Isnin, 30 Ogos 2021 | 10:55am
Azmah menganggap kritikan yang menyebut beliau tidak layak menerima ASNS kedua awal Ogos lalu sebagai cabaran untuk terus melangkah jauh dalam penulisan. Gambar BERNAMA
Azmah menganggap kritikan yang menyebut beliau tidak layak menerima ASNS kedua awal Ogos lalu sebagai cabaran untuk terus melangkah jauh dalam penulisan. Gambar BERNAMA

Pengarang perlu menginspirasikan

KOTA KINABALU : Menjadi pengarang bukan bermaksud hanya menulis mengenai keseronokan yang tidak bermanfaat atau hanya mencipta imaginasi tanpa sempadan.

Sebaliknya bagi penerima Anugerah Sastera Negeri Sabah (ASNS) 2021, Azmah Nordin, berkata pengarang yang baik juga mampu mampu memberi inspirasi kepada pembaca.

Hal ini menyebabkan Azmah banyak menampilkan watak perempuan yang kuat dalam karyanya sehingga ada anggapan beliau seorang feminis.

"Oh tidak, saya bukanlah feminis tetapi saya percaya perlu untuk memperjuangkan hak dan mengangkat martabat kaum wanita.

"Ramai wanita bekerjaya yang melalui pelbagai cabaran dengan tabah sehingga berjaya jadi kenapa kita tidak tonjolkan sisi positif yang ini?.

"Mengapa mesti mengangkat watak wanita yang pasrah walau dibuli, diganggu secara seksual dan dianiaya lelaki, tidak kiralah dalam rumah tangga atau kisah di pejabat," katanya.

Azmah berkata, kisah sebegini perlu disorot dari sudut lebih positif dengan membentangkan watak wanita yang kuat.

Tegasnya, karya seharusnya menjadi inspirasi pembaca, bukan sebaliknya buat wanita rasa rendah diri. Justeru, Azmah juga percaya persekitaran turut mempengaruhi pengkaryaannya.

Azmah yang dilahirkan ke di Kulim, Kedah sebelum berhijrah ke Sabah sejak 1973 berkata, kepelbagaian budaya negeri itu turut membentuk keterampilannya sebagai penulis.

"Novel pertama yang saya tulis berjudul Kukui terbit pada 1986, ia sebenarnya cubaan saya untuk menulis kreatif kerana sebelum ini saya tidak pernah terfikir boleh menulis karya sebegitu.

"Saya bermula sebagai wartawan, sehinggalah seorang editor Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cawangan Sabah bertanya, mengapa tidak menulis cerpen?," katanya.

Jatuh hati dengan budaya Murut

Selepas cerpen itu diterbitkan dalam majalah terbitan DBP, keterujaannya menulis melahirkan Kukui iaitu novel yang mengangkat kehidupan masyarakat dan adat resam kaum Murut.

Azmah berkata, Kukui adalah hasil mengikuti bengkel penulisan kreatif kelolaan DBP sebelum dihantar untuk menyertai sayembara. Proses menyiapkannya mengambil masa dua minggu dan kata Azmah, beliau menyertai pertandingan kerana ingin menguji sejauh mana kekuatan naskhah yang dihasilkan selain ingin menilai kebolehannya sendiri dalam menghasilkan novel.

"Apabila keputusan diumumkan, novel itu mendapat hadiah sagu hati. Ia sudah cukup baik untuk saya ketika itu. Saya ingat melompat di sepanjang koridor rumah pangsa yang didiami," katanya.

Bermula sejak itu, Azmah mula mengorak langkah untuk mempelajari penulisan kreatif dengan lebih serius apabila menyertai lebih banyak kursus berkaitan yang dianjurkan DBP.

Hal ini memberinya keyakinan diri untuk menyertai sayembara novel di peringkat kebangsaan pula. Antaranya, sayembara novel kanak-kanak dan Azmah memilih untuk menulis mengenai kegiatan mengambil sarang burung di Sabah.

Manuskrip itu, Noor Ainku Sayang memenangi memenangi tempat pertama dan umpama penawar duka kerana ketika itu beliau sedang menjaga anaknya yang sedang mendapatkan rawatan di hospital.

Azmah yang menerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2009, mengakui banyak novel awal tulisan beliau memaparkan budaya Sabah kerana kedekatan negeri itu dengannya. Malah, beliau jatuh cinta dengan budaya Murut, justeru banyak menulis mengenai suku kaum itu.

"Tetapi, setelah beberapa ketika, saya mulai mengenali dan mencintai budaya suku kaum lain di Sabah yang sama hebat dan berwarna warni seperti Bajau, Idaan, Bisaya, Iranun, Melayu-Brunei dan banyak lagi," katanya.

Cabaran penerima ASNS

Namun, sebagai penulis bukan asal Sabah, masih terdapat cabaran yang perlu dihadapinya selain persepsi atau tohmahan negatif. Katanya, semua itu adalah liku-liku perjalanan dan bukan perjuangan namanya tanpa cabaran.

Antaranya, sebaik sahaja diumumkan sebagai penerima ASNS kedua awal bulan ini, terdapat cakap-cakap belakang mengenai pemilihan berkenaan yang dianggap tidak layak kerana Azmah bukan penulis asal Sabah.

"Saya harungi semua cabaran yang datang dengan tabah selain yakin dengan perjalanan yang ditentukan Tuhan.

"Pastinya juga saya akan perlu berusaha dengan lebih gigih. Selain itu, kita tidak boleh mengubah persepsi atau tohmahan negatif orang lain terhadap kita. Kita hanya boleh mengubah diri kita sendiri. Jadi, saya reda sahaja," katanya.

Tegas Azmah, hal itu itu juga bukan halangan untuknya terus menabur bakti dan mencungkil bakat penulisan di Sabah.

"Saya banyak menemui bakat baharu yang hebat dan sangat kagum dengan keupayaan mereka yang datang dari pelbagai bangsa tapi mampu berkarya dengan baik," katanya.

Azmah berkata, selain membimbing bakat baharu, anak perempuannya juga ada yang berminat dalam penulisan. Namun kerana hambatan pekerjaan dan kehidupan berkeluarga, menyukarkan untuknya meneruskan minat itu.

Berita Harian X