Rabu, 9 Disember 2020 | 7:33am
ZAEN Kasturi dan SM Zakir.
ZAEN Kasturi dan SM Zakir.

Sasterawan Negara, apakah giliran pengarang 'muda'

Tahun 2020 akan berlalu pergi dan kita menanti kehadiran tahun 2021 dengan debaran apakah kisah hidup yang akan kita depani. Penularan COVID-19 mengirimkan angin keresahan, kebimbangan dan ketakutan. Begitulah juga bahawa kita akan berdepan pula dengan pertanyaan apakah Anugerah Sastera Negara (ASN) akan dizahirkan pada tahun depan.

ASN yang membawa gelaran Sasterawan Negara (SN) adalah pengiktirafan dan penghargaan paling berprestij yang diberikan Kerajaan Malaysia untuk pengarang kreatif. Ia mencerminkan keprihatinan kerajaan menerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku urus setia terhadap sumbangan pengarang menerusi karya dan pencapaiannya.

Pengarang kreatif memberi sumbangan besar kepada rakyat atau pembaca karyanya sehingga diiktiraf sedemikian. Ia sangat bermakna dan besar pengertiannya bagi mengiktiraf pengarang.

ASN hanya untuk pengarang Malaysia berbanding SEA Write Award di Thailand yang bermula tahun 1979 meraikan pengarang sekitar Asia Tenggara, malah ramai pengarang Malaysia meraih anugerah itu.

Namun, ASN tentunya berada dalam kelasnya yang tersendiri dan menjadi penantian hampir setiap tahun oleh pengarang kreatif. Justeru, setiap tahun pelbagai andaian bermain dalam fikiran kalangan pengarang dan aktivis kesusasteraan terutamanya memikirkan hal pemilihan calon SN.

ASN bermula sejak 1981 bermula dengan Kamaludin Muhammad (Keris Mas) diikuti Datuk Shahnon Ahmad (1982), Datuk Usman Awang (1983), Datuk Seri A Samad Said (1986), Muhammad Dahlan Abdul Biang Andi atau Arena Wati (1988), Prof Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh (1991), Datuk Noordin Hasan (1993), Datuk Abdullah Hussain (1996), Syed Othman Syed Omar atau S Othman Kelantan (2001), Datuk Dr Anwar Ridhwan (2009), Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala (2011), Datuk Baharuddin Zainal (2013), Datuk Dr Zurinah Hassan (2015) serta Dr Siti Zainon Ismail yang dianugerahkan pada tahun 2019 lalu.

DBP sudah menghebahkan maklumat pencalonan ASN ke-15 pada awal November lalu. Memilih calon SN sesungguhnya memerlukan waktu dan ketelitian panel. Panel pastinya mempunyai kriteria calon untuk memilih sekali gus mencerminkan kewibawaan keputusan.

Pada peringkat awal majlis anugerah, antara tahun 1981 sehingga 1983, setiap tahun berlangsung. Kemudian berlaku kelompangan kerana ketiadaan calon sehingga tahun 1986. Justeru, situasi ini tidak menjadikan majlis anugerah ini sebagai majlis tahunan.

Walaupun wujud kelompangan, namun majlis ASN tetap dilaksanakan. Apapun harapan kita proses pemilihan calon Sasterawan Negara akan datang iaitu calon ke-15 berjalan dengan lancar tanpa mengulangi sejarah 2019 lalu yang menimbulkan kontroversi.

Campur tangan politik demi penambahbaikan ASN, ia pastinya dialu-alukan seperti menaikkan peruntukan hadiah wang tunai daripada RM60,000 kepada RM100,000 atau setia konsisten anugerah diberikan saban tahun tanpa ada sebarang kelompangan tahun.

Perlu diteliti, dua pengarang hebat iaitu Azizi Hj Abdullah dan Malim Ghozali Pk, nama besar yang mencorak wajah kesusasteraan tanah air tidak kesampaian dinobatkan sebagai Sasterawan Negara. Semoga Allah SWT menerima segala kebaikan mereka menerusi gelanggang kesusasteraan.

ASN adalah anugerah tertinggi untuk sasterawan yang mencapai taraf tokoh dalam penciptaan karya kreatif yang sarat pemikiran serta kegiatan kesusasteraan yang bermutu tinggi. Antara ganjaran penganugerahan termasuklah warkah penghormatan, hadiah wang tunai, kemudahan mencipta dan penerbitan karya sastera, serta penterjemahan karya ke bahasa asing.

Untuk memperoleh semua ganjaran ini, bukan sesuatu mudah. Begitu juga bukan mudah memilih seorang calon yang disambut baik semua pihak tanpa mempertikaikan keputusan. Namun, hak memilih perlu diberi kepada panel dengan kepercayaan yang tinggi demi menghormati keputusan yang diperhalusi dari pelbagai sudut.

Jika menyentuh hal siapa yang layak menerima anugerah, pastinya dilihat juga aspek sumbangan, tekal, pemikiran, kematangan idea dalam penciptaan karya, kegiatan serta faktor kepengarangannya antara yang menjadi ukuran. Usia bukan lagi keutamaan jika calon memperlihatkan pencapaian yang luar biasa dan memiliki ketokohan dalam penulisannya. Begitu juga tahap akademik bukan penentu, sebaliknya dunia kepengarangan, kualiti karya yang lahir di tangan pengarang yang menduniakan dunia kesusasteraan.

Prof Emeritus Dr Muhammad Hj Salleh menerima ASN pada tahun 1991 pada usia 49 tahun, tetapi dunia kepengarangannya sudah utuh ketika itu. Kebanyakan Sasterawan Negara berusia lebih 50 tahun sewaktu menerima anugerah kecuali Muhammad Hj Salleh dan Shahnon Ahmad pada usia 49 tahun.

Andai kata tahun 2021 ASN dinobatkan kepada pengarang prolifik Syed Mohd Zakir Syed Othman (S M Zakir) umpamanya, usianya sudah menjangkau 52 tahun, tetapi latar pencapaian dunia kepengarangannya juga sangat kukuh dan energetik, manakala Zainal Palit atau Zaen Kasturi yang sudah membina identiti dalam kepengarangannya juga sudah berusia 57 tahun pada tahun 2021.

Apalagi Rahman Shaari usianya sudah menjangkau 72 tahun pada 2021, tetapi masih aktif dan produktif. Mana Sikana juga antara pengarang yang besar sumbangannya terhadap genre drama selain terbabit melonjakkan dunia kesusasteraan menerusi teori tempatannya, Teksdealisma dan Taabudiyah.

Begitu juga, soal jantina bukan persoalan jika ada yang layak. Dua calon wanita sudah menerimanya dua kali berturut-turut walaupun berselang lima tahun iaitu Dr Zurinah Hassan dan Dr Siti Zainon Ismail. Jika masih ada tokoh pengarang daripada kalangan wanita yang layak, maka nama Zaharah Nawawi juga antara nama besar yang layak dicalonkan.

Apapun ada harapan yang perlu disandarkan agar 2021 akan ada calon yang layak menerima anugerah berprestij ini. Siapakah yang layak, bergantung kepada jumlah pencalonan dan kearifan panel memutuskannya.

Biarlah jawapannya tidak ada pada tangan pengarang kerana pengarang hanya tugasnya berkarya, berkongsi ilmu dan pengalamannya, beraktiviti dan mendampingi masyarakat mengimarahkan kesusasteraan sama ada di peringkat lokal mahupun global. Kudrat panel diperlukan sepenuhnya dalam memberi jawapan.

DBP tetap organisasi berwibawa dan bertanggungjawab menentukan hala tuju ASN dalam perjuangannya memartabatkan kesusasteraan berbahasa Melayu. Semoga proses pencalonan dan pemilihan Sasterawan Negara ke-15 berjalan lancar dan kita mendoakan yang terbaik untuk DBP menguruskannya.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

INFO

Senarai Sasterawan Negara

Kamaluddin Muhammad (Keris Mas) 1981

Datuk Shahnon Ahmad (1982)

Datuk Usman Awang (1983)

Datuk Seri A Samad Said (1986)

Muhammad Dahlan Abdul Biang Andi (Arena Wati) 1988

Prof Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh (1991)

Datuk Noordin Hasan (1993)

Datuk Abdullah Hussain (1996)

Syed Othman Syed Omar atau S Othman Kelantan (2001)

Datuk Dr Anwar Ridhwan (2009)

Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala (2011)

Datuk Baharuddin Zainal (2013)

Datuk Dr Zurinah Hassan (2015)

Dr Siti Zainon Ismail (2019)

Berita Harian X