Khamis, 21 March 2019 | 8:33pm
Novel Seorang Tua di Kaki Gunung karya Azizi Haji Abdullah dicetak semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). - Foto NSTP
Novel Seorang Tua di Kaki Gunung karya Azizi Haji Abdullah dicetak semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). - Foto NSTP

Novel Seorang Tua di Kaki Gunung dicetak semula

KUALA LUMPUR: Karya pengarang terkenal, Azizi Haji Abdullah, Seorang Tua di Kaki Gunung dicetak semula selepas pertama kali diterbitkan pada 1982.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran, berkata kecemerlangan karya itu mendorong pihaknya menerbitkan semula judul itu dalam usaha menobatkan lebih banyak karya tempatan yang baik ke peringkat antarabangsa.

“Pada masa akan datang, lebih banyak novel yang akan diterbitkan semula oleh DBP sebagai komitmen mengangkat karya tempatan bermutu tinggi.

“Ini bukan sahaja usaha memartabatkan bahasa dan sastera, bahkan DBP percaya industri buku amat signifikan kepada kemajuan dan pertumbuhan bangsa serta negara,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Abang Sallehuddin berkata, pemartabatan sastera membantu pembentukan masyarakat Malaysia yang penuh sifat kemanusiaan dan kasih sayang.

“Ia juga membentuk peradaban ummah yang unggul, apatah lagi generasi milenial hari ini semakin tandus dengan nilai jati diri,” katanya.

Beliau berkata, DBP sejak dulu menerbitkan karya sastera bermutu malah menjadi perintis dalam dunia penerbitan buku di negara ini.

“Ia bertolak daripada penggubalan Akta DBP 1959 (Pindaan 1978) yang memperuntukkan mandat kepada DBP untuk mencetak, menerbitkan atau membantu usaha percetakan dan penerbitan buku serta novel,” katanya.

Seorang Tua di Kaki Gunung kerap diulang cetak sepanjang dekad 1980-an, selain pernah dijadikan teks wajib baca pelajar Tingkatan Lima aliran sastera pada 1982.

Naskhah itu yang mendapat tempat kedua dalam Sayembara Hadiah Novel GAPENA-Yayasan Sabah II (1981) dan diadaptasi kepada drama televisyen dengan menggunakan tajuk sama sekitar 1990-an.

Ia juga diangkat sebagai antara novel Malaysia Pilihan Abad Ke-20 dan diterjemahkan ke bahasa Jepun oleh Dr Fujimorial dan Tahiyibah Sulaiman.

Azizi yang juga penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 1988 meninggal dunia pada 2011 pada usia 69 tahun.

Berita Harian X