'harapan' adalah sokongan untuk seseorang penulis itu terus berkarya sesuai dengan usianya yang muda. Misalnya Anugerah Pelakon Harapan, Festival Filem Malaysia.

Seandainya tiada calon yang layak bagi kategori itu tidak perlu diberikan. Atau sememangnya pengarang itu hebat dan perlu diiktiraf, wujudkanlah kategori yang lebih sesuai misalnya hadiah pengarang cekal bagi menutup pertikaian.

Sebenarnya dalam mengelola pengiktirafan sastera peringkat negeri ini, diharapkan penganjur janganlah terlalu 'syok sendiri'. Bukalah mata dan lihatlah bakat yang ada di seluruh negara atau dunia dengan kata kunci 'anak negeri' . Misalnya, mungkin seorang anak negeri itu duduk di England dia menulis dalam bahasa Melayu maka layaklah karyanya dicalon, dinilai malah diangkat jika bagus kualitinya.

Janganlah menggunakan kuasa sebagai pengelola untuk menolak pencalonan karya tanpa ada justifikasi yang tepat.

Dalam bidang apa pun, kita akan lebih maju dan berjaya dengan saling menyokong. Ketepikan rasa dengki dan perbalahan peribadi, mari genggam tangan dan berjalan seiring, bukan menjadi ketam dalam baldi yang berusaha menjatuhkan sesama sendiri.

Berita Harian X