Isnin, 5 Oktober 2020 | 10:05am
Mana Sikana (kiri) dan Zaen Kasturi.
Mana Sikana (kiri) dan Zaen Kasturi.

Kritikan sastera yang malap, tenggelamkan penulis

KUALA LUMPUR: Apakah kepentingan kritikan kepada perkembangan sastera ? Adakah ia sekadar puji-pujian kepada karya yang dihasilkan atau kritikan menghentam kelemahan sehingga ada kala membuat penulis tumpul semangat untuk terus menulis?

Persoalan itu dibincangkan dengan kemas menerusi forum sastera bertajuk Dunia Kritikan Sastera di Malaysia Lesu anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Menampilkan sarjana dan pemikir sastera, Dr Abd Rahman Napiah atau Mana Sikana dengan penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2010, Zaen Kasturi yang ternyata ia cukup panas dan menjelaskan sesungguhnya dunia kritikan sastera di Malaysia memang lesu.

Walaupun pada permulaan forum itu Mana Sikana kelihatan tidak bersetuju dengan tajuk yang diusulkan tetapi hujah pembuka Zaen Kasturi memang melorongkan kepada realiti betapa kritikan sastera sudah mula tenggelam hinggakan penulis selepas tahun 2000 tidak dikenali dalam kalangan sarjana.

Hal ini menyebabkan karya mereka tidak diperkatakan dan sarjana mengulang penemuan zaman silam yang menyaksikan mereka masih merujuk Zaen Kasturi dan penerima SEA Write 2011, Syed Mohd Zakir Syed Othman (SM Zakir) sebagai penulis muda. Keadaan ini memang melucukan kerana kedua-duanya sudah berusia lebih 50 tahun.

Bagi mereka di luar lingkaran kesusasteraan, kritikan sastera itu mungkin hanya ulasan atau pandangan mengenai karya, baik atau buruk. Kepercayaan itu kurang tepat kerana kritikan adalah sebahagian daripada faktor perkembangan kesusasteraan.

Sejarah kritikan sastera atau seni dikaitkan dengan zaman Yunani dan dilihat sebagai analisis terhadap karya seni. Zaman itu melahirkan pelbagai teori kritikan yang berkembang dan ditambah baik seiring perkembangan manusia. Ia tidak muncul tiba-tiba tetapi datang daripada pemikiran kritis dan analitik mansia.

Tradisi yang bermula dari Barat ini awalnya berkembang dengan baik di Malaysia pada tahun 80-an dan 90-an sebelum perlahan-lahan merosot memasuki milenium baharu.

Zaen Kasturi sendiri misalnya apa peringkat awal kemunculannya dalam landskap sastera kebangsaan, kewujudannya hampir tidak disedari kerana karyanya yang tidak mengikut arus ketika itu dilihat sebagai absurd.

Dua naskhah yang diperkatakan panel, Selamat Datang ke Malaywood oleh Roslan Jomel dan Dondang Pembukaan oleh Muhammad Lutfi Ishak.
Dua naskhah yang diperkatakan panel, Selamat Datang ke Malaywood oleh Roslan Jomel dan Dondang Pembukaan oleh Muhammad Lutfi Ishak.

Mana Sikana berkata, sewaktu beliau memilih untuk mengkritik dan memperkatakan karya Zaen Kasturi beliau tidak mengenal siapakah dia. Sebaliknya Mana Sikana memilih untuk mengkritik karyanya kerana kesegaran dan sifat karya beliau yang langsung tidak sama dengan yang sedia ada ketika itu.

Zaen Kasturi sendiri mengakui pada peringkat awal pengkaryaannya tidak mudah apabila karyanya banyak ditolak editor. Bagaimanapun hal ini berubah apabila ia dibedah dan dikupas Mana Sikana dalam kritikannya. Ia bagaikan batu loncatan untuk Zaen Kasturi terus mara. Begitulah kehebatan kritikan yang berwibawa di tangan sarjana yang mahir.

Hal yang sama dilihat dalam novel Salina tulisan Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said. Naskhah terbitan tahun 60-an itu hanya menang hadiah sagu hati sayembara penulisan 10 tahun selepas merdeka anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, malah tajuk awalnya juga bukan Salina sebaliknya Gerhana.

Setelah diangkat A Teuww, Salina menjadi Salina yang dikenali hari ini sehingga orang terlupa siapakah yang memenangi tiga hadiah utama dalam pertandingan itu.

Namun, hari ini suasananya sangat berlainan. Hal ini disebut dengan jelas oleh Zaen Kasturi yang mana hampir keseluruhan isi perbincangan itu terfokus kepada sarjana yang gagal melunaskan tanggungjawab dalam membangunkan kritikan sastera.

Malah Zaen Kasturi sepanjang forum berkenaan, mengulang perkataan kasihan hampir tiga kali ! Kata Zaen Kasturi, terdapat ramai penulis yang benar-benar muda berkarya pada tahun 2000 yang tidak diperkatakan karya mereka sedangkan karya mereka cukup baik antaranya Dondang Pembukaan oleh Muhammad Lutfi Ishak dan Selamat Datang ke Malaywood oleh Roslan Jomel.

Zaen Kasturi mengungkapkan kekosongan kritikan sastera Malaysia bermula pada 90-an hingga kini yang katanya menenggelamkan banyak karya penulis muda yang baik. Kelompongan itu kemudiannya boleh menyebabkan penulis ini tenggelam kerana perhatian seterusnya akan diberikan kepada penulis generasi baharu selepas tahun 2020.

Malah kelompongan itu memperlihatkan dirinya sendiri kata Zaen Kasturi kerap dirujuk sebagai penulis muda sedangkan beliau sudah menulis sejak 80-an dan menerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara pada 2010.

Penulis muda kata Zaen Kasturi seharusnya diberikan kepada penulis seperti Roslan Jomel dan seangkatannya. Bayangkan jika Zaen dan SM Zakir masih dirujuk sarjana sebagai penulis muda, agaknya apakah gelaran untuk penulis seperti Roslan Jomel, Nisah Haron dan angkatan lebih muda seperti Fahd Razy, Rebecca Ilham, A Muziru atau Wan Azriq.

Bagaimanapun, Mana Sikana menegaskan agak keterlaluan untuk meletakkan tanggungjawab itu kepada sarjana sahaja kerana mereka terbeban dengan amanah dan tanggungjawab di universiti. Bagaimanapun siapakah yang boleh diharapkan jika bukan sarjana kerana persekitaran sastera Malaysia belum lagi melahirkan pengkritik bukan sarjana yang berwibawa dan berilmu.

Selain Mohd Affendi Hasan yang berada di luar lingkaran akademik, tidak ada pengkritik sastera yang sehebatnya. Ketika ini yang ada dan sesekali tulisan mereka di akhbar atau majalah tidaklah memberangsangkan dan ada yang tidak tahu apa sebenarnya fungsi kritikan sastera, sekadar menulis untuk menulis sahaja.

Forum anjuran DBP kali ini amat baik kerana secara jelas ia mendedahkan kerisauan penulis dan kewujudan lompong kritikan serta bebanan yang dihadapi oleh sarjana sastera di Malaysia. Ia juga adalah kesinambungan forum sebelum ini, Antara Sastera Inklusif dan Eksklusif di Mana Titik Temunya yang dibicarakan oleh Prof Madya Dr Norhayati Ab Rahman, Muhammad Lutfi dan SM Zakir.

Bagaimanapun selepas dua forum memperkatakan isu mengenai kritikan sastera yang lesu, adakah keadaan ini akan diperbetulkan, tidak dapat dipastikan.

Berita Harian X