Rabu, 26 Jun 2019 | 1:31pm
Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik (dua kanan) merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun DBP ke-63 dan Pendigitalan Majalah DBP, di Balai Budaya Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli
Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik (dua kanan) merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun DBP ke-63 dan Pendigitalan Majalah DBP, di Balai Budaya Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli

DBP perlu dijenama semula, kekal relevan

KUALA LUMPUR: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu melaksanakan pembaharuan dengan kadar segera untuk memastikan institusi bahasa dan budaya yang paling diiktiraf di Malaysia itu kekal relevan dan berdaya saing dalam mendepani Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata DBP perlu melakukan penjenamaan semula untuk kekal diiktiraf sebagai satu-satunya badan pengawal dan pusat rujukan berautoriti dalam segala hal ehwal yang berkaitan dengan penggunaan bahasa kebangsaan.

Maszlee berkata, ia merangkumi semua urusan dan dokuman rasmi serta penerbitan yang dilaksanakan kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara.

“Di atas dasar inilah, penjenamaan semula DBP adalah mustahak dan perlu dijelmakan segera selaras dengan sejarah baharu Malaysia yang tercipta sejak 9 Mei 2018 yang lalu. Adalah suatu ‘keharaman’ jika Malaysia sudah berubah, tetapi DBP masih selesa di tempat sama.

“Selain itu warga kerja DBP bermula dari peringkat atas sehingga bawah, perlu mengalami perubahan minda dan mempunyai roh perjuangan. Kita tidak boleh lagi melihat kewujudan DBP hanya sekadar untuk mencari rezeki yang halal semata-mata kerana mereka (kakitangan DBP) ialah wira harapan untuk memastikan bahasa Melayu dan citra kemelayuan tetap utuh dan relevan sepanjang zaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-63 dan pelancaran penerbitan digital DBP di sini, baru-baru ini. Yang turut hadir, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, DBP juga perlu melaksanakan pelbagai inovasi sesegera mungkin untuk mengangkat darjat dan martabat institusi itu supaya dapat memainkan peranan yang lebih besar dan signifikan dalam menyebarluaskan bahasa dan persuratan Melayu pada peringkat antarabangsa, sekali gus dilihat setanding badan ternama seperti British Council dan Goethe Institute.

Pergiat penerbitan buku

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - Foto Zulfadhli Zulkifli
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - Foto Zulfadhli Zulkifli

“Malah, DBP juga akan memperkasakan dan mempergiat penerbitan buku dalam bidang sains dan teknologi sesuai dengan hasrat kerajaan dan selari dengan aspirasi negara untuk melahirkan bangsa Malaysia yang berilmu, berpengetahuan tinggi, berdaya maju serta berdaya saing pada peringkat antarabangsa.

“Kita juga berharap institusi ini akan lebih rancak dan bijak bersinergi dengan pelbagai agensi kerajaan mahupun swasta bagi mengimarahkan literasi budaya pada semua peringkat masyarakat khususnya melalui gerakan Dekad Membaca Kebangsaan.

“Sememangnya menjadi hasrat kerajaan untuk melihat masyarakat Malaysia menjelang 2030 muncul sebagai masyarakat yang tinggi literasi budayanya, berilmu pengetahuan dan menghargai ilmu kerana kita mahu menjadi Negara Membaca 2030,” katanya.

Dalam pada itu, Maszlee berkata, DBP sudah mengorak langkah lebih proaktif dengan mengusahakan penerbitan digital sebagai satu daripada produk utama yang mana semua pihak boleh mendapatkan karya DBP dalam bentuk e-buku di pelbagai platform terutama di platform Google Playbook dan E-Sentral.

“Hal ini penting untuk memastikan kelestarian DBP biarpun zaman berubah dan bertukar generasi dan kita yakin kejayaan ini bukanlah satu khayalan tetapi realiti. Selain pendigitalan hampir 12,000 buku dan semua majalah terbitan DBP, kita juga harus bergerak agresif memanfaatkan teknologi baharu seperti audiobooks, AI, AR, Buku Interaktif, Virtual Reality dan sebagainya.

Perlu ada ‘Generasi Ledakan’

“Ini kerana pada masa hadapan buku mempunyai citra dan dinamiknya sendiri dan kita mesti sentiasa adaptif serta bersedia untuk meledak merentasi zaman. Malah, kita perlu mempunyai ‘Generasi Ledakan’ (The Boom Generation) yang mampu menjangkaui keilmuan global.

“Malah, saya percaya dengan ledakan teknologi baharu yang deras hari ini kita mampu memasarkan kekuatan sastera kita ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Maszlee berkata, adalah menjadi hasrat semua pihak untuk memastikan karya Bahasa Melayu yang diterbitkan DBP berlabuh di rak perpustakaan terkemuka dunia, selain memastikan sebarang penerbitan ilmiah dari universiti tempatan dalam Bahasa Melayu mencapai standard bahasa yang membanggakan untuk diwariskan kepada generasi mendatang.

Sementara itu, Abang Sallehuddin berkata, genap 63 tahun kewujudan DBP, organisasi itu komited memikul tanggungjawab menjaga kedaulatan bahasa dan memikul amanah yang diberikan termasuk melaksanakan pelbagai pendekatan baharu seperti yang disarankan kerajaan.

“Baru-baru ini, Lembaga Pengelola DBP bersetuju supaya Akta DBP dipinda bagi membolehkan kita bergerak secara berkesan di peringkat antarabangsa selain mencadangkan kepada kerajaan dari segi penguatkuasaan serta membenarkan DBP untuk menubuhkan syarikat.

“Dari aspek pendigitalan pula, DBP buat pertama kalinya menerbitkan 11 majalah dalam bentuk digital. Bagaimanapun, DBP sebenarnya sudah mula mendigitalkan bahan penerbitan termasuklah manuskrip. Ketika ini 40 daripada 400 manuskrip yang ada dalam simpanan DBP sudah didigitalkan serta dapat diakses melalui mymanuskrip yang mana ia membabitkan usahasama dengan Universiti Malaya (UM),” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang berusaha untuk menjadikan DBP sebagai organisasi digital seperti mana yang diharapkan Kementerian Pendidikan termasuk memberi tumpuan dalam aspek pembelajaran maya.

“Menerusi pembelajaran maya ia sekali gus memberi ruang kepada pelajar, bukan sahaja yang berada di dalam negara tetapi peringkat antarabangsa untuk mempelajari bahasa Melayu secara mudah. Malah, DBP juga tidak lupa memberi penekanan kepada bahan-bahan penerbitan digital interaktif yang sesuai untuk kegunaan golongan orang kurang upaya (OKU).

“Malah, kita akan memperkemaskan jalinan kerjasama dengan univeristi, sekolah, Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej Komuniti dan Politeknik,” katanya.

Berita Harian X