Selasa, 23 Jun 2020 | 10:48am
Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Dr Awang Sariyan. - Foto NSTP
Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Dr Awang Sariyan. - Foto NSTP

Tak wajar masih ada warganegara belum kuasai bahasa Melayu

TIDAK wajar sekiranya masih ada warganegara yang tidak mampu menguasai bahasa Melayu kerana kedudukannya termaktub dalam Perlembagaan dan pelbagai usaha pembudayaan bahasa itu dilakukan.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Dr Awang Sariyan, berkata penguatkuasaan mungkin perlu dilaksanakan seperti ujian kelayakan kecekapan bahasa bagi mendorong rakyat menguasainya dengan pemahaman serta keupayaan mengucapkannya dalam bahasa rasmi itu.

Awang mengakui pembudayaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dalam masyarakat di negara ini berdepan cabaran hebat sekiranya usaha penguatkuasaan terhadap penggunaan bahasa kebangsaan itu tidak dilakukan.

Katanya, aspek penguatkuasaan penting bagi memelihara martabat serta pengukuhan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kerana amat berkait rapat dengan jati diri sesebuah negara.

Awang berkata pembudayaan bahasa kebangsaan dengan hanya secara pendekatan 'dakwah' melalui gerakan 'menegur dan menasihati' seperti diperuntukkan dalam Akta DBP 1959 ketika ini, perlu diubah agar institusi itu mempunyai 'punca kuasa' mengambil tindakan terhadap pihak tidak menghormati bahasa kebangsaan.

"Dalam konteks negara ini, kita harus faham walaupun namanya bahasa Melayu, ia bukanlah untuk keturunan Melayu semata-mata, sebaliknya sudah diangkat menjadi bahasa negara rasmi.

"Semua warganegara tidak kira bangsa Cina, India, Kadazan, Murut, orang Sungai, Orang Asal dan sebagainya harus melihat bahasa Melayu itu sebagai milik bersama," katanya selepas merasmikan Majlis Ulang Tahun DBP ke-64 di Menara DBP, Kuala Lumpur, semalam.

Akta Dewan Bahasa dan Pusataka (DBP) 1959 perlu dipinda bagi memperkasa dan memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. - Foto fail NSTP
Akta Dewan Bahasa dan Pusataka (DBP) 1959 perlu dipinda bagi memperkasa dan memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. - Foto fail NSTP

Awang berkata, Perlembagaan Persekutuan membuka ruang besar untuk penggunaan dan pembelajaran bahasa lain tetapi dalam segala urusan, bahasa Melayu wajib digunakan kerana ia bahasa utama termaktub dalam Perlembagaan.

"DBP perlu dihormati sebagai benteng peradaban negara. Untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya digunakan secara meluas, dalam segala maksud mengikut undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

"Bahasa Melayu belum betul-betul diangkat sebagai bahasa cerminan jati diri negara dalam majlis rasmi, mesyuarat dan pelbagai acara lain jika ekabahasa (pelbagai bahasa) menjadi keselesaan, selain membuktikan pembudayaan bahasa negara belum utuh," katanya.

Awang berkata, bahasa Melayu perlu diangkat dalam semua ranah kehidupan seperti pentadbiran, pendidikan, undang-undang dan media am dengan penguatkuasaan bahasa secara berterusan.

Beliau berkata, dengan itu, salah faham bahasa Melayu hanya milik orang Melayu akan dapat diatasi dan akhirnya terhapus.

Beliau berkata, DBP melaksanakan perancangan bahasa lebih enam dekad khususnya dalam bidang pembinaan dan pengembangan, selepas bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan, rasmi, undang-undang, ilmu dan pendidikan serta bahasa bagi semua bidang peradaban negara.

Awang berkata, draf pindaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang memberi kuasa DBP menguatkuasakan undang-undang berkaitan penggunaan Bahasa Melayu itu dijangka akan dibawa ke Kabinet untuk kelulusan seterusnya dibentangkan di Parlimen. – BERNAMA

Berita Harian X