Selasa, 4 September 2018 | 2:58pm
DARI kiri, Prof Datuk Dr Awang Sariyan; Felo Tamu ATMA, Zhang Xian (tengah) dan Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.
DARI kiri, Prof Datuk Dr Awang Sariyan; Felo Tamu ATMA, Zhang Xian (tengah) dan Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Rakyat China lebih tunjuk minat kuasai bahasa Melayu

BANGI: Isu penguasaan bahasa Melayu yang masih rendah dalam kalangan masyarakat bukan Melayu di negara ini berpunca daripada kelemahan dalam menjiwai semangat bahasa kebangsaan itu sendiri.

Pensyarah Institut Penyelidikan Produk & Ketamadunan Melayu Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, ketika melihat isu itu cuba membandingkan situasi penguasaan bahasa Melayu oleh masyarakat Cina di China dan di negara ini.

Mohd Ridhuan berkata, penguasaan bahasa Melayu oleh masyarakat Cina di republik yang mempunyai jumlah penduduk terbesar di dunia itu sangat baik dan sebahagiannya digerakkan melalui usaha kerajaan termasuk melalui Beijing Foreign Studies University (BFSU), China.

Bagaimanapun di negara ini kata Mohd Ridhuan, minat dan tarikan terhadap bahasa Melayu tidak diterapkan sejak awal menyebabkan masih ramai tidak mampu berbahasa Melayu dengan baik meskipun negara sudah merdeka lebih 61 tahun.

“Saya mempunyai kenalan dari China yang berkahwin dengan rakyat di negara ini dan beliau sendiri melihat bagaimana kemudahan belajar bahasa Cina di negara ini lebih ‘Cina’ daripada mereka yang tinggal di republik berkenaan.

“Malah dalam perbualan, mereka turut berpesan kepada masyarakat Cina di negara ini untuk menguasai bahasa Melayu demi masa depan negara ini.

“Jika semangat bahasa Melayu itu terus rendah, jangan terkejut jika ia lebih cepat berkembang di China berbanding di negara ini selepas ini,” katanya pada Siri Wacana Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) – Nilai Bahasa Melayu di China: Antara Keperluan dan Tuntutan di ATMA, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.

Acara kendalian Pengarah ATMA, Prof Dr Supyan Hussin itu turut disertai Profesor Pengajian Dunia Melayu, Institut Tamadun Islam dan Dunia Melayu (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Awang Sariyan dan Felo Tamu ATMA, Zhang Xian atau Melor.

Sementara itu, Xian atau lebih dikenali dengan nama Melayunya, Melor, menyifatkan perkenalannya dengan bahasa Melayu sebagai sangat sesuai digambarkan melalui pepatah ‘tidak kenal maka tidak cinta.’

Katanya, sebelum berpeluang mendampingi bahasa Melayu dan melanjutkan pelajaran ke BFSU, tidak banyak diketahuinya mengenai bahasa itu serta Malaysia.

PROF Dr Supyan Hussin dua dari kiri bersama panel dan hadirin pada Siri Wacana Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) – Nilai Bahasa Melayu di China: Antara Keperluan dan Tuntutan di ATMA, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
PROF Dr Supyan Hussin dua dari kiri bersama panel dan hadirin pada Siri Wacana Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) – Nilai Bahasa Melayu di China: Antara Keperluan dan Tuntutan di ATMA, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Saya memulakan pengajian bahasa Melayu pada tahun 2005 dan kekangan dialami termasuk kemudahan internet yang tidak seluas hari ini banyak memberi halangan kepada kami untuk mendapatkan bahasa bacaan dalam bahasa Melayu pada ketika itu.

“Bagaimanapun kami bertuah kerana menerima seorang pakar bahasa dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta pensyarah dari Malaysia yang banyak membantu mempertingkatkan penguasaan bahasa Melayu kami di BFSU.

“Siapa sangka, daripada langsung tidak mengetahui apa-apa, saya akhirnya jatuh cinta dengan bahasa Melayu dan ia menjadi kunci yang membuka pintu untuk saya memasuki alam ini dan mengenali Malaysia sebagai sebuah negara menarik dengan masyarakatnya yang berbilang kaum,” katanya.

Menurut Xian, pengalaman mempelajari bahasa Melayu adalah sesuatu yang sangat menarik buatnya

malah ia memberi peluang kepada beliau untuk mula menikmati puisi, cerpen dan novel serta banyak

lagi karya sastera dalam bahasa Melayu.

Sebagai memastikan usahanya mempelajari bahasa Melayu selama empat tahun di BSFU tidak terbazir, Xian kemudian membuat keputusan untuk bekerja dalam bidang media dan akhirnya menjadi penterjemah, wartawan penyiar serta juruhebah radio di China Radio International (CRI), Beijing.

“Keputusan bekerja dalam bidang media ini dilakukan bagi membolehkan saya dapat terus bertutur dalam bahasa Melayu.

“Selain bahasa Melayu yang dimulakan siarannya secara rasmi pada 1 Mac 1959, CRI juga turut disiarkan dalam lebih 60 bahasa asing, bahasa Mandarin dan empat dialek Cina iaitu Hakka, Kantonis, Hokkien dan Teochew.

“Pada 15 Disember 2016, kami juga bekerjasama dengan Radio BERNAMA Malaysia dengan membawakan program Nihao yang boleh turut dinikmati di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu serta Kuching,” katanya.

Sementara itu, Awang berkata nilai bahasa Melayu di China tidak hanya wujud selepas hubungan diplomatik dengan republik itu pada tahun 1974, sebaliknya sudah bermula lebih awal lagi.

Beliau berkata, jika disingkap sejarah silam tamadun Melayu di China, hubungan ketamadunan itu sudah wujud sebelum zaman masihi lagi.

PROF Dr Supyan Hussin menyampaikan cenderahati kepada Felo Tamu ATMA, Zhang Xian.
PROF Dr Supyan Hussin menyampaikan cenderahati kepada Felo Tamu ATMA, Zhang Xian.

“Kaitan antara tamadun Melayu dan China itu menghasilkan nilai atau persepsi dan penilaian yang tinggi terhadap bahasa Melayu.

“Perkara ini sudah diulas dan dikupas I Ching yang membuat rakaman mengenai kekuatan bahasa Melayu yang menurutnya bukan saja berfungsi sebagai bahasa pengantar malah menjadi bahasa untuk mendalami ilmu Buddha.

“Beliau juga mencatat peranan bahasa Melayu sebagai lingua franca dan bahasa perdagangan pada masa itu,” katanya.

Berita Harian X