Isnin, 29 November 2021 | 2:49pm
Kepelbagaian karya sastera di negara ini adalah keistimewaan yang perlu diraikan. Gambar sumber internet.
Kepelbagaian karya sastera di negara ini adalah keistimewaan yang perlu diraikan. Gambar sumber internet.

Jurang bangsa, bahasa dalam sastera Malaysia

KUALA LUMPUR: Benarkah berlaku pemisahan dalam sastera Malaysia hinggakan akhirnya karya dalam bahasa Melayu, Inggeris, Cina, India atau yang lainnya, masih tidak boleh bersama-sama atau duduk sekali dalam satu majlis?

Malah keadaan ini akhirnya menyebabkan penulis terpisah-pisah dan hanya duduk dalam kelompok masing-masing?

Bagi penulis dan penterjemah, Izzuddin Ramli, ketika ditanya pandangannya, berkata kepelbagaian sastera di negara ini adalah keistimewaan yang perlu diraikan.

Bagaimanapun apa yang menjadi permasalahan katanya, adalah kurangnya interaksi sastera bukan saja antara Melayu, Cina dan Tamil malah puluhan lagi bahasa peribumi di Semenanjung dan Borneo.

Sastera setiap bahasa katanya memiliki ekosistem tersendiri dan ini menyebabkan ia seolah-olah bergerak serta berhubung sesama sendiri sahaja dan sukar memahami satu sama lain.

Justeru tegas Izzudin apa yang boleh dilakukan bagi menyambung atau setidak-tidaknya merapatkan jurang ini adalah melalui penterjemahan karya sastera yang berkualiti.

Beliau tidak menafikan, Malaysia giat menjalankan kerja penterjemahan baik oleh institusi penterjemahan mahupun penerbit indie tetapi secara umumnya, ia cenderung membabitkan karya sastera baik dalam bahasa Inggeris, Jerman atau Arab yang diperantarakan bahasa Inggeris.

"Penterjemahan karya sastera dalam bahasa tempatan perlu didahulukan. Dengan menterjemahkan 'diri sendiri' kita tidak hanya berinteraksi tetapi boleh melihat sendiri pelbagai imaginasi yang bergerak melampaui batas Melayu, Cina, dan India.

"Saya kira, kita hanya boleh 'duduk dalam satu majlis' atau bersatu kalau pun perlu, apabila sudah membaca dan mengenali antara satu sama lain melalui penterjemahan," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Izzuddin berkata, hal kedua yang penting dilakukan ialah menyegarkan budaya kritikan sastera bagi menghidupkan sastera dan karya yang bagus.

Katanya, kritikan menghidupkan sastera dan karya yang bagus juga tumbuh melalui penulis dan pengkritik.

"Bagaimanapun, kritikan sastera itu tidak perlu hanya dalam ranah teori semata-mata tetapi dibudayakan dalam kalangan penulis dan pembaca sastera." katanya.

Beliau yang juga Kurator Bersama Festival Sastera George Town (GTLF) yang sedang berlangsung sejak Khamis lalu berkata, penganjuran acara seperti GTLF sedikit sebanyak dapat menambah kepada kemeriahan kegiatan penulisan dan pembacaan di negara ini.

Ia katanya, tidak hanya menjadi tempat berkumpul penulis dan pembaca sastera malah membolehkan masyarakat umum bermesra semula dengan sastera yang mungkin sudah 'ditinggalkan' di pagar sekolah.

"GTLF menjadi tempat karya sastera tempatan dan antarabangsa dari pelbagai bahasa 'menayangkan' diri mereka.

"Di sini perbualan tercetus, perbahasan bercambah dan tawar-menawar terjadi. Ia tempat penulis dan pembaca berkenalan antara satu sama lain, mendapatkan ilham, kemudian mengambil jalan sendiri lalu menulis," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Abang Patdeli Abang Muhi, berkata secara umumnya, memang ada usaha mengkategorikan atau memberikan istilah tertentu kepada bidang sastera

"Bagaimanapun pengkategorian itu pada hemat saya perlu bagi tujuan keilmuan, kajian dan sebagainya dan saya kira itu bukan segmentasi.

"Soal penyatuan pelbagai jenis dan bentuk sastera itu tidak harus dilihat sebagai natijah kerana kononnya wujud segmentasi sastera di negara ini.

"Biarlah sastera yang ditulis dalam bahasa ibunda atau etnik masing-masing tumbuh mekar dan berkembang subur di negara lantas mewarnai flora dan fauna sastera pelbagai kaum di negara," katanya.

Menurut Abang Patdeli, jika sastera ingin dilihat sebagai unsur pemangkin perpaduan, karya sastera ditulis dalam bahasa etnik masing-masing termasuk dalam bahasa Inggeris oleh penulis pelbagai etnik atau kaum di negara ini perlu diterjemahkan dalam bahasa kebangsaan.

Ia katanya bersesuaian dengan peranan bahasa sebagai bahasa penyatuan bangsa yang difahami semua masyarakat di negara ini.

"Jika itu dapat dilakukan dengan jujur dan ikhlas tidak mustahil dunia sastera kita akan lebih harmoni waima bahasa mana pun yang dipilih untuk menulis karya asal itu," katanya.

Tambah beliau, DBP sentiasa bersedia menerbitkan karya bersesuaian yang ditulis penulis pelbagai kaum di negara ini dalam bahasa etnik masing-masing serta diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan.

"DBP berpegang pada prinsip kesusasteraan kebangsaan itu tertulis dalam bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu, baik karya asli atau terjemahan daripada bahasa berbilang etnik atau kaum di negara kita," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan dan Penyelidik di Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Psikologi, Universiti SEGi, Dr Florence Kuek, berkata beliau tidak melihat adanya segmentasi dalam sastera Malaysia sebaliknya ia hanya refleksi kekayaan serta kepelbagaian budaya dan bahasa di negara ini.

Malah katanya, ia membolehkan penulis di negara ini menghasilkan karya luar biasa serta memenangi banyak penganugerahan antarabangsa di atas bakat mereka menghasilkan karya sastera dengan warna tempatan tanpa mengira bahasa digunakan.

Kuek juga senada dan menyetujui peranan penterjemahan sebagai aspek penting dalam merapatkan jurang interaksi antara sastera berbeza di negara ini.

"Penterjemahan tidak patut dipinggirkan kerana ia memberi kuasa generatif sebagai jambatan bagi bahasa yang berbeza.

"Kita tidak dapat menafikan seseorang pengarang daripada menulis dalam bahasa, gaya, bentuk serta ekspresi pilihannya.

"Tetapi ia tentunya akan memberi manfaat kepada rakyat di negara ini dan pembaca global untuk berpeluang menikmati naskhah sastera berkualiti dalam bahasa pilihan mereka (melalui penterjemahan)," katanya.

Kuek sendiri terbabit dalam penterjemahan antologi puisi karya Lai Choy berjudul 80 tahun, 80 sajak dan beliau menyifatkan naskhah dalam tiga bahasa itu menandakan identiti pengarang itu sebagai penulis tanah air dalam kelompok masyarakat majmuk di negara ini.

Dalam masa sama, Kuek juga menekankan kepentingan mengadakan dialog berterusan membabitkan pengarang pelbagai bahasa di negara ini bagi menggalakkan pertukaran perspektif antara mereka.

Kuek bersama beberapa pengarang Mahua turut terbabit dengan pertemuan bersama beberapa pengarang Melayu dan ia membuahkan hasil bagi kerjasama untuk menerbitkan antologi cerpen Mahua ke dalam bahasa Melayu serta penerbitan antologi cerpen Melayu ke dalam bahasa Cina di masa akan datang.

Berita Harian X