X
Rabu, 19 Disember 2018 | 11:54am
Penulis, Ahmad Patria Abdullah pada bual bicara Wacana Merah Saga di Dewan Bahasa dan Pustaka. - Foto Rohanis Shukri
Penulis, Ahmad Patria Abdullah pada bual bicara Wacana Merah Saga di Dewan Bahasa dan Pustaka. - Foto Rohanis Shukri

Penulis kena berani hasil karya kelas antarabangsa

Kuala Lumpur: Penulis genre fantasi dan fiksyen sains perlu bijak serta berani dalam menghasilkan karya sastera lebih bermutu, setanding antarabangsa.

Penulis, Ahmad Patria Abdullah, berkata ketidaksuburan genre fantasi dan fiksyen sains dalam konteks sastera tempatan, berpunca daripada penulis yang menghasilkan karya tidak setanding antarabangsa.

Raih minat pembaca

“Penulis perlu sedar bahawa karya yang dihasilkan, pasti bersaing dengan karya antarabangsa dalam meraih minat pembaca.

“Karya fantasi dan fiksyen sains tempatan yang tidak mencapai tahap seperti hasil karya antarabangsa, akan membuat pembaca beralih serta hanya tertumpu kepada karya dari negara luar sahaja.

“Saya bukanlah hendak merendahkan mutu dan bakat penulis tempatan, namun mereka perlu banyak belajar cara penerapan, teori dan penggunaan bahasa untuk menghasilkan karya bermutu setanding karya antarabangsa,” katanya dalam sesi wacana Merah Saga: Keberadaan Fantasi Dan Fiksyen Sains di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Tambah beliau, penulis juga perlu melakukan perubahan dalam cara penulisan bagi meraih minat pembaca kerana zaman ini adalah dunia ‘telefon pintar,’ yang mana pembaca tidak mempunyai kesabaran dalam mengikuti karya seperti dulu.

Ahmad Patria juga menegaskan, penulis perlu belajar menggunakan bahasa Melayu standard dalam setiap karya mereka.

“Karya yang bagus dan berkesan apabila penulisan itu membuatkan pembaca merasai dan menjiwai setiap helaian muka surat sehingga mengalirkan air mata, sebab itu bahasa penting dalam setiap karya.

“Penulis juga perlu belajar menggunakan bahasa Melayu standard dalam menghasilkan dialog,” katanya.

Utama kualiti penulisan

Mengupas mengenai isu klise dalam setiap karya yang dihasilkan, Ahmad Patria berkata, penulis perlu mementingkan kualiti dan ketelitian dalam karya yang dihasilkan.

“Sebagai seorang penulis, kita perlu mempunyai nilai tersendiri yang ingin disampaikan dalam setiap hasil karya, jadi janganlah tertumpu atau terikut dengan karya penulis lain,” katanya.

Sementara itu, bagi penulis, Sri Rahayu Mohd Yusop, karya fantasi dan fiksyen sains turut bersaing dengan karya filem.

“Tugas penulis semakin sukar apabila perlu bersaing dengan filem fantasi dan fiksyen sains, yang sememangnya cukup hebat dari segi audio dan visual dalam menyampaikan cerita, jika dibandingkan dengan penulisan yang hanya berbekalkan pen dan kertas.

“Jadi penulis perlu konsisten menghasilkan karya untuk bersaing dengan pelbagai media, kerana penerbit hanya menyokong penulis dengan adanya manuskrip,” katanya.

Beliau berkata, tidak menjadi masalah bagi penulis mendapatkan idea daripada karya sebelum ini, tetapi penulis perlu kreatif dalam penghasilan karya baharu.

“Bagi penulis, untuk lari dari pengaruh cerita lama itu bukan mudah, kerana pembaca sudah tahu akan tradisi genre fantasi ini.

“Penulis perlu bijak melahirkan perbezaan dalam cara penyampaian sesebuah karya,” katanya.

Berita Harian X