Isnin, 13 Disember 2021 | 10:22am
Amy Adams sebagai Margaret Keane dalam filem Big Eyes, mangsa plagiat yang dianiaya suami sendiri. GAMBAR AFP
Amy Adams sebagai Margaret Keane dalam filem Big Eyes, mangsa plagiat yang dianiaya suami sendiri. GAMBAR AFP

Plagiat mencuri untuk masyhur

-Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2011

Big Eyes filem drama biografi arahan Tim Burton mengisahkan Walter Keane membohongi dunia mempamerkan dirinya sebagai pelukis lukisan mata besar yang menjadi terkenal, sedangkan pelukis sebenar adalah isterinya, Margaret Keane (Margaret Ulbrich) yang ditipu dan dimanipulasinya.

Margaret sangat berbakat dalam lukisan berpisah dengan suaminya dan membawa diri bersama anaknya, Jeane ke San Francisco. Margaret mendapat kerja sebagai pelukis ilustrasi di kilang perabot. Di situ Margaret bertemu Walter yang juga penjual lukisan dan tidak lama kemudian mereka berkahwin.

Walter mendapat ruang dan peluang menjual lukisan di dinding sebuah kelab jazz terkemuka. Lukisan Margaret berimej mata besar segera menjadi terkenal dan mendapat perhatian besar, sekali gus mendapat publisiti meluas di media.

Walter mendakwa lukisan itu sebagai hasil kerjanya. Pulang ke rumah, Walter menunjukkan keuntungan menjual lukisan dan menggesa Margaret melukis lebih banyak lagi. Walter menjadi terkenal dengan lukisan isterinya, walaupun dia tidak pernah tahu melukis.

Akhirnya Margaret mengetahui kisah pembohongan Walter dan menuntut suaminya mengakui serta menjelaskan siapa pelukis sebenar.

Margaret tentunya sangat kecewa, bahkan sangat kecewa kerana Walter bukan sahaja membohongi semua orang malah tergamak membohongi anaknya. Walter hingga akhir, tetap mempertahankan pembohongannya dan menutup hakikat sebenar Margaret adalah pelukis sebenar lukisan tersohor itu.

Diheret ke mahkamah

Pembohongan Walter dibuktikan di mahkamah apabila hakim mengarahkan kedua-dua Walter dan Margaret melukis serta membuktikan siapa pelukis sebenar. Margaret membuktikan dengan jelas dengan lukisan dilukis di hadapan hakim dan juri, sedangkan Walter memberi alasan bahunya sakit dan tidak dapat melukis. Hakikat sebenarnya Walter tidak pandai pun melukis!

Filem ini diangkat daripada kisah sebenar meledak di Amerika Syarikat (AS) mengenai Margaret dan Walter Keane pada dekad 1950-an dan 1960-an. Seorang penipu si Walter memanipulasi isteri Margaret sang artis jujur, sekali gus tanpa malu mendakwa dia pelukis sebenar lukisan mata besar dilukis isterinya.

Walter adalah karakter atau sejenis manusia tidak berbakat tetapi gilakan kemasyhuran dan mencari faedah diri daripada kemasyhuran berkenaan dengan mencuri dan berbohong.

Jenis manusia ini akan menanamkan dalam minda mereka bahawa mereka mesti dilihat benar walau apa cara sekalipun. Ia sejenis jiwa sakit, tetapi malangnya perbuatan dilakukan dengan sedar malah seronok mendapat faedah daripada pembohongan membuatkan mereka akan melakukan pembohongan menutup pembohongan berterusan.

Dunia sastera dikejutkan dengan isu plagiat tersiar dalam majalah arus perdana. Sajak diciplak daripada seorang penyair negara jiran. Hal ini mungkin bukan kejutan, lantaran plagiat dan ciplak menjadi kebiasaan dewasa ini bukan sahaja kepada penulis baharu, bahkan penulis mapan atau nama besar yang ghairah menjadi penyair (tetapi tidak berguna).

Apa yang mengejutkan individu ini begitu banyak melakukan plagiat karya sama ada yang hidup atau mati, dalam dan luar negara. Individu ini juga menulis kolum di akhbar harian (bukan akhbar ini), dikesan kemudiannya diciplak daripada tulisan entah berapa ramai penulis.

Apabila plagiat atau ciplak dilakukan sebegitu sekali, ia seakan-akan pemplagiat bersiri, sekali gus memperlihatkan; pertama ada sesuatu yang tidak kena kepada diri si pelaku dan keduanya ia memperlihatkan keseronokan si pelaku melakukannya.

Di sini, kita melihat berulangnya kembali sejarah Walter Keane. Apakah harus kita kenalinya sebagai Keanenisme? Karakter dan jenis manusianya sama. Si pelaku melakukannya dengan sedar.

Kita mungkin boleh memberi teguran dan memaafkan penulis baharu menciplak sebuah sajak dan menghantarnya kepada penerbitan untuk tujuan tidak pun mendapat apa-apa keuntungan.

Pelaku 'Keanenisme'

Namun hal ini sangat berbeza dengan si pelaku Keanenisme. Mereka melakukan secara sedar berulang kali malah untuk selamanya demi mengaut faedah dan keuntungan kepada diri mereka.

Maka mereka adalah 'penjenayah' lantaran sengaja mencuri untuk mendapatkan faedah diri. Faedah diri boleh berupa pelbagai bentuk. Walter Keane mendapat kemasyhuran sebagai pelukis hebat dan keuntungan besar daripada jualan lukisan di atas namanya.

Faedah juga boleh datang dengan kemasyhuran mendatangkan gelaran tokoh, Petunjuk Prestasi Utama (KPI), kenaikan pangkat, kepercayaan umum atas ketokohan hingga melakukan kegiatan boleh mendatangkan keuntungan diri dan material.

Seperti Walter Keane, si pelaku amat seronok berada dalam dunia dikelilingi pengkagum bakat palsu. Maka si pelaku akan memilih untuk kekal berada dalam dunia kepalsuannya. Seperti Walter Keane yang sehingga akhir tidak mengakuinya, maka si pelaku hingga hari ini tidak mahu mengakuinya, apatah lagi memohon maaf.

'Pesakit Keanenisme' adalah pasti tidak akan mengaku salah, malah sebaliknya mengharapkan mereka dilihat sebagai mangsa dan dikasihani. Satu lagi mereka mungkin mempunyai kelebihan mempunyai daya pujuk.

Mereka akan mendampingi orang berpengaruh dan melontarkan 'bom kasih', satu pemahaman dalam kompleksiti narsistik si pelaku akan melayan dengan amat baik, menurut kata malah sentiasa bersedia menghulurkan tenaga kepada orang berpengaruh yang dipastikan akan memberikan faedah kepada dirinya.

Tujuannya adalah untuk menguasai orang berpengaruh yang melihatnya sebagai 'malaikat' turun dari langit. Orang berpengaruh yang melihat kesempatan untuk 'mempergunakan' kebaikan si pelaku akhirnya dipergunakan si pelaku tanpa sedar.

Memahami pelaku plagiat kecilan atau terpengaruh dengan karya dikagumi, tidak mendapat keuntungan diri besar apatah lagi tidak secara berterusan malah kekal; adalah berbeza dengan si pelaku plagiat 'Keanenisme.'

Walter Keane tidak melakukan plagiat tetapi menipu – namun plagiat, menipu dan mencuri adalah kejelekan sama dalam memahami kompleksiti Walter Keane atau Keanenisme.

Kes terbongkar sekarang adalah sama dengan karekter atau jenis manusia Keane(nisme). Dalam filem Big Eyes, pembohongan terbongkar apabila Margaret dan Walter diarahkan membuktikan dengan melukis di hadapan hakim.

Mahukah si pelaku plagiat menulis sajak bersama mangsa plagiat untuk membuktikan bakat asli? Mungkin kita akan tahu sejauh mana pembohongan itu pergi.

Berita Harian X