Isnin, 23 Julai 2018 | 12:22pm
MODERATOR, Tan Sri Johan Jaaffar. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
MODERATOR, Tan Sri Johan Jaaffar. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Kepemimpinan masalah terbesar DBP

KUALA LUMPUR: Masalah terbesar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kini ialah masalah kepemimpinan, kata bekas Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Tan Sri Johan Jaaffar.

Johan berkata, masalah itu akan hanya dapat diselesaikan dengan meletakkan seseorang yang berkualiti, iaitu bukan saja boleh mentadbir dan mengurus DBP dengan baik, bahkan lebih utama mempunyai pemahaman mengenai sastera serta bahasa.

"Tokoh itu tidak semestinya karyawan, sasterawan atau ahli bahasa tetapi jangan pilih mereka yang tidak berminat serta tidak mengetahui apa-apa mengenai sastera.

"DBP sebenarnya tidak kurang dengan pakar bahasa dan sasteranya. Bagaimanapun masalahnya, saya lihat tidak ada pemimpin yang dapat menggerakkan dan memanfaatkan kepakaran yang ada.

"Sebab itu masyarakat kini tidak memandang DBP sebagai badan penting," katanya kepada BH di sini.

Kelmarin, BH menyiarkan komentar Muka 10 berjudul Menanti Suara DBP dalam Polemik UEC yang mengkritik badan itu yang tidak bersuara dalam pelbagai isu khususnya Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Johan berkata, sebagai badan bahasa yang ditubuhkan dengan matlamat membina bahasa dan sastera kebangsaan, DBP perlu memastikan bahasa Melayu menjadi bahasa yang memiliki nilai komersilnya.

Beliau berkata, sehingga itu dapat dilaksanakan, bahasa Melayu tidak akan diberikan pengiktirafan malah terus ketinggalan berbanding bahasa lain.

"Satu lagi kelemahan paling besar DBP adalah dari segi inklusiviti membabitkan kaum lain. DBP perlu terus mengembangkan kesusasteraan semua kaum kerana ia adalah institusi yang bukan hanya dimiliki orang Melayu, sebaliknya seluruh rakyat Malaysia.

"Pada masa sama, lakukan lebih banyak usaha mengembangkan sastera lain, di samping mempergiatkan penterjemahannya ke bahasa Melayu dan sebaliknya dengan kerjasama institusi bukan Melayu.

"Kita juga mahu melihat DBP kembali menerbitkan karya bermutu dalam bidang sastera kerana sekitar lima hingga enam tahun kebelakangan ini terlalu sedikit karya sedemikian yang diterbitkan badan itu," katanya.

Johan turut menyambut baik usaha kerajaan mendekatkan semula DBP dengan golongan sasterawan seperti dilakukan melalui pertemuan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dengan Sasterawan Negara (SN), Datuk Seri A Samad Said baru-baru ini.

Johan berkata, seseorang sasterawan memainkan peranan untuk menjadi mata dan hati rakyat yang sebaiknya mereka dibiarkan kebebasan melahirkan apa saja pandangan bersesuaian.

"Janganlah apabila tidak menyokong kerajaan, mereka diketepikan. Saya melihat usaha diambil kerajaan untuk mendekati A Samad dan membawa mereka ke DBP semula sebagai langkah baik.

"Banyak sumbangan yang boleh diberi tokoh ini dan tidak seharusnya diabaikan. Saya kira kebebasan baharu diberi kerajaan hari ini mungkin dapat memberikan kesegaran kepada kesusasteraan tanah air," katanya.

Beliau berkata, DBP juga perlu meletakkan SN pada kedudukan tertinggi bukan hanya di tanah air, sebaliknya melakukan usaha giat supaya mereka dapat dicalonkan melalui penganugerahan Hadiah Nobel.

"Kita sudah mempunyai 13 SN tetapi apa perancangan diambil DBP untuk memastikan SN dapat dicalonkan dalam penganugerahan berprestij itu," katanya.

Berita Harian X