Sabtu, 24 November 2018 | 2:20pm
Presiden, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad. - Foto Khairul Azhar Ahmad
Presiden, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Dr Mohamad Saleeh kekal Presiden PENA

KUALA LUMPUR: Menang tanpa bertanding, Dr Mohamad Saleeh Rahamad mengekalkan jawatan presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) bagi tempoh lima penggal berturut-turut pada Mesyuarat Agung Tahunan PENA Ke-55, di sini, sebentar tadi.

Selain Dr Mohamad Saleeh,  turut mengekalkan jawatan bagi penggal 2018 hingga 2020 termasuk Dr Mohd Hanafi Ibrahim selaku Timbalan Presiden, Saifullizan Yahaya (Setiausaha Agung), Dr Hani Salwah Yaakup (Timbalan Setiausaha) dan Dr Shamsudin Othman (Bendahari).

Manakala ahli jawatankuasa PENA yang terpilih dalam mesyuarat berkenaan termasuk muka baharu, bekas Pengarah Urusan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron.

Ahli jawatankuasa yang mengekalkan kedudukan termasuk Dr Norhayati Abd Rahman, Azalan Hussain, Muhammad Lutfi Ishak, Zaifulnizam Wagiran dan Mohd Rozlan Mohamed Noor.

Mesyuarat Agung yang dihadiri lebih 70 ahli PENA itu disempurnakan Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan.

Sementara itu, Mohamad Saleeh, dalam ucapannya, berkata terdapat pelbagai percubaan untuk menggugat kedudukan istimewa bahasa Melayu walaupun ia jelas termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Suasana kini semakin kacau apabila jumlah orang yang berkuasa untuk mencabar legitimasi  bahasa Melayu bertambah banyak.

"Kedudukan bahasa Melayu sering dijadikan sasaran serangan politik atas alasan yang direka-reka.

"Percubaan ini datang dengan pelbagai kaedah, terbaru mereka cuba membawa idea supaya Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) diratifikasi oleh kerajaan," katanya.

Tambahnya, tanpa ICERD sekalipun, bahasa Melayu semakin terancam kerana dihimpit oleh permainan politik perkauman dan dominasi komersialisme.

Justeru, beliau berkata PENA sentiasa tegas khususnya menyuarakan bantahan selain mengharapkan penulis turut merangka pelan tindakan strategik untuk memastikan dunia sastera tidak jumud.

Berita Harian X