KUALA LUMPUR: Baru-baru ini ada laporan di media memetik nama seorang penulis diangkat sebagai antara calon yang layak mendapat Anugerah Sastera Negara yang membawa gelaran Sasterawan Negara (SN).
Tanpa memperkecilkan mana-mana pihak, sebenarnya pemilihan SN ini tidaklah seharusnya jadi acara tahunan atau wajib diadakan setiap dua tahun misalnya. Ia boleh sahaja dikosongkan untuk tempoh yang lama jika tidak ada pengarang yang layak diangkat.
Menamakan SN ini bukanlah wajib, ia sebaliknya penghormatan kepada pengarang di negara ini. Ia adalah tanda sokongan dan keprihatinan kerajaan kepada golongan pengarang tidak kiralah menulis novel, puisi atau drama.
Janganlah kerana ghairah hendak mengejar petunjuk prestasi utama (KPI) misalnya, maka sekretariat ASN yang diselenggara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menamakan 'entah siapa-siapa' sebagai SN.
'Entah siapa-siapa' ini sebenarnya membawa maksud yang absurd. Dalam ranah sastera tempatan yang tidak ramai penggemar dan buku SN pun tidak mampu dijual dengan ratusan ribu naskhah untuk satu judul, kita mempunyai terlalu ramai tukang sorak. Mereka ini tidak mengenal penulis hanya tahu bersorak saja. Apabila satu kumpulan memetik nama si polan, maka yang lain pun bersorak menyokong tanpa mahu membaca jauh sekali mengkaji karya si polan itu.
Mengkaji itu kerja sarjana tetapi kita sebagai pembaca, tentulah tugasnya membaca. Jadi kalau tidak membaca, maka tidaklah mampu kenal penulis. Malah tidak tahu pun adakah seseorang tokoh layak atau tidak diangkat sebagai SN. Hanya mengandaikan mereka itu layak berdasarkan sorak-sorai orang, maka kita pun ikutlah menyokong.
Dalam negara yang mana ada sebahagian penduduknya tidak sangat berbangga dengan bahasa kebangsaan, ramai antara kita lebih suka membaca buku berbahasa Inggeris. Hal ini mungkin pahit diterima tapi begitulah adanya. Petik saja nama pengarang luar, atau kalau pengarang itu menang hadiah sastera antarabangsa mereka lebih teruja hendak membacanya berbanding pengarang tempatan. Bukanlah hal begitu salah, tetapi kerana itu juga populariti seorang pengarang yang mahu diangkat sebagai SN itu tidak boleh diukur dengan kemeriahan tukang sorak sahaja.
Lalu, tindakan DBP sangat telus dalam menyaring dan memilih mereka yang layak menerima SN ini sangatlah tepat. Bagaimanapun jika tidak ada calon yang boleh diangkat, biarlah ASN itu sunyi seketika.
Memang kebelakangan ini, kita kurang calon pengarang berwibawa untuk diangkat sebagai SN jika menggunakan parameter DBP.
DBP mahukan seseorang yang dicalonkan sebagai SN itu mestilah orang yang mempunyai merit dengan karya menang pelbagai hadiah berprestij negara seperti Hadiah Sastera Perdana Malaysia atau anugerah dari luar misalnya, Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write). Hal ini sebenarnya sangat tepat kerana seorang penulis yang mahu diangkat mestilah mempunyai buku 'besar' yang diabsahkan berkualiti.
Namun, ada syarat lain juga yang diambil kira misalnya, calon SN itu mesti juga aktif dalam membina dan mengembangkan sastera misalnya mengembangkan bakat baharu, membentangkan kajian akademik. Maksudnya, mereka bukan hanya seorang penulis semata-mata.
Justeru, jika syarat itu kekal dijadikan garis panduan berapa keratlah pengarang yang ada? Hal ini berdasarkan SN yang dinobatkan berusia 60 tahun ke atas. Jadi, kita harus membuka lebih luas mata yang diberikan tuhan. Jangan lihat mereka yang berusia 60 tahun ke atas saja, kerana di bawah usia itu ramai sebenarnya yang boleh boleh diangkat.
Syed Mohd Zakir Syed Othman atau SM Zakir antara pengarang yang cukup layak diangkat sebagai SN, begitu juga dengan Zaen Kasturi. Kedua-duanya pun sudah melewati usia 50 tahun. Tidak mungkinlah hendak menunggu usia mereka 70 tahun baru hendak dinobatkan sebagai SN?
Lebih muda, kita ada Faisal Tehrani yang sebenarnya pun sudah berusia, iaitu 48 tahun. Walaupun belum menerima SEA Write, tetapi SN kedua, Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad juga tidak pernah mendapat SEA Write.
Jika meletakkan seseorang SN itu perlu dapat SEA Write baru dapat SN, amat malang sekali. Ini kerana SEA Write itu pemberian negara luar, tidak cukupkah anugerah dalam negara menjadi penanda aras kehebatan pengarang kita?.
Jika mahu memilih yang berusia 70-an, mengapa tidak Dr Fatimah Busu? Jika 60-an, mengapa tidak Jong Chian Lai, Datuk Jasni Matlani atau Dr Lim Swee Tin? Malah mengapa tidak Azmah Nordin?
Mereka lebih aktif, banyak berkarya ketika ini berbanding beberapa nama yang pernah aktif pada masa muda tetapi sudah tidak lagi seiring meningkat usia.
Janganlah memberi anugerah berdasarkan kehebatan zaman muda mereka sedangkan kini langsung tidak berkarya. Jika mahu menilai kehebatan masa muda, mengapa tidak semasa sedang di kemuncak karya itu diberikan SEA Write atau mungkin boleh mewujudkan anugerah khusus untuk meraikan mereka yang hebat pada waktu semasa ?
Kita perlu ramai calon SN seperti Datuk Seri A Samad Said, Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh, Datuk Dr Zurinah Hassan atau Dr Siti Zainon Ismail yang mana mereka aktif sejak muda hinggalah bergelar SN dan hingga usia masing-masing masuk 70-an.
Satu hal yang lebih utama, pengkarya itu harus dinilai berdasarkan karyanya bukan aktiviti kokurikulumnya. Jadi pandanglah dulu hasil kerja itu sebelum memeriksa hal-hal lain.