Isnin, 24 Disember 2018 | 1:39pm
Penjajah Inggeris menuduh orang Melayu sebagai pemalas selepas bangsa itu tidak berminat terbabit dalam perlombongan yang ketika itu kebajikan buruh dari China dan India terabai. Gambar hiasan. - Foto Eizairi Shamsudin

Ulang tuduhan Melayu malas, bukti minda terjajah

BANGI: Mengulang kenyataan orang Melayu malas sebenarnya membayangkan minda yang tertawan selain terperangkap dengan ideologi penjajah dengan idea kapitalisme.

Kenyataan itu tidak lagi boleh dilihat sebagai ‘reverse psychology,’ sebaliknya membuatkan orang Melayu mengambil sikap memusuhi. Malah, ia membolehkan pihak lain mengambil kesempatan untuk terus menekan orang Melayu.

Kesimpulan itu boleh dibuat pada Siri Wacana Cendekiawan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) berjudul Mitos Melayu Malas: Penilaian Semula Pemikiran Syed Hussein Alatas dan Realiti Hari Ini di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.

Wacana itu menampilkan Timbalan Naib Presiden (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaya (UM), Prof Dr Mohd Hazim Shah Abdul Murad; Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) UKM; Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin; Sekretariat Majlis Profesor Negara, Prof Dr Kamaruddin M Said dan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad.

Acara yang dikendalikan Pengarah ATMA UKM, Prof Dr Supyan Hussin itu, bertujuan menangkis kenyataan sebahagian ahli politik yang kembali mengungkapkan kenyataan Melayu malas selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRK-14) Mei lalu.

Shamsul Amri yang tampil sebagai panel pertama berkata, sifat malas itu bukan sepenuhnya milik Melayu tetapi ia ada dalam setiap manusia tetapi pelabelan Melayu malas dibuat oleh penjajah dan sehingga kini masih menjadi modal sesetengah ahli politik.

BANGI 07 DISEMBER 2018. Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharudin berucap pada Program Siri Wacana Cendekiawan ATMA Mitos Melayu Malas Penilaian Semula Pemikiran Syed Hussein Alatas & Realiti Hari Ini di Bangunan Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. NSTP/AZHAR RAMLI

“Jangan mengeruhkan lagi keadaan sedia ada. Apakah dengan mengeluarkan kenyataan sedemikian, orang Melayu akan menyahut cabaran?

“Ia sebenarnya menjejaskan imej orang Melayu sendiri dan kemudiannya diambil kesempatan oleh pihak lain.

“Ini penjenamaan yang buruk kepada orang Melayu walaupun bersungguh manapun orang Melayu mahu membuktikan sebaliknya,” katanya.

Tambah Shamsul Amri, apabila kenyataan Melayu malas itu keluar daripada mulut ahli politik, ia bukan lagi kaedah psikologi terbaik kerana zaman sudah berubah.

“Ia menyakitkan terutama jika kita benar-benar memahami falsafah di sebalik The Lazy Native yang dibentangkan oleh sosiologis dan sarjana terkemuka Syed Hussein Alatas,” katanya.

BANGI 07 DISEMBER 2018. Universiti Utara Malaysia, Prof Dr. Mohd Hazim Shah Abdul Murad berucap pada Program Siri Wacana Cendekiawan ATMA Mitos Melayu Malas Penilaian Semula Pemikiran Syed Hussein Alatas & Realiti Hari Ini di Bangunan Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. NSTP/AZHAR RAMLI

Pandangan itu turut dipersetujui Mohd Hazim Shah yang menyifatkan orang Barat selalu merasakan mereka lebih unggul berbanding bangsa lain termasuk dalam persoalan budaya dan ilmu tempatan.

“Ketika negara kita dijajah, mereka membawa masuk banyak tenaga buruh dari China dan India selari dengan perkembangan revolusi industri yang menyebabkan keperluan tenaga kerja meningkat.

“Penjajah Inggeris juga mahukan penyertaan orang Melayu dalam bidang industri tetapi dengan keadaan kebajikan buruh China dan India yang terabai mereka tidak berminat dan lebih selesa dengan sumber pertanian dan bekerja sebagai nelayan.

“Hal ini menyebabkan orang Inggeris menyebut Melayu malas,” katanya.

Tambah Mohd Hazim, idea kapitalisme kolonial itu terus digembar-gemburkan hingga kini terus diperkatakan dalam bidang akademik oleh sarjana Barat.

BANGI 07 DISEMBER 2018. Sebahagian orang ramai yang hadir pada Program Siri Wacana Cendekiawan ATMA Mitos Melayu Malas Penilaian Semula Pemikiran Syed Hussein Alatas & Realiti Hari Ini di Bangunan Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. NSTP/AZHAR RAMLI

Terdahulu, Supyan semasa mempengerusikan wacana itu menyebut Syed Hussein mula menimbulkan persoalan mengenai penjajahan minda oleh Barat membabitkan tuduhan Melayu malas sejak 1966.

Kajian beliau yang mengkaji perlakuan penduduk pribumi di Asia Tenggara termasuk orang Melayu dan Jawa itu diterbitkan pada 1977 dengan tajuk The Myth of the Lazy Native.

Berita Harian X