Isnin, 3 Disember 2018 | 1:46pm
Peta Iceland - Ihsan Pixabay
Peta Iceland - Ihsan Pixabay

Polemik tsunami bahasa Inggeris landa Iceland

REYKJAVIK: Dua abad lalu, pakar meramalkan bahasa Iceland akan pupus pada masa ini tetapi tukang ramal terpaksa menjilat ludah kembali.

Bahasa Iceland terus hidup dan berjuang di sebalik gelombang bahasa Inggeris yang dibawa oleh teknologi moden.

Kini dituturkan oleh 350,000 penduduk kepulauan Atlantik Utara, bahasa Iceland berulang kali diancam sepanjang masa - bermula migrasi, pencerobohan oleh Norway dan Denmark antara kurun ke-16 hingga awal abad ke-20 serta Revolusi Industri.

Bagaimanapun, bahasa itu selalu terselamat dengan tulisannya mengalami sedikit perubahan sejak abad ke-11.

Dengan hanya sedikit tekaan, rakyat Iceland boleh membaca Saga Iceland, karya agung sastera abad pertengahan yang ditulis dalam Norse Lama pada abad ke-13 dan 14.

Namun penggunaan bahasa Inggeris melonjak di Iceland beberapa dekad mutakhir - seperti di seluruh dunia - berikutan dominasi budaya pop Amerika dan penggunaan teknologi moden umpamanya internet, YouTube dan telefon pintar yang berlaku dengan pentas.

Pengunjung ke ibu kota Reykjavik hanya perlu bertanya arah kepada penduduk tempatan untuk menyedari Iceland ialah negara dwibahasa.

Bagi generasi muda di sini, bercakap dalam bahasa Inggeris menjadi keperluan.

“Saya perlu boleh membaca dalam bahasa Inggeris kerana ia ada di mana-mana dan sejagat,” kata Sigthor Elias Smith, 11 dalam bahasa Iceland.

Di negara ini, orang ramai umumnya menonton video dan bermain permainan komputer di komputer riba, tablet dan telefon pintar dalam bahasa Inggeris. Seperti negara Nordic yang lain, alih bahasa hampir tidak wujud.

Justeru, bahasa Iceland hampir tidak menjelma lewat dunia dalam talian.

“Saya banyak menonton YouTube dan belajar bahasa Inggeris melalui media sosial itu, selain Netflix,” kata Eva Bjork Angarita, 12.

Di tengah-tengah kebimbangan bahasa Inggeris terlalu meluas, Iceland mengambil beberapa langkah untuk mempromosi bahasa ibundanya.

Pada 1996, kerajaan menetapkan 16 November sebagai Hari Bahasa Iceland bertujuan menarik perhatian kepada sumbangan bahasa itu terhadap identiti dan budaya kebangsaan.

Pada 2011, undang-undang baharu mengiktiraf bahasa Iceland sebagai bahasa rasmi negara.

Menteri Pendidikan, Budaya dan Sains, Lilja Alfredsdottir mengumumkan sebanyak 25 peratus daripada jumlah perbelanjaan penerbitan buku yang dibuat oleh pengarang atau editor akan dibayar balik dalam usaha untuk meningkatkan kepelbagaian buku di Iceland.

Bagi mengatasi dominasi bahasa Inggeris dalam teknologi, Alfredsdottir turut memperuntukkan 2.4 bilion kronur (RM82.8 juta) untuk membina perkhidmatan pengenalan suara versi Iceland untuk pembantu peribadi maya seperti Siri, Apple dan Alexa, Amazon.

Guru Bahasa Iceland Sigthor dan Eva, Solveig Reynisdottir, antara yang bimbang terhadap pencampuran bahasa.

Beliau bimbang kanak-kanak yang terdedah kepada tsunami bahasa Inggeris dalam talian, akan terjejas perbendaharaan kata dalam bahasa Iceland.

“Kanak-kanak kadang-kala kekurangan perkataan kerana banyak kalimah yang mereka tidak pernah dengar.

“Perubahan teknologi ialah cabaran sebenar,” katanya.

Kebimbangan itu diakui oleh profesor dan ahli linguistik Universiti Iceland, Eirikur Rognvaldsson.

Beliau mengakui meluasnya penggunaan berbahasa Inggeris tidak hanya berlaku di Iceland tetapi menegaskan berbeza dengan negara lain, generasi mudanya memilih untuk menetap di luar negara.

“Orang muda di Iceland tidak semestinya melihat Iceland sebagai rumah mereka pada masa depan.

“Mereka mahu belajar dan menetap di luar negara. Kelihatannya hubungan mereka dengan negara dan bahasa mereka tidak sekuat dulu,” katanya.

Kajian Forbes pada 2016 menunjukkan 11.4 peratus daripada rakyat Iceland tinggal di luar negara, sekali gus berada pada kedudukan keenam negara Organisasi untuk Kerja Sama Pembangunan Ekonomi (OECD) yang memiliki rakyat menetap di negara lain.

Bagaimanapun, ada pihak pula menganggap ketakutan itu tidak berasas.

Penduduk Iceland ialah pengarang yang prolifik. Sebanyak 1,600 buku diterbitkan secara bercetak setiap tahun berdasarkan Perpustakaan Negara dan Universiti Iceland. Ia lebih tiga kali perkapita berbanding Perancis.

Penyelidik di Arni Magnusson Institute for Icelandic Studies, Ari Pall Kristinsson, berkata rakyat

Iceland tidak sepatutnya bimbang terhadap beberapa tanda amaran.

“Kehidupan budaya di Iceland sangat dinamik pada masa kini,” katanya.

Dan wajar untuk dicatatkan bahawa bahasa Inggeris mungkin mendapat perhatian dari sudut percakapan tetapi ia tidak menembusi kamus bahasa Iceland.

Walaupun bahasa pinjaman dan slanga daripada bahasa Inggeris menyusup ke bahasa lain, bahasa Iceland kekal sebagai antara bahasa murni di dunia.

Jawatankuasa Bahasa Iceland melihat hal itu. Ia mengawal ketat bahasa berkenaan, bekerja dengan cermat untuk mencipta istilah baharu dengan akar bahasa Iceland sekiranya diperlukan.

Bagi komputer, ia mencipta istilah tolva: gabungan daripada tala (nombor) dan volva (peramal) untuk mencipta bahasa puitis ‘peramal nombor.’

Pengerusi Jawatankuasa Bahasa Iceland, Gudrun Kvaran, berkata beliau tidak fikir bahasa itu akan hilang.

“Dua abad lalu, pakar bahasa Denmark yang terkenal meramalkan bahasa Iceland akan mati dalam tempoh 200 tahun.

“Namun, kami masih lagi bercakap dalam bahasa Iceland hari ini,” katanya. - AFP

Berita Harian X