Selasa, 17 Julai 2018 | 7:37pm
SASTERAWAN Negara, Datuk Seri A Samad Said. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
SASTERAWAN Negara, Datuk Seri A Samad Said. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Nasib sasterawan negara akan dibela

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan berjanji akan memastikan nasib semua Sasterawan Negara yang tidak dibela oleh kerajaan terdahulu diberi perhatian sepenuhnya.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, hanya disebabkan oleh kelantangan bersuara tokoh berkenaan atau mempunyai fahaman politik berbeza, kedudukan dan sumbangan mereka terus dilupakan.

"Saya juga akan membawa Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said kembali ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan akan mempromosikan karya-karya agungnya untuk dijadikan sebagai bahan bacaan generasi muda," katanya ketika berkunjung ke rumah tokoh berkenaan dekat sini, hari ini.

Terdahulu Dr Maszlee berkunjung ke rumah tokoh berkenaan untuk bertanya khabar dan melihat sendiri keadaan dan kesihatan A Samad Said.

Sementara itu, A Samad berkata, kedatangan Dr Maszlee dianggap sebagai satu usaha yang baik untuk melihat hasil karyanya dicetak semula bagi generasi muda pada hari ini.

DR Maszlee berkunjung ke rumah A Samad Said untuk bertanya khabar dan melihat sendiri keadaannya.
DR Maszlee berkunjung ke rumah A Samad Said untuk bertanya khabar dan melihat sendiri keadaannya.

Katanya, DBP adalah institusi yang tepat bagi mengambil berat hasil karya dan buku-buku Sasterawan Negara lain untuk diulang cetak.

"Saya sendiri sudah beberapa tahun tidak didatangi oleh DBP, mungkin kerana saya daripada parti yang berbeza. Pada saya ini sesuatu yang tidak bagus.

"Hanya disebabkan saya berhaluan kiri sebelum ini, hasil karya dipinggirkan dan ini dianggap sebagai sesuatu yang tidak sihat pada gambaran masyarakat," katanya.

Katanya, sastera itu adalah saksama dan patut diberi perhatian kerana ia 'menangkap' apa saja yang bergerak di dalam masyarakat.

"Sastera ini boleh berbicara daripada pelbagai sudut tanpa mengira dari pihak pemerintah atau pun pembangkang.

"Justeru, kita harus memulakan semula sikap baharu bahawa sastera adalah sesuatu yang 'neutral' kerana ia adalah suara hati nurani rakyat bangsanya," katanya.

Katanya, mana-mana Sasterawan Negara juga harus dilayani dengan baik dan patut diberi perhatian tanpa mengira sikap dan ideologi mereka.

"Jika diperlakukan sebaliknya, ia menjadikan sastera itu tidak bebas sedangkan sastera bebas merakam apa saja.

"Jadi, saya berharap perhatian yang diberikan oleh Dr Maszlee itu dapat disemai dan dibaja dengan baik," katanya.

Beliau kini sedang berusaha menyiapkan 200 puisi Bersih dan 40 puisi antologi hasil lawatannya ke China yang akan diterbitkan tidak lama lagi.

Berita Harian X