Sabtu, 11 Julai 2020 | 11:02am
Pameran Battle of Endau di Muzium Mersing. - Foto BERNAMA
Pameran Battle of Endau di Muzium Mersing. - Foto BERNAMA

Pertempuran sengit Battle of Endau

MERSING: Daerah di pantai timur Johor ini, memang popular sebagai pintu masuk ke rangkaian pulau indah kepada pelancong.

Selain dikurniakan keindahan pulau dan pantai bersih, Mersing mempunyai tarikan lain kerana pernah dijadikan pangkalan Tentera Diraja British, sekitar 1940-an, sekali gus menyimpan sejarah penting Perang Dunia Kedua.

Penolong Pegawai Tadbir Muzium Mersing, Murnira Mastar, berkata Battle of Endau yang berlaku selama dua hari, menyaksikan peristiwa pertempuran sengit antara tentera Jepun dengan tentera Berikat diketuai British di perairan Endau, bermula awal pagi 26 Januari 1942, iaitu kira-kira 38 Kilometer dari sini.

Menariknya, kisah peperangan Battle Of Endau yang berlaku hampir 80 tahun di Tanah Melayu ketika itu, disingkap kembali Muzium Mersing melalui pameran khazanah artifak dan bahan sejarah dikumpul dan dikaji Yayasan Warisan Johor (YWJ).

"Pengunjung ke Muzium Mersing kini berpeluang menyelami sendiri kisah Battle of Endau, selain boleh melihat artifak koleksi sezaman dengan peperangan itu seperti enjin pesawat, senjata, radio komunikasi, kamera, basikal dan dokumen persuratan ditulis pada era 1940-an dan 1960-an," katanya kepada BERNAMA, baru-baru ini.

Muzium Mersing yang terletak di Jalan Ibrahim di sini, mula beroperasi pada 2016 dan dirasmikan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar pada 15 Mei 2016, bersempena Program Kembara Mahkota Johor.

Dibina pada 1920-an, bangunan setingkat ini asalnya digunakan sebagai pejabat pentadbiran Mersing yang kemudiannya dipercayai menjadi markas operasi Tentera Imperialis Jepun semasa Perang Dunia Kedua hingga Jepun menyerah kalah pada 1945.

Selepas kekalahan Jepun, bangunan ini beroperasi semula sebagai pejabat kerajaan bagi Mersing sebelum diubah suai menjadi muzium di bawah seliaan YWJ.

Menurut Murnira, terdapat tiga bahagian pameran di muzium berkenaan, iaitu pentadbiran sosioekonomi, Battle of Endau dan pameran khas yang akan diadakan secara bermusim, iaitu enam bulan sekali.

"Ruangan Perang Dunia Kedua di muzium ini, antara yang istimewa memandangkan banyak peristiwa besar dipercayai berlaku ketika itu di Johor dan artifaknya dipamerkan di sini," katanya.

Menyingkap ringkas sejarah pertempuran Battle of Endau, Murnira berkata, pasukan Tentera Laut Diraja British menghantar dua kapal terbang pemusnah ke Endau bagi menyerang dan memusnahkan kapal kargo tentera Jepun yang berlabuh di pantai Endau dipercayai cuba menurunkan anggota tentera mereka.

"Pendaratan amfibia di perairan Endau yang dirancang tentera Jepun bertujuan merosakkan jaringan komunikasi antara British di Johor dengan Singapura.

"Sebelum itu, konvoi tentera Jepun dikesan dua kapal peninjau Tentera Berikat pada awal pagi 26 Januari, namun berita berkenaan lambat disampaikan ke Singapura, akibat masalah komunikasi," katanya.

Peperangan bermula pada petang 26 Januari apabila Tentera Berikat menghantar pasukan dari Singapura ke Mersing dengan dilindungi pesawat pejuang British membabitkan 12 pesawat pejuang jenis Brewster F2A Buffalo dan sembilan pejuang Hawker Hurricane.

Bagaimanapun, tanpa diketahui pihak Berikat, tentera Jepun diiringi pesawat tempur Nakajima Ki-27 daripada Skuadron Udara Jepun pertama (1st Sentai) dan Ke 11 (11th Sentai) terlebih dahulu mendarat di Endau beberapa jam sebelum ketibaan British.

Serangan demi serangan menerusi udara dan laut dilancarkan Tentera Berikat bagi mengekang kemaraan Jepun di Tanah Melayu, bagaimanapun tidak dapat mematahkan pencerobohan Jepun yang akhirnya berjaya menawan Mersing pada awal pagi 27 Januari 1942.

Masuk adalah percuma dan beroperasi setiap hari kecuali Jumaat, bermula 9.30 pagi hingga 4 petang, manakala Khamis hingga 3 petang.

TAGS: Muzium Mersing, Battle of Endau, artifak, Endau, Tentera Berikat, Jepun, Perang Dunia Kedua.

Berita Harian X