Isnin, 29 November 2021 | 2:57pm
Kegiatan plagiarisme tidak pernah berlaku dengan sendirinya, ia adalah jenayah intelektual dan menipu pembaca. GAMBAR ARKIB NSTP
Kegiatan plagiarisme tidak pernah berlaku dengan sendirinya, ia adalah jenayah intelektual dan menipu pembaca. GAMBAR ARKIB NSTP

Plagiarisme bukan kebetulan

KITA sudah lama tahu, namun masih enggan mengakuinya. Persatuan penulis sudah tidak relevan di negara ini. Sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan. Persatuan penulis tidak mewakili sesiapa kecuali kepentingan ahli-ahlinya yang ingin kekal relevan, berkuasa, dan menggunakan nama persatuan untuk menjilat tumit kasut para politikus.

Justeru rencana Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad berjudul "Didik Masyarakat Kesalahan Plagiat" yang terbit di BH pada 23 November lalu, muncul bukan sahaja pada waktu yang salah, ia memberi hujah menjengkelkan dan tersasar jauh daripada masalah sebenar.

Persepsi masyarakat adalah hak masyarakat. Kalau masyarakat melihat kebakaran atau rompakan berlaku, mereka ada hak untuk bersuara dan minta pertolongan. Malah kita ingin hidup dalam demokrasi di mana masyarakat tidak takut untuk memberi pendapat dan menuntut keadilan apabila ada pihak yang teraniaya. Tidak ada sesiapa berhak untuk merantai tangan dan menjahit mulut masyarakat, lebih-lebih lagi PENA, yang sepatutnya meraikan kebebasan bersuara dan kepelbagaian pendapat. Bukannya membungkam suara masyarakat dan menuduh mereka "membunuh jiwa seseorang."

Berita tular di media sosial datang dan pergi seperti pasang surut ombak. Esok lusa warga maya akan beralih ke gosip dan video popular terbaharu di TikTok. Tidak ada jiwa akan "terbunuh," melainkan penulis yang terbabit itu adalah penulis palsu atau dia memang bersalah dan sengaja berpura-pura menjadi mangsa keadaan. Menurut tulisan beliau itu, isu plagiat ini "tidak membabitkan kerosakan pada ketenteraman awam." Karya sastera adalah milik orang awam dan hak cipta pengarangnya. Apabila kita nampak penyangak pecah masuk dan mencuri harta orang lain, adakah kita patut diam? Kalau menurut kompas moral Mohamad Saleeh, ya! Walaupun kalau pesalah itu sudah dituduh dan dikatakan melakukan rompakan sama berulang-ulang kali, beliau ingin masyarakat duduk diam-diam, kerana di matanya, penulis dan orang awam tidak faham apa itu sebenarnya plagiarisme.

Sebahagian daripada khalayak sastera kita mungkin belum jelas mengenai apa itu plagiarisme, namun semua orang tahu apabila mereka melihat jenayah sudah berlaku. Semua orang tahu apabila hak cipta seorang pengkarya seni dizalimi. Semua orang tahu politik ahli persatuan yang lebih sibuk menjaga periuk nasi masing-masing berbanding berjuang melindungi hak cipta pengarang dan kredibiliti golongan editor. Adakah kita patut menyerahkan isu ini kepada penghakiman masyarakat umum? Tidak, kita masih memerlukan undang-undang untuk menyelesaikannya. Namun itu tidak bermaksud masyarakat patut duduk diam seolah-olah tidak apa-apa berlaku. Mereka berhak untuk menuntut penjelasan dan keadilan. Kalau penulis yang dikatakan plagiat itu memang tidak bersalah, bangkit dan bersuaralah, buktikan karyanya memang asli. Tidak ada sesiapa menghalangnya, hanya Presiden PENA yang percaya demokrasi tidak wujud di negara ini.

Plagiarisme tidak pernah berlaku dengan sendirinya. Hanya orang jahil, cetek ilmu, dan bersekongkol dengan jenayah itu, akan percaya plagiarisme sebagai suatu kebetulan.

Berita Harian X