Isnin, 13 Disember 2021 | 10:28am
SEA Write adalah pengiktirafan kesusasteraan yang dimulakan pada 1979 oleh Kerajaan Thailand dan Yayasan Jim Thompson. Ia diwujudkan bagi mengangkat pengarang dari kalangan negara ASEAN. ARKIB NSTP
SEA Write adalah pengiktirafan kesusasteraan yang dimulakan pada 1979 oleh Kerajaan Thailand dan Yayasan Jim Thompson. Ia diwujudkan bagi mengangkat pengarang dari kalangan negara ASEAN. ARKIB NSTP

Apa jadi dengan SEA Write?

KUALA LUMPUR: Tidak pasti apakah sebenarnya yang terjadi di balik tabir, tetapi sehingga kini Malaysia masih belum mengumumkan secara rasmi penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) bagi tahun 2019 dan 2020.

Hal itu terlihat aneh dan mengundang cakap-cakap belakang kerana Kerajaan Thailand sudah pun membuat pengumuman rasmi pada 25 September lalu bila mana Dr Shamsuddin Othman dinamakan penerima bagi tahun 2019 dan Aminah Mokhtar (2020) sebagai pemenang mewakili Malaysia.

Sebaik saja Thailand menghebahkannya dalam laman media sosial rasmi mereka, berita itu sudah pun diketahui oleh khalayak sastera Malaysia secara tidak langsung. Malah sebelum pengumuman oleh Thailand dibuat, sudah terdengar 'bisik-bisik' dalam kalangan khalayak sastera mengenainya.

Namun sehingga kini, sekretariat SEA Write di Malaysia iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hanya berdiam diri dan tidak pun meraikan pengumuman oleh Thailand itu seperti kebiasaannya.

Keadaan 'sunyi' dan 'sepi' itu mengundang teka teki, adakah penulis yang diumumkan tidak mendapat 'restu' DBP ? Agak aneh jika demikian kerana semua pencalonan dibuat menerusi agensi kerajaan itu. Atau mungkinkah tindakan pengumuman itu dibuat dengan membelakangkan DBP?

Hal ini menjentik naluri ingin tahu khalayak sastera bila mana Shamsuddin membuat permohonan maaf secara terbuka kepada DBP ketika menjadi panel forum Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) sempena mesyuarat agung persatuan itu minggu lalu.

Shamsuddin dalam nada lembut dan merendah diri menyebut, beliau memohon maaf sekiranya tindakannya dan Aminah tampil berforum dengan menggunakan gelaran penerima SEA Write itu 'melangkaui' DBP.

Untuk rekod, SEA Write adalah pengiktirafan kesusasteraan yang dimulakan pada 1979 oleh Kerajaan Thailand dan Yayasan Jim Thompson.

Ia adalah pengiktirafan berprestij yang diwujudkan bagi mengangkat pengarang terkemuka di Asia Tenggara, iaitu Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam bertujuan memupuk kesedaran dan pemahaman meluas mengenai kekayaan sastera dalam kalangan 10 negara ASEAN.

Shamsuddin dinobatkan berdasarkan pencalonan yang dibuat PENA manakala, Aminah oleh Persatuan Penulis Johor.

Sementara itu dalam forum bertajuk "Penulis: Tanggungjawab dan Kitarannya" yang dikendalikan oleh Saifullizan Yahaya, Aminah berkata perjalanan beliau dalam dunia sastera sangat mudah.

Aminah yang merupakan bekas jururawat berkata, mungkin satu daripada faktornya adalah penulisan beliau tidak sama dengan orang lain kerana tertumpu kepada hal-hal berkaitan dunia kejururawatan dan perubatan.

"Tempat bekerja dahulu Pusat Perubatan Universiti Malaya menyumbang sesuatu yang sangat besar kepada kepengarangan saya.

"Kebanyakan karya saya adalah himpunan pengalaman ketika bertugas dan berlatarkan hospital," katanya.

Aminah berkata, ketika masih bertugas dahulu pernah terdetik dalam hatinya untuk menulis sepenuh masa tetapi kemudian dinasihatkan untuk tidak berbuat demikian. Sebaliknya, dinasihatkan teruslah menulis dalam sela-sela masa kesibukan bekerja dan hanya menumpukan pada dunia penulisan selepas bersara.

Justeru katanya, apabila dianugerahkan SEA Write beliau terasa amat kerdil kerana menyifatkan dirinya adalah seorang penulis dari gua, maksudnya menulis latar hospital.

"Pengalaman kerja itu menjadi inspirasi untuk menulis dan kerana itu saya beranggapan menulis adalah tugasan yang Allah SWT berikan kepada saya," katanya.

Tambah Aminah, jika diimbas perjalanannya dalam dunia seni sangat mudah.

"Saya sudah menulis 20 novel dengan 13 daripada menang anugerah, termasuk ratusan cerpen dan puisi. Jika diimbas, saya melihat perjalanan seni hingga ke tahap menerima SEA Write sangat mudah dan tiada halangan langsung," katanya.

Sementara itu bagi Shamsuddin yang menulis sejak usia 16 tahun berkata, sejak usia belasan tahun hingga kini mencecah 54, ratusan puisi sudah dihasilkan, namun isu utama adalah bagaimana untuk menginterasikan alam dalam karyanya.

"Dalam perubahan usia itu pengarang berada dalam tahap keperkasaan teks bagaimana untuk untuk jadi lebih kuat, tetapi tidaklah pula bermaksud hingga tidak boleh ditandingi orang lain," katanya.

Tegasnya, beliau tidak boleh membayangkan kedudukannya pada masa hadapan kerana menyifatkan karyanya sesuatu yang dekat dengan dirinya bernuansakan Islam dan alam. Justeru, beliau tidak boleh bercerita mengenai kemodenan atau pembangunan material.

"Saya mungkin lebih berminat untuk menceritakan mengenai pengalaman masa lalu dalam karya tetapi saya ingin memastikan pengalaman yang ditulis itu segar dalam pembacaan orang lain," katanya.

Berita Harian X