Isnin, 8 Februari 2021 | 10:59am
Lokasi manuskrip Melayu yang disimpan di seluruh dunia
Lokasi manuskrip Melayu yang disimpan di seluruh dunia
Pegawai perancang bahasa, DBP, Fathenwan Wan Mohd Noor
Pegawai perancang bahasa, DBP, Fathenwan Wan Mohd Noor

Kelainan warna dakwat, serlah keunikan manuskrip lama

KUALA LUMPUR: Manuskrip Melayu diketahui bukan hanya disimpan di Malaysia tetapi juga di luar negara dengan hampir 15,000 diketahui berada antaranya di Britain dan Belanda.

Hal ini terjadi disebabkan faktor penjajahan selain urusan jual beli. Di Malaysia, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) diketahui menyimpan hampir 4,884 manuskrip selain hampir 2,000 naskhah salinan daripada teks asal.

Selain itu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan universiti awam seperti Universiti Malaya turut menyimpan koleksi manuskrip.

Mengikut definisi yang diterima pakai kebanyakan sarjana kesusasteraan Melayu, manuskrip Melayu merujuk kepada dokumen bertulis tangan dalam tulisan jawi yang dihasilkan dari abad ke-16 hingga awal abad ke-20.

Ia merakamkan pelbagai bidang perkara seperti kesusasteraan, sejarah, undang-undang, perubatan tradisional, kitab agama, ketatanegaraan, petua, azimat, kitab ramalan selain karya kesusasteraan.

Pegawai perancang bahasa, DBP, Fathenwan Wan Mohd Noor menerusi acara Yang Lama dijunjung: Manuskrip Lama, menerusi siaran di media sosial DBP berkata, kedatangan Islam membawa perubahan kepada pengisian manuskrip.

"Kedatangan Islam bukan hanya menghasilkan tulisan jawi yang berinspirasikan tulisan Arab tetapi juga membawa kepada pengisian manuskrip yang pelbagai.

"Ia tidak sekadar merekod jurai keturunan, adat istiadat atau mengenai sejarah feudalisme tetapi juga menyalin naskhah genre agama selain ilmu perubatan dan kesusasteraan," katanya.

Bagaimanapun tegas Fathenwan, selain diketahui menyimpan kebijaksanaan dan rakaman sejarah lampau, manuskrip Melayu juga menjelaskan mengenai kearifan tempatan masyarakat pada zaman itu daripada segi penghasilan manuskrip itu sendiri merangkumi penghasilan dakwat dan kertas yang digunakan.

"Orang zaman dahulu menyiapkan manuskrip dengan memanfaatkan alam semula jadi yang ada di keliling mereka.

"Misalnya yang kerap ditemui manuskrip itu dikemaskan dengan kulit binatang, kulit kayu, daun lontar, manakala bahan-bahan yang digunakan untuk hasilkan manuskrip yang paling utama adalah kalam atau pena yang unik," katanya.

Tegas Fathenwan, terdapat tiga jenis pena yang digunakan untuk menulis manuskrip dengan jenis paling popular adalah pena resam.

"Pena resam ini dibuat daripada batang pelepah paku resam. Ia mudah diraut dan mudah diperoleh justeru ia digunakan secara meluas ketika itu.

"Pena kabung juga digunakan pada zaman itu. Ia diperbuat daripada pokok kabung. Duri kabung agak keras, bahagian duri di bahagian bawah pokok itu diambil jadi pena.

"Tetapi pokok kabung tak meresap dakwat sebaik pena resam kerana ia cepat kering," katanya.

Satu lagi jenis pena yang digunakan adalah daripada bulu pelepah binatang. Ia digunakan dengan bahagian hujung bulu pelepah itu ditajamkan dan digunakan sebagai pena.

Pegawai perancang bahasa, DBP, Fathenwan Wan Mohd Noor
Pegawai perancang bahasa, DBP, Fathenwan Wan Mohd Noor

Bagaimanapun seperti pena kabung, ia juga mudah kering dan perlu kerap dicelup dalam dakwat.

Fathenwan berkata, orang Melayu zaman itu juga mempunyai teknik tersendiri dalam menghasilkan dakwat malah mampu membuat dakwat pelbagai warna dengan memanfaatkan sumber alam.

"Cara orang Melayu mendapatkan dakwat ini unik dan mereka pada zaman itu mampu menghasilkan warna hitam, biru, coklat, hijau, ungu dan kuning.

"Paling kerap ditemui adalah dakwat hitam. Ia diperoleh daripada jelaga damar dan dicampur dengan madu atau getah untuk dapatkan warna hitam.

"Selain itu dakwat hitam dihasilkan daripada jelaga pelita selain sarang labah-labah yang mana ia mampu menghasilkan dakwat yang sangat hitam.

"Satu lagi sumber yang dimanfaatkan untuk menghasilkan dakwat hitam adalah daripada kerak punggung periuk yang dikikis," katanya.

Tambah Fathenwan, dakwat ungu diperoleh daripada pokok lembayung (rembayong) yang mana ia juga boleh menghasilkan dakwat hijau, manakala

warna coklat diperoleh daripada kulit manggis dan merah daripada kesumba.

"Dakwat kuning seperti yang diketahui umum tentu saja daripada kunyit yang dicampurkan dengan kapur yang diperam.

"Sebenarnya setiap dakwat yang mempunyai warna berbeza mempunyai fungsi yang berbeza. Selalunya kita akan temui dakwat hitam, biru dan merah tetapi sesekali kita akan temui juga dakwat emas," katanya.

Kata Fathenwan, dakwat hitam biasanya untuk menulis kandungan teks, dakwat merah digunakan untuk memperkuatkan atau menegaskan satu-satu ayat.

Misalnya dakwat merah digunakan pada bahagian awal manuskrip iaitu biasanya ayat-ayat yang dipetik daripada al-Quran.

"Misalnya dalam Hikayat Ular Nengkawan, surah Al Fatihah pada permulaan hikayat dituliskan dalam warna merah.

"Ia juga digunakan untuk perkataan penting misalnya nama khas, dalam Hikayat Ayob, ia digunakan untuk menulis nama Nabi Ayob as atau kadang kala digunakan pada permulaan ayat.

"Biasanya juga kita jumpa dakwat merah diguna untuk tulis perkataan seperti hatta, sahibul hikayat," katanya.

Tegas Fathenwan, sesuatu yang unik manuskrip Melayu tiada tanda baca atau sistem pembahagian misalnya titik, koma atau tanda bacaan lain.

Justeru, selaku pengkaji kepekaan terhadap penggunaan warna dakwat yang berlainan memudahkan pembahagian bab, permulaan atau pengakhiran ayat atau memahami fungsi ayat yang ditulis dalam warna berkenaan.

"Sewaktu mengikuti kursus di Indonesia, saya berpeluang melihat sebuah manuskrip yang penuhi kerawang berwarna warni termasuk warna emas dan menjelaskan keupayaan generasi lampu menghasilkan warna sedemikian.

"Namun dakwat warna emas tidak selalu boleh ditemui malah mungkin ia bersifat khusus," katanya.

Berita Harian X