Jumaat, 7 September 2018 | 3:53pm
PENGARAH Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Prof Dr Supyan Hussin. - Foto Surianie Mohd Hanif
PENGARAH Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Prof Dr Supyan Hussin. - Foto Surianie Mohd Hanif

16 pangkalan data ATMA rujukan pengajian Melayu

KUALA LUMPUR: Sebanyak 16 pangkalan data besar disediakan di laman web Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai rujukan penyelidik serta sarjana dalam bidang pengajian Alam Melayu.

Pengarah ATMA, Prof Dr Supyan Hussin, berkata pihaknya giat mempertingkatkan kandungan portal www.malaycivilization.com.my untuk memastikannya menjadi pusat rujukan sehenti utama bagi pengajian Alam Melayu.

Supyan berkata, sehingga kini portal yang dibangunkan dan diselenggara ATMA itu, boleh digunakan untuk membantu bukan hanya penyelidik dan sarjana, bahkan orang awam serta pemain industri kreatif untuk menjalankan penyelidikan mengenai alam dan tamadun Melayu.

“ATMA menyahut cabaran menyediakan sistem pencarian maklumat yang berupaya memenuhi kehendak dan keperluan dalam bidang pengajian Alam Melayu di negara ini.

“Portal ini ialah data raya mega yang menghimpunkan pangkalan maklumat khusus dengan matlamat membantu penyelidik dan sarjana menjalankan penyelidikan mengenai Alam dan Tamadun Melayu.

“Portal ini juga boleh digunakan oleh orang awam yang berminat untuk mengetahui mengenai akal budaya Melayu yang dimanifestasikan dalam falsafah, pemikiran, emosi, pelakuan dan gaya hidup masyarakat Alam Melayu,” katanya kepada BH di sini, hari ini.

Supyan berkata, antara pangkalan data utama ialah PADAT yang memiliki lebih 50,000 koleksi makalah mengenai pengajian Alam Melayu.

“Selain itu, terdapat juga data Peribahasa Melayu dengan lebih 20,000 entri yang boleh digunakan bagi mencari peribahasa, simpulan bahasa atau pepatah yang kebanyakannya sudah dilupakan susunan kata-katanya,” katanya.

Selain PADAT dan Peribahasa Melayu, turut disediakan melalui portal berkenaan ialah maklumat berkaitan Koleksi Karya Jawi, Kamus Suku Kata Akhir Melayu, Adat Perpatih dan 1 Juta Pantun.

Supyan berkata, ATMA juga akan memulakan pangkalan data mengenai Persenjataan Melayu dan pada ketika ini usaha giat dijalankan bagi mendapatkan sebanyak mungkin makalah mengenai keris dan bedil.

“Ini adalah cabang baharu dalam portal ini dan ATMA akan terus giat melakukan usaha mengumpul seberapa banyak maklumat bagi memastikan portal ini dapat menjadi rujukan utama berkaitan Alam Melayu.

“Sejak pangkalan data mega ini didirikan oleh ATMA pada tahun 2000, ia sudah dikunjungi lebih lima juta pelayar bukan saja sarjana malah orang awam termasuk mereka yang terbabit dengan industri kreatif seperti pembuat filem,” katanya.

Berita Harian X